Pengikut dan Ex-smgrian

Wednesday, August 11, 2010

Orang Rawa bahagian kedua

Melayu Rao kaya petua tradisional

BIARPUN hidup dalam serba moden termasuk menikmati kemudahan perubatan terkini, masih ada dalam kalangan masyarakat Melayu Rawa (Rao) yang terikat atau banyak mengamalkan petua tradisional nenek moyang sehingga ke hari ini.

Kebanyakan perubatan dan petua tradisional itu berasaskan sumber alam semula jadi, terutama tumbuhan untuk dijadikan ubat dan amalan berkenaan diterima pakai sehingga kini oleh generasi pertengahan dan baru.

Satu daripadanya ialah penawar sakit kepala atau demam yang digelar Semparan dengan menggunakan kunyit atau halia dan bawang untuk mengesan jika wujud sebarang petanda keteguran.

Sebagai contoh, sepotong kunyit dibelah dua diletakkan di atas belakang tangan dalam keadaan tertangkup sebelum dilambung dan dibiarkan jatuh ke lantai. Seolah-olah bermain buah guli, cuma kunyit kecil itu tidak disambut dan dibiarkan jatuh.

Ketika ini dibacakan doa tertentu dan jika satu atau kedua-duanya kunyit itu jatuh dalam keadaan tertangkup, ia bermakna terkena keteguran dan mesti dirawat.

Individu yang melakukannya mesti mengambil kunyit tertangkup itu dan mencium di mulut dan hidung serta menyapu ke dahi, dada, hati, pusat, belakang badan diikuti lengan kanan dan kiri hingga ke jati telunjuk.

Sharipah Azizah Raja Sorah, 75, berkata rawatan itu mesti disusuli tindakan sama dengan menyapu pada kedua-dua lutut disudahi kaki kanan dan kaki kiri.

“Selepas habis pusingan pertama, kena ulang lagi sehingga beberapa kali sehingga jika kedua-dua belah potongan kunyit itu jatuh dalam keadaan terlentang. Itu maknanya sudah tidak keteguran,” katanya yang mewarisi amalan itu daripada arwah neneknya, Kaimah Daud.

Katanya, mereka percaya pesakit terkena teguran makhluk halus, roh orang mati atau akibat hujan panas, jadi amalan itu bertujuan membuang benda yang tidak baik di dalam badan pesakit.

Bagaimanapun, rawatan itu mesti dikenakan pengeras yang ditetapkan, iaitu bayaran yang berakhir dengan nilai suku. Misalnya duit sebanyak RM1.25 atau RM10.25 dan 25 sen itu bermaksud suku daripada nilai seringgit.

“Jumlah pengeras tidak boleh lebih atau tak boleh kurang daripada nilai suku di belakangnya, tetapi berapa nilai yang hendak dibayar bergantung kepada pemberi,” katanya.

Satu lagi amalan ialah teknik membuang angin dalam badan dengan menggunakan ibu jari tangan yang disentuh pada lelangit dan kemudian dijampi dengan bacaan tertentu lalu ditekan pada pusat pesakit diikuti jampi seterusnya. Teknik itu mesti dilakukan sebanyak tiga kali berturut-turut.

Bagi yang menghadapi masalah anak kecil sering muntah, mereka kerap menggunakan tangkal muntah daripada tali kasut yang sudah digunakan.

Seutas tali kasut akan disimpul tiga kali dan diletakkan di tapak tangan untuk dijampi lalu dikalungkan pada leher kanak-kanak berkenaan. Kalung itu mesti dipakai selama tiga hari berturut-turut dan apabila penyakit muntah itu sudah pulih, kalung berkenaan dibuang.

“Jampi itu boleh dibuat melalui telefon, jika pesakitnya berada jauh, saya sendiri boleh buatkan dari sini, tetapi mesti letakkan tali kasut itu di tepi telefon untuk dijampi. Semua jampi itu menggunakan ayat al-Quran dan kita cuma berusaha dengan izin Allah,” katanya.

Sementara itu, wakil generasi pertengahan masyarakat Rao, Normah Mohd Nasir, generasinya juga masih mengamalkan tradisi sama dan turut meluahkan kebimbangan ia pupus jika tidak diwarisi dan diamalkan.

Antara amalannya ialah menggunakan buah terung Belanda yang dikenali sebagai pokok Limbang atau terung liar sebagai ubat beguk akibat bengkak di leher. Kebiasaannya ia dipadankan dengan amalan masyarakat Melayu menggunakan nila cair yang disapu pada tempat bengkak.

Buah terung bulat itu sebesar jari kelingking orang dewasa akan dicucuk dengan benang untuk dijadikan rantai dan akan dikalungkan ke leher pesakit sehinggalah buah itu menjadi kecut yang menandakan penyakitnya sudah sembuh.

Penggunaannya bertujuan mengurangkan suhu badan panas pesakit kerana buah terung itu diakui antara buahan yang dikategorikan sebagai makanan sejuk, bahkan boleh dijadikan ulam dan sesuai untuk merawat usus.

“Semua tumbuhan ini boleh ditemui di kebanyakan tempat, terutama di sekitar Gopeng. Cuma terpulang kepada kita nak gunakan khasiatnya atau tidak. Kami masih amalkan kerana ia terbukti berkesan,” katanya.

Katanya, daun Malai Alam pula banyak digunakan bagi merawat luka kecil berdarah dengan menggosok daun sehingga lembik dan menyapu pada tempat luka. Pesakit yang menggunakannya akan terasa pedih bila disapu pada luka, tetapi sangat berkesan menghentikan pendarahan kecil.

‘Rentak kudo’ penyeri majlis semakin dilupai

TRADISINYA menarik dan menghiburkan, tetapi kini hampir pupus ditelan zaman. Jika dulu, setiap kali musim kenduri kahwin, musim menuai padi pasti meriah dengan pesta berbalas pantun yang dinamakan ‘rentak kudo’.

Irama tradisional ini boleh diibaratkan sebagai satu luahan rasa, luahan hati yang menggambarkan kegembiraan, kesedihan, keseronokan, suatu pencarian, perasaan orang berkasih yang diluahkan secara terbuka di tempat keramaian.

Lebih menarik, ia bukan hanya membabitkan dua pasangan yang berbalas pantun, tetapi turut membabitkan hadirin yang hadir, sekali gus memeriahkan lagi suasana.

Bak kata Sabariah Tansali, 77, dari Kampung Tekah Baru, Gopeng, adat itu kadang kala berlarutan hingga tiga jam sehinggalah tiba ke acara kemuncak sama ada majlis persandingan atau pun pesta menuai padi yang sering dilakukan secara gotong-royong.

“Orang dulu dulu, suka mengusik untuk berseronok. Kadang kala pengantin pun kena usik, biasalah pengantin baru, ramai yang nak mengusik. Itu sebenarnya akan merapatkan hubungan kerana yang datang kenduri pun orang kampung itu juga.

“Zaman dulu, setiap kali musim menuai atau pesta kenduri kahwin, mesti meriah dengan acara berpantun. Itu sebenarnya satu tarikan membuatkan ramai orang kampung hadir. Selepas penat membantu kenduri, sebelah malamnya pasti meriah dengan pesta pantun,” katanya.

Bidan kampung ini turut mendendangkan pantun pengantin yang sering digunakan ketika adat bertandang ke rumah pengantin perempuan selepas nikah. Biasanya ia digunakan untuk mengusik pengantin lelaki.

Nak dulang, dulangnya padi,
pucuk semali, semali muda,
nak pulang kami lagi,
besok lagi ke mari pula.

Jangan terdulang dulang saja,
boreka di mana dihentakkan,
jangan terpulang-pulang saja,
adik di mana diletakkan.

Pantun ini menceritakan pengantin lelaki akan pulang ke rumahnya selepas majlis pernikahan dan akan datang semula keesokannya harinya, tetapi risau di mana pengantin wanita berada.

Bahkan, kanak-kanak juga pandai berpantun bagi menggambarkan perasaan mereka, misalnya pantun ibu garang yang risau dimarahi ibu mereka.

Idak kami nak mandi lagi,
karang batu tertangkup,
idak kami ke mari lagi,
emak garang kami takut.

Bagi pasangan yang sedang bercinta atau pun yang sudah berkahwin, mereka pula lebih menjurus kepada pantun kasih yang menggambarkan perasaan mereka kepada pasangan masing-masing:

Dulu loyang sekarang besi,
tukang di mana tuan tampalkan,
dulu sayang sekarang dah bonci,
sayang ke mana tuan ubahkan’.

Mangkuk tetap berisi dadih,
anak lembu dua sekandang,
dulu tak cukup sekarang tak abis,
sudah jemu mata memandang.

Waris Hulubalang Ali, Khalip Yaacup, 63, pula memberikan pandangan berbeza dengan mengatakan rentak kudo hanya dimainkan ketika musim menuai pada masa malam terang.

“Iramanya seumpama bunyi tapak kuda berjalan, sebab itulah dinamakan ‘rentak kudo’. Kebiasaannya apabila habis saja serangkap pantun, orang ramai yang hadir akan menyambutnya dengan selawat ke atas junjungan Nabi beramai-ramai.

“Pesta itu akan diiringi dengan pukulan gendang dan diulang banyak kali dengan pantun yang berlainan. Maksud dan pembayang pantun tidak terikat, boleh gunakan apa saja yang sesuai, asalkan mesej yang disampaikan mudah difahami.

“Ia menceritakan mengenai kisah rakyat, luahan hati orang kampung yang hidup dalam kesusahan. Dengan cara itu, ia akan meringankan beban pemikiran yang lebih banyak tertumpu kepada cara bagaimana nak tambah rezeki,” katanya.

Khalip sempat mendendangkan dua rangkap pantun dengan penuh bersemangat bagi menggambarkan bagaimana keturunannya dulu meluahkan rasa hati melalui berpantun.

Tak tuntung kelamai jagung,
gundak gundak tabong bosi,
mengapo uci duduk termenong,
uncang kaduk tidak berisi.

Rusilan pergi ke nasa,
tercicir pulak umpih nasinya,
setahun padang terbakar,
tidak nampak sayang asap apinya.

Walaupun wujud perbezaan, ia terlalu kecil kerana paling penting tradisi itu sebenarnya menggambarkan budaya orang Rao yang gemar berhibur dengan cara berpantun untuk meluahkan rasa hati dan kegembiraan mereka meraikan sesuatu.

Namun, agak menyedihkan kerana tidak ramai generasi muda ketika ini yang tahu bagaimana untuk memainkan tradisi ‘rentak kudo’ bagi memastikan pusaka moyang mereka ini dapat diteruskan dan tidak pupus ditelan zaman.

Dicuplik dari akhbar Berita Harian

No comments: