Pengikut dan Ex-smgrian

Tuesday, November 24, 2009

Derita tulang bahu terkehel



Kemalangan ketika bergiat dalam sukan atau permainan lasak dikenal pasti antara sebab utama kecederaan seperti ini dirujuk kepada pihak doktor.

PERNAHKAH anda cuba menahan impak jatuh dengan menggunakan tangan atau cuba berpaut kepada sesuatu secara mengejut? Mungkin ia menyelamatkan sesetengah daripada anda, namun bagi situasi tertentu, perbuatan tersebut mungkin membawa kepada satu masalah lain pula.

Kecederaan boleh terjadi apabila tulang tangan teralih kedudukannya dari soket bahu. Apa yang berlaku ketika itu adalah tulang humerus telah teranjak dari skapula di sendi glenohumeral. Dalam penerangan kasar, tulang tangan telah 'terkeluar' dari engsel bahu.

Bahu juga akan terasa sakit sekiranya skapula terpisah dengan klavikel kerana kecederaan berlaku pada ligamen yang menghubungkan kedua-dua tulang tersebut.

Keadaan tersebut disebabkan kes-kes tertentu seperti dipukul dengan kuat di bahagian bahu atau ketika membengkokkan anggota tangan pada sudut sukar untuk mencapai sesuatu. Paling kerap dilaporkan adalah kecederaan ketika menjalani aktiviti sukan seperti bermain ragbi, bola tampar ataupun berenang.

Mungkin kedengarannya lucu, tetapi ada pesakit yang menderita masalah ini ketika membersihkan sawang labah-labah di siling! Kes seperti itu dan yang berulang sememangnya dianggap malang yang menyakitkan.

"Antara simptom kecederaan tulang bahu terkehel adalah seperti rasa sakit sejurus kecederaan berlaku. Selain bahagian bahu dan tulang selangka menjadi kurang pejal dan berlainan bentuk akibat aturan sokongan tulang yang tidak normal, pesakit juga mudah mengenal pasti keadaan bengkak dan lebam," kata Pakar Bedah Ortopedik, Hospital Pusrawi Kuala Lumpur, Dr. Ismail Maulut.

Menurutnya, seseorang yang pernah mengalami kecederaan sebegini pada usia muda, misalnya pada awal 20-an, berkemungkinan untuk mendapat kecederaan berulang. Sehingga dia mencapai usia melebihi 30 tahun, kemungkinan itu akan berkurangan.

"Tulang bahu yang terkehel atau teralih kedudukannya perlu dirawat sepantas mungkin. Apabila dirujuk kepada doktor, pesakit akan ditanya tentang sejarah kecederaan selain menilai keadaan fizikal pada bahagian bahunya. Tulang bahu yang teralih sangat mudah disahkan kerana ia kelihatan dengan jelas," terang Ismail.

Doktor biasanya menyuntik anestetik pada pesakit sebelum melaras semula tulang tangan ke dalam tulang soket bahu melalui gerakan khusus. Kaedah maneuver itu hanya boleh dilakukan oleh mereka yang arif dengan anatomi di bahagian tersebut.

Namun, bagi kes-kes yang lebih kompleks, pesakit perlu dibawa menjalani beberapa prosedur terlebih dahulu. Ini untuk memastikan sama ada terdapat komplikasi lain seperti keretakan tulang, kecederaan tisu lembut seperti ligamen yang terkoyak, mahupun kemungkinan urat saraf yang tertekan.

Untuk itu, imbasan sinar-X atau teknik imbasan resonans magnetik (MRI) boleh digunakan untuk mengesan kecederaan pada labrum (tulang rawan) atau mana-mana struktur yang menyambung antara sendi tulang.

"Memandangkan bahagian sendi tersebut akan membengkak dan bertambah sakit, maka lebih baik rawatan tersebut dipercepatkan. Sejurus tulang tangan dimasukkan semula ke dalam soket bahu, sebahagian daripada rasa sakit itu akan hilang," jelas beliau.

Lazimnya pesakit akan dapat merasa atau mendengar bunyi seperti tulang yang berlaga apabila tulang kembali ke tempat asalnya. Selepas itu, pesakit diberikan ubat tahan sakit atau ubat antiradang untuk mengurangkan kesan bengkak. Penggunaan pek ais juga disarankan sebagai kaedah rawatan di rumah.

Bagi kes yang berulang, klinik atau hospital boleh menawarkan beberapa jenis rawatan. Antaranya adalah pemulihan Bankart iaitu pembedahan membaik pulih kecacatan dalam kaviti glenoid.

Pembedahan baik pulih itu boleh disertakan dengan prosedur atroskopik. Ia mengenal pasti, memantau, dan mendiagnosis kecederaan sendi menggunakan instrumen optik serat untuk melihat terus ke dalam bahagian yang cedera. Kaedah yang turut membersihkan serpihan tulang atau rawan ini dijalankan oleh pakar tulang untuk memulih tendon dan ligamen yang putus atau koyak.

Selepas menjalani rawatan mengikut keperluan, pesakit disarankan berehat daripada melakukan kerja-kerja berat, lebih-lebih lagi jika ia melibatkan penggunaan tangan di bahagian bahu yang cedera.

Penggunaan pek ais sepanjang proses pemulihan adalah digalakkan sebagai terapi mengurangkan rasa sakit setiap kali membuat pergerakan.

Paling penting, pesakit yang sedang pulih perlu rajin membuat latihan fisioterapi berjadual supaya tangan dan bahu mereka dapat kembali berfungsi ke tahap optimum.

Daripada arkib Kosmo!

No comments: