Pengikut dan Ex-smgrian

Tuesday, January 12, 2010

Rokok

Rokok adalah silinder dari kertas berukuran panjang antara 70 hingga 120 mm dengan diameter sekitar 10 mm yang berisi daun-daun tembakau yang telah dirincik.  Rokok dibakar pada salah satu hujungnya dan dibiarkan membara agar asapnya dapat dihirup melalui mulut pada hujung lain.

Pertama kalinya manusia merokok ialah suku bangsa Indian di Amerika, untuk keperluan ritual seperti memuja dewa atau roh.  Pada abad ke-16, ketika bangsa Eropah menemukan benua Amerika, sebahagian daripada penjajah Eropah itu ikut mencuba-cuba menghisap rokok dan kemudian membawa tembakau ke Eropah.  Kemudian kebiasaan merokok mulai muncul dalam kalangan bangsawan Eropah.  Abad ke-17 para pedagang Sepanyol masuk ke Turki dan ketika itu kebiasaan merokok mulai masuk ke negara-negara Islam.

Fakta membimbangkan dan menakutkan tentang rokok.
  • Seseorang yang merokok telah mengeluarkan lebih 4,000 bahan kimia beracun, radioaktif (polonium - 201), acetone (bahan-bahan yang digunakan di dalam cat), pencuci lantai (ammonia), ubat gegat (naphthalene), racun serangga (DDT), racun anai-anai (arsenic), gas beracun (hydrogen cyanide) yang digunakan bagi pesalah yang menjalani hukuman mati.  Bagaimanapun, racun paling penting adalah tar, nikotina dan karbon monoksida.
  • 50% daripada golongan lelaki di Malaysia adalah perokok.
  • Di Kuala Lumpur, nisbah antara perokok lelaki dan wanita di bawah umur 30 tahun adalah 5:1.
  • Kadar merokok dari golongan remaja dan wanita semakin meningkat.  25% daripada pelajar sekolah berumur 15 tahun ke atas pernah mencuba merokok dan 70% daripada kumpulan ini akan menjadi perokok apabila meninggalkan bangku sekolah.
  • 60 - 75% daripada asap rokok akan disedut oleh orang yang tidak merokok termasuk isteri dan anak-anak perokok.
  • Hanya 50% perokok akan dapat menjangkau umur 70 tahun.
  • Rakyat Malaysia membelanjakan RM1.5 bilion setiap tahun untuk membeli rokok.

Statistik Merokok Global

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menyusun statistik merokok di seluruh dunia pada tahun 2002 dan keadaannya amat serius sekali.

Di seluruh dunia, antara 80,000 dan 100,000 kanak-kanak mula merokok setiap hari dan adalah dianggarkan satu suku kanak-kanak yang hidup di Wilayah Pasifik Barat* akan mati akibat merokok.
  • Kira-kira satu pertiga penduduk lelaki dewasa dunia merokok.
  • Penyakit berkaitan merokok membunuh seorang dari 10 dewasa di seluruh dunia, atau menyebabkan empat juta kematian.  Menjelang 2030, jika aliran semasa ini berterusan, merokok akan membunuh seorang dalam setiap enam orang.
  • Setiap lapan saat, seseorang akan mati akibat daripada penggunaan tembakau.
  • Merokok semakin meningkat di negara membangun tetapi semakin merosot di negara maju.  Dalam kalangan rakyat Amerika, kadar merokok merosot hampir separuh dalam tiga dekad (daripada pertengahan 1960-an hingga pertengahan 1990-an), jatuh kepada 23% daripada lelaki dewasa pada 1997.  Di negara membangun, pengambilan tembakau meningkat 3.4% setahun.
  • Kira-kira 15 bilion rokok dijual setiap hari atau 10 juta setiap minit.
  • Kira-kira 12 kali ganda lebih ramai penduduk British mati akibat merokok berbanding daripada Perang Dunia Kedua.
  • Merokok menyebabkan lebih daripada satu dalam lima kematian rakyat Amerika.
  • Antara wilayah WHO, Wilayah Pasifik Barat yang meliputi Asia Timur dan Pasifik mempunyai kadar merokok paling tinggi dengan hampir dua pertiga daripada lelaki merokok.
  • Kira-kira satu dalam setiap tiga batang rokok dihisap di Wilayah Pasifik Barat.
  • Pasaran tembakau dikawal oleh hanya beberapa perbadanan terutamanya konglomerat Amerika, British dan Jepun.  
  • Dalam kalangan remaja (berusia 13 hingga 15), kira-kira satu dalam lima merokok di seluruh dunia.
  • Antara 80,000 dan 100,000 kanak-kanak di seluruh dunia mula merokok setiap hari - secara kasarnya separuh daripada mereka ini tinggal di Asia.
  • Bukti menunjukkan bahawa sekitar 50% daripada mereka yang mula merokok ketika remaja akan terus merokok 15 hingga 20 tahun.
  • Kajian menunjukkan remaja banyak dipengaruhi oleh iklan tembakau.
  • Kira-kira satu suku belia yang hidup di Wilayah Pasifik Barat akan mati akibat merokok.

*37 negara dan kawasan yang terdiri daripada Wilayah Pasifik Barat ialah: Samoa Amerika, Australia, Brunei Darussalam, Kemboja, China, Kepulauan Cook, Fiji, French Polynesia, Guam, Hong Kong (China), Jepun, Kiribati, Laos, Macau (China), Malaysia, Kepulauan Marshall, Micronesia, Mongolia, Nauru, New Caledonia, New Zealand, Niue, Kepulauan Mariana Utara, Palau, Papua New Guinea, Filipina, Kepulauan Pitcairn, Korea, Samoa, Singapura, Kepulauan Solomon, Tokelau, Tonga, Tuvalu, Vanuatu, Vietnam, dan Wallis and Futuna.

Sumber: Utusan Pengguna, quitsmoking.about.com/cs/antismoking/a/statistics.htm

No comments: