Pengikut dan Ex-smgrian

Friday, September 3, 2010

Amalan Sunnah sempena Aidil Fitri Bahagian 2

Memakai pakaian yang indah

* Disunnahkan kaum muslimin menghiaskan diri dengan pakaian yang indah-indah pada hari raya.  Imam Syafie berkata:

"Aku lebih menyukai seseorang memakai pakaian terbaik yang dimilikinya pada hari-hari raya, iaitu pada hari Jumaat, dua hari raya (Aidil Fitri dan Aidil Adha) dan tempat diadakan majlis (seperti majlis perkahwinan).  Dia hendaklah memakai baju yang bersih dan memakai wangi-wangian."
-Rujuk Ringkasan Kitab al-Umm, Imam Syafie, jil. 1, masa. 327.

* Bagi kaum wanita pula disunnahkan memakai pakaian yang terbaik, namun mereka hendaklah menghindari dari memakai pakaian yang bercorak-corak serta perhiasan yang berlebih-lebihan sehingga menarik perhatian golongan lelaki.  Bagi golongan kanak-kanak pula, Imam Syafie menambah:

"Mengenai golongan kanak-kanak pula, mereka boleh memakai pakaian paling bagus yang dimilikinya, baik lelaki mahupun perempuan dan mereka juga boleh memakai perhiasan emas atau apa sahaja perhiasan."
- Rujuk Ringkasan Kitab al-Umm, Imam Syafie, jil. 1, masa. 327.

* Semoga di pagi hari raya kita akan memilih pakaian yang terbaik serta paling mahal mengikut kemampuan masing-masing menuju ke tempat solat hari raya.  Disunnahkan juga bagi kaum lelaki memakai wangi-wangian tetapi tidak disunnahkan kepada kaum wanita.  Sabda Rasulullah SAW:

"Mana-mana wanita yang memakai wangian lalu dia melintas di hadapan lelaki supaya mereka dapat menghidu kewangiannya, dia adalah penzina."
-Hadis riwayat al-Nasaai di dalam Sunannya no: 5036

* Namun begitu bukanlah bermakna kaum wanita harus membiarkan dirinya berbau busuk.  Islam adalah agama yang menitik-beratkan kebersihan serta kesihatan diri.  Dibenarkan bagi wanita untuk memakai wangian yang keharumannya sekadar untuk menjaga dirinya dari berbau busuk dan tidak sehingga menarik perhatian orang di sekelilingnya.  Haruman-haruman yang kuat dan boleh menaikkan nafsu berahi hanyalah khusus untuk suaminya.


Berjalan kaki menuju tempat mengerjakan solat hari raya

* Umat Islam dianjurkan berjalan kaki menuju ke tempat solat Aidil Fitri jika tidak keberatan.  Ali bin Abi Talib r.a berkata:

"Termasuk sunnah, iaitu engkau berjalan kaki menuju ke tempat solat hari raya dan memakan sesuatu sebelum berangkat."
-Hadis riwayat al-Tirmizi di dalam Sunannya no: 487.

Namun begitu bagi sesiapa yang perlu menggunakan kenderaan kerana tempat solat terlalu jauh, ia dibolehkan dalam syarak.  Bagaimanapun, berjalan kaki menuju ke tempat solat lebih afdal berbanding menaiki kenderaan.


Mengikuti jalan yang berbeza ketika kembali dari menunaikan solat hari raya

* Disunnahkan juga mengikuti jalan yang berbeza ketika pergi dan kembali dari mengerjakan solat hari raya.  Jabir bin Abdullah r.a berkata:

"Nabi SAW melalui jalan yang berbeza pada hari raya."
-Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 986.

Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah berkata:

"Baginda SAW selalu melalui jalan yang berbeza ketika menuju dan pulang dari tempat solat pada hari raya.  Ada yang berpendapat, hal ini dilakukan agar dapat bersalaman dengan orang yang melalui kedua-dua jalan itu.  Sebahagian lain berpendapat untuk memberikan barakah kepada mereka.  Ada juga berpendapat untuk memberikan pertolongan kepada mereka yang memerlukannya di kedua-dua jalan itu.  Menurut pendapat lain pula untuk menampakkan syiar Islam di jalan-jalan.  Pendapat yang lebih tepat adalah supaya perjalanan yang ditempuh lebih jauh (banyak langkahnya).  Orang yang berjalan ke masjid atau tempat solat, salah satu langkah kakinya akan meninggikan darjat.  Sedangkan langkah kaki yang lain akan menghapuskan kesalahan-kesalahannya."
-Rujuk Zaadul Ma'ad, Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah, masa. 49.

No comments: