Pengikut dan Ex-smgrian

Tuesday, November 24, 2009

Menjadi bapa efektif

Lelaki juga boleh mengalami tempoh masa yang sukar ketika berdepan dengan emosi yang tidak stabil. Apakah yang boleh dilakukan untuk mengasah kredibiliti anda sebagai seorang bapa?



MEMIKUL tanggungjawab sebagai seorang bapa tidaklah semudah yang disangkakan. Dalam kebanyakan masa, tentu ramai golongan bapa berasa tertekan memikirkan dan memikul tanggungjawab terhadap keluarga.

Harapan untuk seseorang bapa menjalankan tugas dengan berkesan bukan sahaja berlaku di rumah, malah ada ketikanya di tempat kerja.

Berikut 10 cara bagaimana menjadi bapa yang efektif dalam tugasan paling penting yang pernah disandang mereka.

1. Lihat anak anda sebagai seorang yang berkemampuan

Tidak dinafikan, kebanyakan bapa cenderung melihat anak mereka sebagai 'tidak cukup baik'. Jangan ingat anak-anak tidak tahu tetapi mereka sebenarnya dapat merasainya. Apabila anak merasai persepsi bapanya, mereka dengan mudahnya akan 'terbentuk' seperti yang diharapkan oleh bapa mereka secara tidak langsung. Sebaliknya, apabila kemampuan mereka diakui, mereka akan menjadi lebih hebat daripada yang disangkakan.

2. Luangkan masa untuk anak-anak

Tugasan yang ada tidak pernah berakhir. Namun, anda tidak semestinya mempunyai banyak masa dan peluang untuk bersama anak-anak. Anak-anak akan menilai anda sama ada anda berusaha meluangkan masa biarpun hanya untuk sekejap.

3. Kaedah disiplin yang positif

Hari ini, menghukum anak untuk mendisiplinkan mereka bukan lagi kaedah yang berkesan. Ia sebaliknya akan lebih mendorong perilaku yang tidak baik dan menyukarkan si bapa untuk membuang tabiat buruk si anak. Gunakan kata-kata yang natural dan sedarkan mereka tentang akibat yang masuk akal seperti "Jika Adam tidak kumpulkan semua barang permainan, sebentar lagi ia akan dibawa pergi." Ingatkan juga untuk memberi mereka pilihan. Kaedah disiplin yang positif boleh membantu anak mempelajari erti bertanggungjawab manakala hukuman hanya akan membuatkan mereka membenci anda.

4. Hubungan yang baik dengan isteri

Anda merupakan contoh terbaik kepada si anak. Anda juga adalah sumber maklumat bagi mereka mempelajari apakah itu hubungan yang rapat dan baik. Percayalah bahawa anak-anak 'menonton' dan menyaksikan tingkah laku anda secara dekat.

5. Bersikap peka terhadap kehidupan dan aspirasi anak

Tanya diri anda soalan ini: "Berapa banyak yang saya tahu tentang anak saya? Tahukah saya tentang inspirasi dan aspirasi mereka? Adakah saya peka terhadap siapa kawan-kawan anak saya? Apakah yang anak suka atau tidak suka tentang saya?" Andainya terdapat persoalan tentang anak yang tidak terjawab, anda sentiasa boleh bertanya.

6. Tunjukkan kasih sayang

Berikan kasih sayang dengan memeluk atau memberi kucupan kepada anak. Jika boleh, sekali-sekala, ucapkan "Ayah sayang padamu". Jangan lupa untuk bermain dengan anak-anak. Baik anak lelaki mahupun anak perempuan, kanak-kanak menghargai usaha bapa untuk meluangkan masa bermesra dengan mereka.

7. Mendengar itu membantu

Petua ini mungkin sudah terlalu biasa kedengaran. Tetapi, apa yang pasti, dengan memberi perhatian dan menjadi pendengar yang baik, anda berpeluang mengenali anak dengan lebih rapat. Ketepikan sebentar akhbar yang sering menjadi peneman, pandanglah ke arah anak apabila mereka bercakap. Cuba fikirkan apa yang diperkatakan dan jika anda ingin anak mendengar cakap anda, anda perlu menjadi panduan yang baik.

8. Nilai semula hubungan anda dengan bapa anda

Hubungan yang tidak baik dengan bapa anda sedikit sebanyak akan menjejaskan keupayaan anda untuk menjadi bapa yang berkesan. Adakah terdapat apa-apa perkara yang ingin anda sampaikan kepada bapa anda? Hakikatnya, dengan memaafkan kesalahan bapa anda sendiri boleh membantu dan membenarkan anda mengasah kebolehan menjadi bapa yang lebih baik.

9. Jaga diri anda

Adalah sukar untuk anda menjadi bapa yang baik dan mesra kepada semua ahli keluarga jika anda tidak menjaga diri dengan baik. Luangkan masa untuk diri anda berehat, melakukan senaman dan mengurangkan tekanan yang dihadapi. Dapatkan sokongan moral daripada kawan dan juga ahli keluarga yang lain. Yang penting, elakkan daripada menyisihkan diri.

10. Kawal kemarahan

Lazimnya kemarahan akan dilemparkan kepada anak-anak. Jadi, untuk mengelakkan masalah ini terjadi, ada baiknya anda merehatkan diri dengan teknik-teknik tertentu bagi mengurangkan perasaan marah. Ingatlah, hanya satu episod yang buruk sudah cukup untuk mengubah persepsi dan hubungan anda dengan anak-anak.

Daripada arkib Kosmo!

No comments: