PELBAGAI senjata masyarakat Rao masih disimpan dengan elok.
Hulubalang Rao pernah bantu Mat Kilau lawan Inggeris di Pahang
PERMODENAN adalah hakikat yang harus diterima tetapi soal warisan tetap perlu dijaga dan dipertahankan kerana orang Rao percaya mereka yang tidak mengenal sejarah adalah orang yang tidak mengenang bangsanya. Ia bukan saja sejarah peperangan tetapi warisan senjata dan kemahiran tertentu orang Rao yang kini boleh dikatakan hanya dimiliki individu tertentu.
Khalip Yaacup, 63, daripada keturunan Siti Rawa yang mewarisi senjata itu menganggapnya suatu amanah bangsa dan keturunannya dengan menyimpannya sebaik mungkin.
Diteliti, sundang panjang itu yang dikhaskan untuk panglima perang itu mempunyai 52 titik pada pangkal mata senjata. Setiap titik sebenarnya mewakili satu pewaris atau generasi, ini bermakna sudah ada 52 waris yang pernah menjaganya.
Jika diambil kira cerita Khalip yang mengatakan orang dulu ‘panjang umur’, misalnya Siti Rawa iaitu neneknya meninggal dunia pada usia 152 tahun, sudah tentu usia sundang itu mencecah hampir 600 tahun jika dikira purata setiap waris hidup 100 tahun.
Sudang itu mempunyai dua tanda silang sebagai tanda kebesaran dan jika orang Rao melihatnya, mereka akan tahu tanda berkenaan dengan menghormati keistimewaan, keunikan serta pewarisnya. Ada juga ukiran pada bahagian mata sundang.
Hulunya yang diperbuat daripada gading gajah mempunyai mata berwarna hitam. Senjata itu pernah digunakan dalam Perang Pahang pada 1892 ketika hulubalang Rao membantu Mat Kilau menentang Inggeris di Pahang.
Ketika itu, seramai 50 tentera Rao daripada Perak berkumpul dan bergerak ke Pahang bagi membantu saudara mereka yang terbabit dalam perang menentang penjajah Inggeris.
“Orang Rao ini sukakan ilmu tetapi paling penting mesti mengamalkan ajaran Islam, jangan sesekali tersasar. Orang yang berilmu adalah orang yang sentiasa ingatkan Allah dan jangan kita disukai ramai kerana benda lain.
“Umpama pisang masak setandan, ramai yang datang berkerumun tetapi jika buah dah habis, tandan akan makan tuan. Itulah perumpamaan orang tidak berilmu dan itulah warisan bangsa Rao,” katanya.
Pedang yang dimilikinya mempunyai tanda diperbuat pada 1842. Menurut Khalip, ia senjata yang dirampas daripada tentera Inggeris. Cuma sarung asalnya sudah rosak dan digantikan dengan sarung pedang yang baru.
Badik kecil itu pula mempunyai tulisan ayat al-Quran iaitu tulisan Bismillah di kedua-dua belah yang menggambarkan pemiliknya adalah orang Islam. Sarung dan hulu diperbuat daripada gading berwarna kuning seolah-olah menggambarkan kekuatan serta ketaatan pada pemiliknya.
Difahamkan, badik itu digunakan di sebelah tangan kiri dengan memegangnya secara terbalik kerana boleh digunakan sebagai penahan serangan dan menikam musuh. Mata badik berwarna putih dipercayai warna asal putih besi.
Selain mengamalkan ajaran Islam, menggunakan senjata klasik yang dianggap rapat dan akrab dengan pemiliknya, orang Rao juga sebenarnya mempunyai beberapa amalan lain yang bertujuan menyihatkan diri.
Antaranya ialah amalan mandi embun pada tengah malam hingga awal pagi pada setiap 15 hari bulan mengikut kalendar Islam yang jatuh pada malam Jumaat. Hari berkenaan hanya ada datang sekali dalam tempoh setahun dan sering ditunggu-tunggu pengamalnya.
Bahkan, pahlawan Mat Kilau juga mengamalkan mandi embun pada malam Jumaat yang dikatakan mempunyai kelebihan tersendiri berbanding hari lain.
Harimau jadian awasi pergerakan anak cucu
JIKA diikut orang tua-tua, mereka seboleh-bolehnya tidak mahu perkara ini dipanjangkan. Tetapi orang muda pula semangat bercerita soal asal usul nenek moyang mereka dari seberang yang katanya mempunyai pelbagai ilmu atau lebih senang mereka sebenarnya ada ‘penjaga’.
Di sekitar Gopeng, Perak sendiri yang majoritinya dihuni orang Rao ilmu itu masih ada, dan masih ada penjaganya. Cuma bukan sembarangan orang yang boleh rapat atau berhubung dengannya.
Menurut cerita lisan turun temurun, lembaga yang dikatakan harimau jadian itu sebenarnya tidak pernah dilihat secara keseluruhan bentuk fizikalnya. Cuma beberapa penduduk pernah terserempak dengannya pada sebelah malam yang dikatakan mempunyai dua mata yang terang. Sekalipun cuma melihat dua mata yang terang dalam gelap, ia sudah cukup menggerunkan seolah-olah berdepan seekor harimau besar.
Saharudin Karim, 80, adalah antara individu yang pernah terserempak dengan ‘penjaga’ kawasan sekitar Gunung Mesah, tidak jauh daripada kediamannya sekarang. Dulu kawasan itu pernah menjadi tempat kediaman tetapi kini sudah lama ditinggalkan.
Beliau cukup keberatan untuk berkongsi pengalaman tetapi daripada penerangan ringkasnya, makhluk itu pernah menjelma sepintas lalu. Sepanjang ingatannya, penduduk kampung pernah terserempak dua kali dengan makhluk itu.
“Kalau musim durian, usahlah ada niat nak mencuri atau sengaja nak masuk ke kebun orang lain. Jika ada ‘rezeki’ mereka akan terserempak dengan penjaga di situ. Siaplah, mesti demam berminggu-minggu. Ini nak bercerita pun meremang bulu roma.
“Bukannya apa, dia cuma menjaga kawasan kerana orang yang berniat jahat saja akan disergah. Kalau anak cucu ternampak, itu cuma nak tunjukkan dia ada di situ jaga kawasan. Ia tak pernah kacau orang atau saja-saja nak takutkan,” katanya.
Difahamkan, ilmu pusaka itu diwarisi daripada sebelah ibu dan diperturunkan kepada warisnya yang layak memegang amanah. Ia tidak boleh diserahkan sembarangan kerana bimbang tidak mampu mengawalnya. Ilmu itu sebenarnya dibawa nenek moyang mereka dari tanah Rao di Sumatera dan setakat ini ditugaskan menjadi pelindung kepada tiga generasi keturunan mereka.
Bahkan, satu daripada petua amalan berdamping dengan ‘penjaga’ mereka ialah mesti ada satu sesi pertemuan. Bak kata orang tua-tua mesti bergomol dulu dengan harimau itu, baru boleh jadi kawan, maknanya ada wujud rasa serasi.
Kalau lulus bahagian itu, petanda seterusnya ialah bakal pewaris atau penerima akan menerima satu bekalan bahan untuk dijadikan air mandian. Mereka akan menerima daun dan akar kayu yang dihantar ke rumah mereka pada sebelah malam.
Jika ada sebarang kematian membabitkan ahli keluarga atau waris terdekat, pewaris ilmu itu akan menerima petanda ada harimau mencakar dinding rumah dan mengetuk pintu menandakan ada kematian orang terdekat.
Sepanjang upacara mengurus dan mengebumikan jenazah juga biasanya akan berlaku perkara luar dugaan. Kebiasaannya, akan ada antara ahli keluarga yang secara automatik akan bersilat ketika jenazah diusung dan dibawa keluar dari rumah. Biasanya, mereka akan beraksi silat harimau dan ahli keluarga akan membiarkan sehingga dia habis bersilat kerana mereka faham mengenai perkara itu yang dianggap kejadian biasa.
Dicuplik dari kolum Misteri Etnik tulisan Mohd Azis Ngah yang disiarkan di Berita Harian.
No comments:
Post a Comment