Pengikut dan Ex-smgrian

Wednesday, April 18, 2012

Adat Perpatih dan Adat Temenggung

Rumah orang Minangkabau (imej dari sukosenseimalaysia.blogspot.com)

Adat Perpatih merupakan sistem sosial mengikut nasab ibu iaitu memberi keistimewaan kepada kaum wanita sebagai simbolik kepada ibu yang melahirkan anak ataupun anggota masyarakat manakala Adat Temenggung pula ialah sistem sosial yang lebih mengutamakan nasab lelaki.

Kedua-dua adat ini datangnya daripada Minangkabau di Sumatera.

Adat Perpatih diamalkan secara lazim di Negeri Sembilan dan beberapa tempat di Melaka seperti Alor Gajah dan Masjid Tanah manakala negeri-negeri Melayu yang asalnya bermula daripada Kesultanan Melayu Melaka mengamalkan Adat Temenggung.

Adat Temenggung dibawa masuk ke Tanah Melayu oleh Parameswara ke Melaka

Adat Perpatih diasaskan oleh seorang pembesar Minangkabau bernama Datuk Parapatieh Nan Sebatang manakala Adat Temenggung pula diasaskan oleh abang tiri Datuk Parapatieh iaitu Datuk Katumangguengan.

Datuk Parapatieh atau nama lainnya Sutan Balun pernah menjadi penasihat kepada Datuk Katumangguengan atau dikenali juga dengan nama Sutan Maharajo Basa, Sutan Paduko Basa dan Sutan Gadjak.

Datuk Parapatieh tidak bersetuju dengan Undang-Undang Tariek Baleh (undang-undang adat Minangkabau) yang mengamalkan hukuman timbal balik (pembalasan) kerana khuatir ramai rakyat akan menjadi cacat.

Datuk Parapatieh menasihatkan Datuk Katumangguengan menukar adat tersebut mengikut nasab ibu bagaimanapun Datuk Katumangguengan berpendapat adik tirinya mahu merampas kuasanya.

Perbezaan pendapat ini telah menyebabkan Minangkabau terbahagi kepada dua di mana Datuk Parapatieh memerintah di kawasan darat manakala Datuk Katumangguengan pula memerintah di kawasan persisiran pantai.

Rangka dasar Adat Perpatih dapat dilihat menerusi tiga perkara iaitu:
  • Keputusan adat tiga perkara:
  1. Adat mensiang iaitu terjali
  2. Adat tiang iaitu berkebulatan
  3. Adat Kitabullah iaitu hukum Quran

Prinsip-prinsip Adat Perpatih:
  1. Keturunan dikira melalui nasab ibu - Adat Perpatih memberi keistimewaan kepada perempuan yang dianggap bonda kandung iaitu ibu yang melahirkan anggota-anggota masyarakat. Seseorang individu itu adalah anggota suku ibunya dan bukan anggota suku bapanya.
  2. Tempat kediaman adalah di kawasan ibu isteri - Apabila berlangsungnya sesuatu perkahwinan, si lelaki akan meninggalkan kampung halamannya dan menetap di kawasan ibu isterinya sebagai orang semenda.  Pada zaman dahulu si lelaki akan mengusahakan tanah keluarga isterinya.
  3. Perempuan mewarisi pusaka, lelaki menyandang saka - Hanya lelaki sahaja berhak menyandang saka (jawatan-jawatan dalam adat) manakala perempuan adalah mewarisi harta pusaka keluarga ibunya.
  4. Perkahwinan seperut atau sesuku adalah dilarang - Dalam sesuatu perut dan suku, hubungan adalah rapat dan si lelaki menganggap perempuan dalam perut atau sukunya adalah saudara perempuannya.  Begitu juga sebaliknya.  Oleh itu perkahwinan sesama suku ini adalah terlarang.  Perempuan yang berkahwin sesama suku akan hilang haknya untuk mewarisi harta pusaka ibunya manakala lelaki pula akan hilang hak untuk menyandang sebarang jawatan dalam adat.
  5. Orang luar boleh menjadi ahli sesuatu suku - Untuk tujuan perkahwinan atau waris mewarisi, dibenarkan orang luar untuk menjadi ahli sesuatu suku dengan cara melalui upacara berkedim.  Dalam upacara ini seseorang itu akan bersumpah taat setia dan bersaudara dengan ahli-ahli suku yang akan disertainya.
Ciri utama Adat Temenggong:
  • Hukuman bersifat pembalasan
  • Pemerintahan bersifat autokratik
  • Pewarisan harta lebih kepada nasab lelaki
  • Perkahwinan dibenarkan dengan sesiapa sahaja asalkan tidak melanggar hukum syarak.
sumber: Kamus Etimologi Bahasa Melayu Fajar Bakti, wikipedia

No comments: