Pengikut dan Ex-smgrian

Friday, September 3, 2010

Amalan Sunnah sempena Aidil Fitri Bahagian 1

Islam adalah satu-satunya agama yang diredhai Allah SWT dan merupakan agama paling sempurna.  Firman Allah SWT:


"Pada hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepadamu dan Aku telah redha Islam itu menjadi agamamu."

- Surah al-Maaidah : 3

Aidil Fitri ini adalah penting bagi kita untuk sentiasa menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai petunjuk dalam mengendalikan upacara sambutan Aidil Fitri kerana inilah masa untuk kita semua membuktikan bahawa kita benar-benar telah menjadi seorang insan yang bertakwa setelah melalui bulan Ramadan kerana padanya terdapat ibadah puasa yang berupaya membentuk golongan mutaqqin (orang yang bertaqwa).

Justeru itu, ada baiknya sekiranya kita mengetahui apakah amalan-amalan yang telah diajar oleh Rasulullah SAW sempena menyambut ketibaan Aidil Fitri ini.


Bertakbir

* Bertakbir pada tarikh 1 Syawal bersempena Aidil Fitri merupakan suatu amalan yang disyariatkan.  Takbir pada hari Aidil Fitri bermula ketika terlihatnya hilal (anak bulan) dan berakhir setelah selesainya kemuncak hari raya, iaitu ketika imam selesai berkhutbah.  Firman Allah SWT:

"Supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), supaya kamu membesarkan Allah (dengan bertakbir) kerana telah memberi petunjuk-Nya kepada kamu dan supaya kamu bersyukur."
- Surah al-Baqarah : 185

* Adalah juga disunnahkan untuk kita bertakbir di sepanjang perjalanan dari rumah kita menuju ke masjid untuk menunaikan solat Aidil Fitri.  Menurut Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani:

"Mengenai syariat bertakbir (pada hari raya Aidil Fitri) yang perlu dilakukan oleh kaum muslimin ialah bertakbir dengan suara lantang ketika dalam perjalanan menuju ke tempat solat walaupun kebanyakan umat Islam mula memandang remeh sunnah ini."
- Rujuk kitab Meneladani Rasulullah SAW Dalam Berhari Raya karya Syeikh Ali Hassan bin Ali al-Halabi al-Atsari, masa. 32.

* Bertakbir sejak mula keluar dari rumah bertujuan menyerlahkan syiar Islam di setiap pelusuk jalan yang dilalui ketika menuju ke tempat solat.


Lafaz ucapan selamat pada hari raya Aidil Fitri

* Majoriti amalan umat Islam di Malaysia akan mengucapkan antara satu sama lain pada hari lebaran dengan ucapan "Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin", namun apa yang lebih bertepatan dengan amalan para salafussoleh dalam meneladani sunnah Nabi SAW adalah sebagaimana yang diceritakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani yang dinukilkan daripada Jubair bin Nufair r.a katanya:

"Apabila para sahabat Rasulullah SAW bertemu di hari raya, sebahagian mereka mengucapkan kepada yang lain "taqabbalullah minna waminka" (semoga Allah menerima amalan kami dan amalanmu)."
-Rujuk Fath al-Bari, al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani, jil.5, masa. 270-271.  Menurut beliau hadis ini berstatus hasan.


Meneruskan Qiamullail

* Jika sepanjang bulan Ramadan kita telah bersungguh-sungguh menghidupkan malam kita dengan pelbagai ibadah terutamanya solat qiyam Ramadan (solat tarawih), ia seharusnya diteruskan juga pada hari-hari berikutnya dengan mengerjakan solat tahajjud.  Saranan ini tidak bermaksud mengkhususkan pada malam Aidil Fitri untuk dikerjakan qiamullail.  Apa yang cuba ditekankan di sini adalah semangat mengerjakan qiyam Ramadan (solat tarawih) haruslah diteruskan dengan mengerjakan qiamullail pada hari-hari berikutnya sesudah bulan Ramadan.


Mandi pada pagi hari raya

* Disunnahkan mandi di pagi hari raya sebagaimana mandi wajib, iaitu sebelum berangkat menuju ke tempat perlaksanaan solat Aidil Fitri.  Ali bin Abi Thalib r.a pernah ditanya mengenai mandi.  Adakah diharuskan mandi setiap hari?  Beliau menjawab:

"Tidak harus melakukannya.  Namun, mandi yang diharuskan ialah mandi pada hari Jumaat, hari Arafah, hari Aidil Adha dan Aidil Fitri".
- Hadis riwayat Imam Syafie di dalam Musnad al-Syafi'i, jil. 1, masa. 118-119


Makan sebelum solat Aidil Fitri

* Disunnahkan kaum muslimin menjamah makanan sebelum berangkat menunaikan solat Aidil Fitri.  Perbuatan ini bertujuan menutup segala andaian bahawa dibenarkan berpuasa pada hari raya.  Menurut al-Muhallab:

"Mengenai hikmah menjamah makanan sebelum mengerjakan solat hari raya adalah agar seseorang tidak berpendapat bahawa dia boleh berpuasa sehingga solat hari raya Aidil Fitri dilaksanakan.  Seolah-olah Rasulullah SAW ingin menutup prasangka semacam ini."
-Rujuk Fath al-Bari, jil. 5, masa. 272

* Kebiasaannya, Rasulullah SAW akan memakan kurma dalam jumlah yang ganjil pada pagi hari raya.  Namun, tidak bermakna umat Islam perlu menyediakan buah kurma untuk dimakan pada pagi hari raya Aidil Fitri.  Mereka bebas memakan apa sahaja tetapi mengikut sunnah itu lebih baik daripada menyanggahinya.  Sedangkan sunnah itu termasuk perkara taufiqi (tidak boleh dipersoalkan).  Anas bin Malik r.a berkata:

"Rasulullah SAW tidak akan pergi ke tempat solat pada pagi Aidil Fitri sebelum memakan beberapa biji kurma."
Murajja' bin Raja' berkata:

"Ubaidillah menceritakan kepadaku bahawa Anas r.a berkata: Rasulullah SAW memakannya dalam jumlah yang ganjil."
-Hadis riwayat al-Bukhairi di dalam sahihnya no: 953.

* Namun jika tidak memiliki kurma maka dibolehkan untuk mengisi perut dengan makanan lain terutamanya makanan yang manis-manis seperti madu.  Sekiranya tidak ada makanan sama sekali, memadai dengan hanya meminum air.

No comments: