Manusia pada fitrahnya adalah suci, namun disebabkan iblis menggoda dan mendorong ke arah dosa menyebabkan manusia terjerumus ke lembah ketandusan akhlak dan kemanusiaan sebagai umat Islam disegani.
Di samping peranan iblis, faktor lemahnya iman juga menjadi sebab begitu senang manusia ditipu. Umat Islam disogok dengan fahaman yanng mengelirukan jauh lari dari ajaran Islam iaitu menjurus kepada fahaman liberalisme, hedonisme, pluralisme dan sekularisme. Masing-masing dicipta untuk melemahkan umat Islam dengan sogokan nikmat dunia dan keterbukaan tanpa batasan syariat. Itulah strategi kuffar (kafir) dalam meruntuhkan kemuliaan umat Islam tanpa disedari. Di sebalik yang tersurat itu ada yang tersirat.
Kemuliaan umat satu jaminan Allah
Berkenaan kemuliaan umat ini, banyak disebut tentangnya dalam al-Qur'an, antaranya:
Al-Baqarah: 143, maksud:
"Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang adil dan pilihan agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu.
Senario umat Islam hari ini
Melafazkan kalimah syahadah dengan mulut, mengaku patuh kepada Allah dan Rasul mudah diucapkan, namun ia sangat senang juga dimungkiri. Itulah betapa lemahnya iman umat hari ini. Tiada tunjang yang boleh mengutuhkan pegangan mereka, begitu rapuh. Mengapakah semua ini terjadi, Allah telah menerangkan dalam firman-Nya dalam surah an-Nur ayat 47:
"Dan mereka berkata: "Kami telah beriman kepada Allah dan Rasul, dan kami mentaati (keduanya)." Kemudian sebahagian dari mereka berpaling sesudah itu, sekali-kali mereka itu bukanlah orang-orang yang beriman."
Kita mengaku diri sebagai Muslim, tetapi ia hendaklah timbul dari kekuatan iman itu. Bukan disebabkan agama keturunan atau budaya beragama. Jika kerana itulah dasar keimanan kita, maka akan timbullah senario perosak seperti yang berlaku kini, hinggakan boleh terjadi di hadapan mata, tiada segan silu. Pegangan dari kalimah pengakuan (syahadah) itu jika dihayati, betapa besarnya hikmah yang akan dicapai oleh umat Islam. Sentiasa dibatasi dengan janji kepada Allah SWT dan penghormatan kepada kekasih-Nya Rasulullah SAW, tentunya semua perbuatan akan digarisi dengan syariat Allah.
Dewasa ini kesucian umat Islam di Malaysia sudah dicemari dengan perbuatan sosial warga muda generasi pelapis bangsa tidak kurang juga warga berusia yang begitu tidak bermoral. Kita kerap dikejutkan dengan berbagai peristiwa dan fakta yang merupakan rintangan besar dalam mewujudkan sebuah negara Islam yang mempunyai warga masyarakat berakhlak mulia. Fenomena pembuangan bayi merata-rata bagaikan membuang sampah sarap. Begitu senang dan mudah selepas melakukan dosa.
Jika dilihat fakta yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat dari tahun 1988 - 1992 menunjukkan statistik pembuangan bayi begitu ketara peningkatannya dari tahun ke tahun. Ini ditambah dengan perbuatan mendera kanak-kanak. Di manakah letaknya pemikiran dan iman sehingga menggambarkan betapa jeliknya tabiat masyarakat kini dalam menguruskan anak-anak yang tidak mengetahui apa-apa. Fenomena permasalahan sosial seperti pelacuran, seks bebas, sumbang mahram dan sebagainya berleluasa. Semua ini menunjukkan bahawa pergaulan bebas antara punca utama.
Ini jelas berdasarkan Kajian Permasalahan Sosial Pekerja Kilang di Selangor yang dibuat dalam tahun 1995 menunjukkan 58 peratus daripada pekerja kilang terbabit dengan pelbagai jenis maksiat, seperti perbuatan sumbang serta seks bebas.
Begitu juga purata peningkatan jenayah berat seperti bunuh, rogol, samun dan seumpamanya, begitu menggerunkan. Semua ini tentunya dapat dibatasi dan dibajai semula dengan kembali menghayati al-Qur'an dan Sunnah. Penyelesaian akan muncul di sebalik bait-bait kalimah Allah itu. Dilihat pada penyelesaian sosial kini, semuanya ada dinukilkan dalam al-Qur'an. Seperti dalam firman-Nya dalam surah An-Nur, ayat 31 supaya menjaga maruah:
"Katakanlah kepada wanita yang beriman: "Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. Dan janganlah mereka memukulkan kakinya agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung".
Betapa perlunya umat Islam kembali kepada al-Qur'an dan Sunnah dalam menghadapi kegetiran hidup di zaman globalisasi ini. Setiap penjuru kuffar menginginkan keruntuhan umat Islam amnya dan Islam khasnya. Di Palestin, pembunuhan berlaku saban hari. Jika dilihat pada fakta yang dipetik dari laman sesawang www.ifamericansknew.org menunjukkan begitu ketara perbandingan antara warga Palestin yang terbunuh berbanding Israel semenjak 29 September 2000 iaitu Israel sebanyak 1,000 manakala 4,000 bagi Palestin. Begitu juga dengan tawanan, Palestin menjangkau 9,000 orang manakala tiada seorang pun dari kalangan Israel menjadi tawanan Palestin. Semua keganasan ini mencerminkan betapa bencinya Yahudi dengan umat Islam, sentiasa mencari peluang memusnahkan Islam.
Tujuan kuffar hanya satu iaitu menghabiskan umat Islam serta keturunannya. Betapa mereka gerun dengan Islam, begitu bimbang mereka dengan kebangkitan umat Islam. Padahal mereka tidak mengetahui bahawa perjuangan umat Palestin hanyalah untuk Islam dan keredhaan Allah satu-satunya. Tiada erti takut dan sebagainya demi memastikan Islam di tingkat pertama. Inilah yang mahu kita semaikan semula dalam fikiran umat Islam yang kebanyakannya sudah makin luntur keimanannya.
Formula mengembalikan kemuliaan umat Islam:
Berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud:
"Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (derajatnya), jika kamu orang-orang yang beriman".
-Surah Ali Imran: 139
Firman Allah itu sebenarnya menyorot kisah peperangan Uhud yang menewaskan 70 orang mujahid fi-sabilillah. Maka Nabi Muhammad SAW kelihatan sedih dan lesu, lalu turunlah ayat ini yang menyatakan modal tunggal yang tidak pernah dirampas musuhmu ialah iman. Jikalau iman benar-benar masih berada dalam dadamu, kamulah yang paling tinggi dan akan tetap tinggi kerana iman panduanmu menempuh masa hadapan.
Dalam kejadian ini kita dapat melihat betapa pentingnya satu-satu kejadian sejarah yang yang kadang-kala menjadi titik-tolak perubahan baru. Itulah sebabnya ayat tadi melarang orang Islam merasa hina dan dukacita ditimpa bala bencana kerana selama mereka masih beriman, mereka tetap yang paling tinggi di sisi Allah. Sebanyak mana pun bala bencana, kesulitan dan hasutan syaitan yang timbul, dengan iman yang tebal kepada Allah, insya-Allah semua dapat ditepis.
Jika dilihat dari sudut jihad, ia berperanan mengimbangi semula kemurnian umat Islam sejagat selain pengukuhan iman. Maksud jihad dari pandangan Ibnu Rusyd ialah perjuangan menyuruh umat Islam menggunakan segala kuasa yang ada pada mereka sama ada dalam bentuk daya pemikiran, ilmu, semangat keberanian, kesabaran dalam kesungguhan dan dalam harta benda. Manakala Ibnu Taimiah berpendapat, jihad ialah berusaha bersungguh-sungguh untuk menghasilkan sesuatu yang diredhai Allah dari keimanan dan amal soleh dan menolak sesuatu yang dimurkai Allah dari kekufuran, kefasikan dan kederhakaan.
Jihad bukan hanya kewajipan. Ia kewajipan yang memelihara kewajipan-kewajipan syariat Islam yang lain. Ia bertindak sebagai perisai bagi melindungi syariat Islam. Apabila perisai ini berdiri teguh, syariat Islam akan terpelihara manakala jika ia lemah atau runtuh, syariat Islam juga akan jatuh musnah. Jihad tidak hanya memfokuskan kepada menentang kafir, menentang nafsu, menuntut ilmu dan bidang dakwah juga termasuk dalam bidang jihad. Dalam al-Qur'an banyak ayat yang difokuskan berkenaan jihad dalam pelbagai bidang, seperti:
- Jihad menentang nafsu - Surah as-Shams: 10
- Jihad menuntut ilmu - Surah Az-Zumar: 9
- Jihad pada bidang amal - Surah Maryam: 59-60
- Jihad dalam berdakwah - Surah Al-Hajj: 67
- Jihad menentang syaitan - Surah Al-An'am: 121
Kesemua ayat ini merangkum makna jihad iaitu berusaha bersungguh-sungguh demi memenuhi tuntutan agama. Suruhan Amar Makruf Nahi Mungkar amat besar ertinya dari sudut peranan khalifah. Segala kemaksiatan hendaklah dicegah walau dengan bagaimana cara sekali pun asal kemungkaran itu dibenci bukan diterima.
Dalam sebuah negara Islam yang mengamalkan Islam sebagai agama negara sepatutnya mencerminkan umat Islam yang disegani. Namun di sisi lain pada waktu yang sama jelas pula sejumlah unsur negatif sedang membiak subur di tengah masyarakat yang memerlukan kerja keras para pendakwah dan kalangan bertanggungjawab untuk memperbaikinya. Banyak lagi kerja yang perlu dilakukan oleh Muslim di Malaysia dan bukan hanya ditumpukan kepada pihak yang bertanggungjawab semata-mata agar selaras dengan kehendak dan tuntutan syariat Islam sesuai sebagai sebuah negara Islam.
Dicuplik dari akhbar Sinar Harian
No comments:
Post a Comment