Sebaliknya, jika mereka diabaikan tidak mustahil akan menjadi anak yang terbiar dan pada masa akan datang akan menjadi sampah kepada masyarakat dan negara. Justeru memiliki anak yang soleh serta baik budi pekertinya akan menjadi impian setiap ibu bapa dan keluarga sebagaimana kisah Nabi Zakaria AS yang telah lanjut usia tetapi belum dikurniakan anak untuk menjadi pewaris keturunannya lalu Nabi Zakaria AS memohon dengan berdoa kepada Allah SWT agar dikurniakan anak-anak yang soleh.
Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 38 yang bermaksud:
"Ketika itu Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhan-Nya, katanya: Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisi-Mu zuriat keturunan yang baik; sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan."
Anak-anak kita sebenarnya dilahirkan dalam keadaan fitrah, ibarat sehelai kain putih yang suci lagi bersih dari sebarang kekotoran sama ada zahir ataupun batin, maka menjadi tanggungjawab kita sebagai ibu bapa untuk mencorakkan sama ada untuk membentuknya menjadi insan berjaya ataupun tidak.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Apabila mati seseorang anak Adam, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara: sedakah jariah, ilmu yang bermanafaat dan anak yang soleh yang mendoakan." - Hadis Riwayat Imam Muslim.
Menurut Islam memberi pendidikan kepada anak-anak hendaklah dimulakan sejak awal lagi kerana pada usia sebegini segala nilai yang ditanamkan akan tersemat dalam hati sanubari mereka.
Ibnu Sina pernah berpesan, katanya:
"Ketika anak telah mendapat asuhan ibunya, maka ajarkanlah ia adab-adab Islam sebelum ia diserang oleh nilai-nilai yang buruk."
Rasulullah SAW telah menggariskan empat tahap pendidikan kepada anak-anak iaitu:
- Tahap Pertama: Anak yang baru lahir sehingga mumayyiz (enam tahun) hendaklah kita banyak bergurau dan membelai mereka dengan penuh kasih sayang.
- Tahap Kedua: Anak berumur tujuh tahun sehingga baligh (14 tahun) hendaklah kita mendidik mereka dengan arahan, disiplin dan memberi tanggungjawab kepada mereka.
- Tahap Ketiga: Anak berumur 15 tahun sehingga dewasa (21 tahun) hendaklah dididik dengan cara berkawan, bertukar pendapat dan hormati pendapat mereka selagi ia tidak bertentangan dengan syariat.
- Tahap Keempat: Anak berumur lebih 21 tahun, hendaklah para ibu bapa memberikan kebebasan bertindak selagi tidak bertentangan dengan syariat. Ibu bapa hanya perlu bertindak sebagai penasihat agar segala tindakan mereka terkawal.
Ibnu Khaldun telah membahagikan tujuan pendidikan kepada anak-anak dalam tiga bentuk:
- Mempersiapkan seorang anak dari segi keagamaan, iaitu mengajarnya syiar-syiar agama menurut al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW. Ini akan membina akidahnya dan membentuk keperibadian keimanannya.
- Mempersiapkannya dari segi akhlak
- Mempersiapkannya dari segi pemikiran, ini termasuk ilmu-ilmu umum duniawi, kerana dengan memiliki pemikiran dan ilmu yang baik dan tepat seseorang itu akan mampu berdikari dan memiliki ketrampilan untuk melaksanakan tugas dengan baik.
Anak-anak hendaklah dididik dengan dipesankan sesuatu terlebih dahulu. Lihat bagaimana reaksi mereka, apakah mereka boleh melakukannya hanya selepas sekali pesanan. Jika tidak berkesan maka hendaklah dipesan berulang kali tanpa merasa jemu dan bosan.
Berilah nasihat dan teguran kepada anak-anak dalam hal berkaitan akidah, ibadah, akhlak, tanggungjawab, kesihatan, kehidupan agar mereka mengenal erti yang sebenarnya.
Berilah pesanan, nasihat, teguran setiap masa walaupun kadangkala anak-anak kita akan merasa jemu dan bosan. Contohilah apa yang dilakukan oleh Lukman al-Hakim di dalam mendidik anak-anaknya.
Firman Allah SWT dalam surah Lukman ayat 13 yang bermaksud:
"Dan tatkala Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya: Wahai anakku, janganlah engkau mempersekutukan Allah sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar."
Sebagai ibu bapa kita tidak boleh mengambil sikap lepas tangan. Jangan kita beranggapan bahawa kita telah menunaikan kewajipan dan hak anak-anak apabila mereka telah dihantar ke sekolah.
Ingatlah tanggungjawab kita bukan hanya memastikan agar mereka akan hidup selesa pada masa akan datang akan tetapi tanggungjawab kita juga memastikan agar mereka mempunyai prinsip yang teguh dan jatidiri yang kuat.
Amat penting bagi kita memberi pendidikan agama serta menyemai akhlak mulia kepada mereka kerana dengan pendidikan agama, prinsip iman mereka akan teguh, jati diri mereka akan kuat, ini akan membantu mereka menghadapi masalah-masalah sosial serta membantu mereka menghadapi cabaran masa akan datang.
Tanpa prinsip ini ditakuti anak-anak kita akan mudah terpengaruh dengan pelbagai pemikiran sehingga ada sebahagian dari mereka sanggup menggadai prinsip kehidupan mereka.
Memelihara anggota keluarga dari ancaman neraka tidak bererti kita hanya bersikap pasif iaitu dengan hanya mencegah mereka daripada berbagai perbuatan maksiat. Kita juga mesti bersikap aktif dalam mendidik dan menerapkan nilai-nilai murni dalam diri mereka agar pembentukan ini menjadi peranan sebagai kubu dan daya tahan yang dapat menepis dan menapis pengaruh sekitar yang penuh mencabar.
Tanggungjawab ibu bapa bukan hanya memberi arahan tetapi perlu menonton, membimbing, mengasuh dan menunjukkan contoh yang baik untuk diteladani. Barulah pendidikan kita akan memberikan kesan untuk mencapai matlamat pembentukan nilai murni serta prinsip yang kukuh dalam diri anak-anak.
Renungilah firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab ayat 72 yang bermaksud:
"Sesungguhnya Kami telah kemukakan amanah kepada langit dan bumi serta gunung-ganang, maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya; dan manusia sanggup memikulnya. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan jahil."
sumber: e-khutbah JAKIM
No comments:
Post a Comment