Pengambilan alkohol dalam kalangan remaja di luar negara bukan satu berita yang luar biasa.
Walaupun kebanyakan remaja mengatakan mereka mencela minuman keras itu, penyalahgunaan alkohol yang melibatkan golongan terbabit masih berlaku.
Bagi yang terlalu bergantung kepada minuman keras tersebut, alkohol disifatkan sebagai salah satu faktor dan risiko yang dikaitkan dengan kes membunuh diri.
Dipercayai sebanyak 80 peratus daripada pelajar senior sekolah tinggi telah mengambil alkohol pada satu-satu masa. Bagaimanapun, kebanyakan remaja memandang rendah tabiat meminum arak yang boleh menimbulkan banyak kesan buruk.
Kebanyakan mereka tidak sedar bahawa ia boleh menyumbang kepada gejala kemurungan yang akhirnya boleh menyebabkan kes bunuh diri dalam kalangan remaja.
Sementara itu, pengambilan alkohol dan tembakau pada usia muda juga mendatangkan impak kesihatan yang negatif.
Ada juga sebahagian remaja yang sedar akan keburukan dan terus berhenti, selain ada yang mengambilnya sekali-sekala tanpa mempunyai masalah signifikan.
Ada juga yang terus beralih kepada dadah yang lebih berbahaya dan menyebabkan kemudaratan besar kepada diri sendiri dan mungkin juga orang lain.
Adalah sukar untuk mengetahui kelompok remaja yang sudah meninggalkan gejala tidak sihat itu dan golongan yang semakin serius mengambil benda tidak berfaedah tersebut.
Sebahagian besar punca kematian yang disebabkan oleh minuman beralkohol adalah menerusi cara alkohol itu mempengaruhi diri mereka.
Antaranya melalui pergaduhan, memandu dengan cuai serta terlibat dengan tingkahlaku yang berisiko.
Dalam pada itu, alkohol turut menjadi punca tiga kematian utama dalam kalangan belia seperti kecederaan disengajakan (termasuk kemalangan dan mati lemas), bunuh diri serta pembunuhan.
Dalam perkembangan lain, satu daripada empat pelajar di sekolah memberitahu, mereka menderita tekanan yang tinggi disebabkan kerja rumah.
Kajian itu menyelidik sebanyak 172 pelajar berusia di antara 15 hingga 16 tahun tentang bagaimana mereka menangani tekanan di sekolah.
Walaupun ramai memberitahu mereka mendengar muzik, menonton televisyen atau bersukan untuk mengurangkan tekanan, sebanyak 30 peratus daripada mereka mendedahkan bahawa mereka mengambil alkohol.
Sebanyak 16 peratus pula berkata, mereka menghisap rokok manakala enam peratus mengambil dadah untuk meredakan tekanan.
Dr. Pamela Taylor daripada Pihak Berkuasa Tempatan Salford yang membentangkan penemuan pada persidangan yang dianjurkan oleh Persatuan Psikologi British di Manchester berkata, remaja menghadapi banyak tekanan di sekolah untuk merekodkan pencapaian berterusan, menduduki peperiksaan serta perlu membuat keputusan penting tentang masa depan mereka.
"Lebih satu perempat daripada pelajar ini melaporkan bahawa mereka mengalami tekanan ekoran pihak sekolah yang mahu mereka mencapai kecemerlangan.
"Hasil kajian kami menunjukkan betapa pentingnya untuk mendidik remaja mengenai cara terbaik untuk menguruskan tekanan serta mengetengahkan bahaya rokok, alkohol dan ubat-ubatan dilarang.
"Kajian ini juga menunjukkan perlunya untuk sekolah menangani masalah murid seperti mengambil berat tentang kerja rumah mereka termasuk pengurusan masa, kerja serta hubungan antara guru dan murid," jelasnya.
Dicuplik dari akhbar Kosmo!
No comments:
Post a Comment