Dalam Islam, menjaga kebersihan dan mewujudkan suasana yang bersih serta selesa menjadi satu tuntutan kerana ia berkait rapat dengan menjaga kesihatan. Kebersihan adalah asas kepada kesihatan.
Islam amat menyukai orang yang cintakan kebersihan diri kerana sihat adalah suatu nikmat Allah SWT yang amat besar nilainya yang perlu dijaga dan dipelihara.
Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 222 yang bermaksud:
"Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang yang sentiasa mensucikan diri"
Sabda Rasulullah SAW:
"Kebersihan itu sebahagian daripada iman." - Hadis Riwayat Muslim
Oleh yang demikian, untuk menjaga kebersihan diri dan membina persekitaran serta suasana yang bersih, maka menjadi keutamaan kepada kita sebagaimana yang dititik beratkan dalam sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Mandi itu adalah wajib ke atas setiap orang Islam yang mana pada setiap tujuh hari, satu hari daripadanya wajib membasuh kepala dan jasmaninya."
Dan sabda Baginda lagi yang bermaksud:
"Lima perkara yang menjadi fitrah manusia iaitu berkhatan, mencukur bulu ari-ari, menggunting misai, memotong kuku dan mencabut bulu ketiak." - Hadis Riwayat at-Tabarani.
Para ulama juga telah memberikan perhatian yang penting tentang kebersihan apabila memulakan perbincangan dalam kitab fiqh dengan bab taharah iaitu kebersihan. Ini membuktikan bahawa Islam, para nabi dan para alim ulama telah mengambil berbagai inisiatif untuk memberikan kefahaman bahawa menjaga dan mengamalkan kebersihan adalah sangat penting dan sangat dituntut oleh agama kita Yang Maha Suci.
Islam sangat menggalakkan umatnya membersihkan diri sendiri sebelum melakukan apa-apa ibadah. Apabila seseorang yang hendak mendirikan solat perlulah terlebih dahulu memastikan diri, pakaian dan tempat solatnya bersih dan terhindar dari segala najis.
Sekiranya soal tersebut diabaikan, sudah tentulah solatnya tidak sempurna ataupun tidak sah. Umat Islam juga hendaklah peka dan bertanggungjawab untuk menjadikan tempat-tempat ibadah seperti masjid dan surau agar sentiasa dalam keadaan bersih, begitu juga dengan segala kemudahan yang disediakan seperti tandas perlulah dijaga supaya sentiasa dalam keadaan baik, kelihatan bersih atau tidak pula dirosakkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.
Oleh kerana masjid atau surau merupakan tempat untuk mendirikan solat maka ia perlu dijaga dan tidak dicemari dengan kekotoran atau bau busuk sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Bahawasanya masjid ini tidak boleh dicemari oleh najis dan kekotoran kerana ia adalah tempat untuk berzikir kepada Allah SWT dan membaca al-Quran." - Hadis Riwayat Muslim.
Masih ramai dari kalangan umat Islam tidak menghayati tuntutan menjaga kebersihan, sama ada kebersihan diri sendiri atau kebersihan persekitaran. Tanggungjawab tersebut selalunya diserahkan kepada pihak lain, sedangkan Islam telah menetapkan menjaga kebersihan merupakan tanggungjawab bersama yang patut diamalkan oleh setiap orang Islam yang beriman.
Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah menyatakan bahawa:
"Sunnah Rasulullah datang dengan membawa ajaran untuk menghindari kekotoran yang ada pada tubuh badan manusia, sebagaimana dia juga datang dengan membawa ajaran bagi menghindari kekotoran rohani."
Lambang kebersihan seseorang selain daripada diri dan pakaiannya juga dapat dilihat dari keadaan persekitaran kediaman. Sebuah kediaman yang bahagia ialah yang sentiasa menjaga keindahan dan kebersihan di dalam dan di luar rumah agar ia kelihatan cantik dan menarik serta dapat memberi ketenteraman dan kenikmatan kepada penghuni rumah.
Amalan menjaga keindahan dan kebersihan persekitaran rumah adalah satu amalan yang baik dan mulia. Sabda Rasulullah SAW yang maksudnya:
"Bersihkan halaman-halaman kamu, kerana sesungguhnya orang Yahudi tidak membersihkan halaman-halaman rumahnya." - Hadis Riwayat at-Tabarani
Mengabaikan amalan kebersihan akan menyebabkan mudahnya tersebar pelbagai penyakit seperti kolera, cirit-birit, denggi, keracunan makanan, penyakit kulit dan sebagainya. Ia juga akan menyumbang kepada suasana alam sekitar yang tidak sihat.
Kita digalakkan untuk menjaga kebersihan alam sekitar dari pencemaran dan kemusnahan, berusaha untuk menjadikan alam sekitar berada dalam keadaan bersih sepanjang masa disamping mengekalkan keindahan alam semula jadi negara kita untuk menarik minat orang ramai dan pelancong.
Satu lagi aspek kebersihan yang perlu dijaga dan diurus dengan baik pada hari ini ialah pengurusan sisa pepejal iaitu sampah sarap, sisa buangan atau pembungkusan dan sebagainya.
Berdasarkan laporan yang diterima daripada Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara dalam tahun 2005, jumlah sisa pepejal yang kita keluarkan adalah sebanyak 19,000 tan sehari. Tetapi pada hari ini ia telah meningkat sebanyak 27,000 tan sehari.
Persoalan besar timbul di sini ialah kenapa perkara ini berlaku? Antara penyebab meningkatnya sisa pepejal ini ialah perubahan gaya hidup seperti penggunaan makanan segera yang menghasilkan banyak sisa buangan dan sikap manusia itu sendiri yang mengabaikan tanggungjawab menjaga kebersihan alam sekitar.
Sampah sarap yang tidak diurus dengan baik di tapak pelupusan akan menghasilkan air larut resap yang mencemarkan sumber air. Sisa yang dibuang secara haram di persekitaran akan mengotorkan punca air dan menyumbat longkang-longkang yang boleh menyebabkan berlakunya banjir kilat dan mengundang pelbagai jenis penyakit.
Jika pengurusan sisa pepejal ini tidak direncana dengan tersusun ia akan merosakkan persekitaran dan akan menghancurkan kehidupan yang indah lagi bahagia ini.
Firman Allah SWT dalam surah ar-Rum ayat 41 yang bermaksud:
"Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)."
Amalan menjaga keindahan dan kebersihan alam sekitar adalah satu amalan yang baik dan mulia. Sekiranya umat Islam tidak menjaga dan mengambil berat terhadap perkara tersebut, mereka akan hidup di dalam suasana yang tidak selesa, gundah gulana, tidak tenteram dan terdedah kepada pelbagai penyakit.
Renungilah firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 6 yang bermaksud:
"Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung kepayahan, tetapi Ia berkehendak membersihkan kamu dan hendak menyempurnakan nikmat-Nya kepada kamu, supaya kamu bersyukur."
sumber: e-khutbah JAKIM
No comments:
Post a Comment