Pengikut dan Ex-smgrian

Monday, November 2, 2009

Nabi Ibrahim a.s. mencari Tuhannya

Sejak remaja lagi Nabi Ibrahim a.s. telah mengetahui bahawa menyembah berhala adalah satu perbuatan yang bodoh dan sesat tetapi di hatinya tertanya-tanya siapa pula yang telah menjadikan dirinya dan alam semesta ini.

Disebabkan itu selalulah Nabi Ibrahim a.s. mencari-cari ilham akan siapakah Tuhannya yang sebenar, Tuhan yang mesti disembah oleh seluruh umat manusia, bukannya patung berhala yang dungu dan bisu, yang dicipta dan dibentuk oleh manusia sendiri.

Bila tiba waktu malam, Nabi Ibrahim a.s. terlihat bintang yang bergemerlapan di atas langit, cahayanya berkelip-kelip, seolah-olah bintang itu berkuasa lantas Nabi Ibrahim a.s. berkata, "mungkin inilah Tuhanku."

Namun tidak lama kemudian bintang tersebut malap dan terlindung dari pandangan mata kasar. Lalu berkata pula Nabi Ibrahim a.s. "tidak mungkin ini Tuhanku. Tuhan haruslah sentiasa kekal, tidak malap dan tidak berkisar-kisar."

Setelah itu terbitlah bulan menyinari alam. Cahayanya melimpah menerangi kota itu. Direnung akan Nabi Ibrahim a.s. akan bulan tersebut dan dengan renungan yang mendalam Nabi Ibrahim a.s. berkata, "mungkin inilah Tuhanku."

Bulan itu secara tiba-tiba terlindung di sebalik awan, dan suasana menjadi gelap seketika. Hanya kesan-kesan sinarannya yang amat lemah menyinari kawasan sekeliling.

Nabi Ibrahim a.s. dengan perasaan hampa berkata, "tidak mungkin ini Tuhanku. Tuhan tidak akan berada di bawah sesiapa. Tuhan tidak akan dikuasai oleh sesuatu yang lain."

Tibalah waktu fajar hingga matahari muncul menyinari kota. Matahari naik dan tegak menuju ke pusat langit dengan suluhan cahayanya gagah memancar seperti panah menembusi angkasa menerangi seluruh kota. Keadaan ini dilihat oleh Nabi Ibrahim a.s. dan berkata pula, "mungkin inilah Tuhanku."

Apabila matahari mulai condong, perlahan-lahan menuju ke arah barat dan pacarannya mulai beransur redup, cahayanya yang terang-benderang itu mulai lemah dan bertukar menjadi gelap-gelita maka Nabi Ibrahim a.s. pun berkata, "tidak mungkin ini Tuhanku. Tuhan tidak akan lemah. Tuhan tidak akan malap dan redup. Tuhan tidak akan bertukar-tukar."

Bersambung.

Sumber: Kitab Tuntunan Ibadat susunan Syeikh Ali b. Abdullah Baldram Ali Baldram

No comments: