Pengikut dan Ex-smgrian

Thursday, April 19, 2012

Pneumokokal

Pengambilan vaksin boleh membantu mencegah pneumokokal

Pneumokokal merupakan suatu penyakit yang berpunca daripada kehadiran bakteria Streptococcus pneumoniae (pneumokokus).

Ia biasanya ditemui di dalam saluran pernafasan kanak-kanak dan disebarkan melalui batuk atau bersin.

Kini terdapat lebih daripada 90 jenis pneumokokal yang diketahui, namun hanya lebih kurang 10 peratus daripadanya boleh menyebabkan penyakit yang serius.

Bakteria itu menyebabkan jangkitan invasif termasuk bakteremia/sepsis (jangkitan bakteria dalam darah), meningitis (radang membran yang menyelaputi saraf tunjang dan otak), pneumonia (radang paru-paru) dan otitis media (jangkitan telinga tengah).

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penyakit pneumokokal mengakibatkan sehingga satu juta kematian dalam kalangan kanak-kanak berusia kurang daripada lima tahun di seluruh dunia.

Ia meragut lebih banyak nyawa kanak-kanak berbanding penyakit AIDS, malaria dan campak secara bergabung.

Lebih separuh daripada kejadian dan kematian akibat penyakit pneumokokal berlaku di rantau Asia Pasifik yang merangkumi 28 peratus daripada kematian berkaitan pneumokokus global.

Di Asia sahaja, hampir seorang kanak-kanak di bawah usia lima tahun meninggal dunia setiap dua minit akibat penyakit pneumokokal.

Menurut WHO, penyakit ini adalah punca kematian yang boleh dicegah dengan vaksin dan imunisasi boleh dianggap sebagai cara paling cekap dan menjimatkan kos untuk mengurangkan penyakit dan kematian.

Pemberian vaksin pneumokokal bukan sahaja memberikan perlindungan kepada kanak-kanak malah turut melindungi seluruh ahli keluarga kerana kuman tersebut tidak akan disebarkan kepada orang sekeliling.

Pemberian vaksin pneumokokal mampu mengurangkan penyakit tersebut kepada 99 peratus bagi mereka yang mengambilnya dan menunjukkan penurunan 60 peratus terhadap mereka yang berusia 50 tahun ke atas tanpa mengambil vaksin tersebut.

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang penyakit pneumokokal ini anda boleh melayari laman web www.abc4pneumococcal.com.

-Kosmo!

No comments: