PROSES membuang tatu adalah rumit dan memakan masa.
RAMAI remaja yang menyesal selepas membuat tatu.
TATU yang besar lebih sukar untuk dihilangkan.
Penggunaan infra merah adalah antara teknik digunakan dalam program Adios Tatuajes
WENDY, 27 tahun, kelihatan tenang ketika menerima suntikan serum sebagai sebahagian daripada proses membuang tatu di sebuah klinik di Chamelecon di San Pedro Sula, baru-baru ini.
Bekas-bekas ahli kongsi gelap dan pelbagai lapisan masyarakat yang mempunyai corak tatu adalah antara mereka yang terpaksa melalui proses menyakitkan untuk membuang tatu pada tubuh demi meningkatkan peluang mendapat pekerjaan di Amerika Syarikat.
Penyingkiran tatu juga mengelakkan mereka ini daripada disalahanggap sebagai pendatang haram di negara tersebut.
Beberapa ahli kongsi gelap yang ditemui wartawan Reuters di klinik itu memberitahu, dalam sesetengah kes, ahli kongsi gelap yang aktif akan dibunuh oleh ahli kongsi gelap yang lain jika tatu mereka disingkirkan.
Seperti Wendy, sekiranya anda manusia biasa yang mempunyai lebih daripada satu tatu dan ingin membuangnya, sudah semestinya anda tahu ia bukan satu proses yang mudah.
Tetapi jika anda menyesal membuat tatu, usah resah kerana kecanggihan sains dan teknologi telah membolehkan tatu disingkirkan.
Program Adios Tatuajes dimulakan di Chamelecon, sebuah perkampungan miskin dan penuh keganasan di San Pedro Sula, Honduras pada November 2000. Ia merupakan satu program yang memberi penekanan terhadap pemulihan remaja yang terlibat dalam kongsi gelap.
Hakikatnya, ahli-ahli kumpulan yang dikenal pasti menerusi tatu, sering diketepikan daripada mendapat peluang pekerjaan khasnya dalam industri pengeluaran biarpun mereka telah insaf.
Proses membuang tatu adalah rumit dan memakan masa. Prosedur tradisional seperti dermabrasion atau pembedahan akan meninggalkan kesan parut . Justeru itu prosedur tersebut sudah jarang digunakan hari ini.
Penyingkiran tatu menggunakan laser pula adalah pendekatan paling umum. Tetapi ia memerlukan kepakaran profesional dan adalah agak mahal khasnya bagi penduduk di negara Dunia Ketiga.
Pada tahun 1991, Dr. Tolbert Wilkinson dari San Antonio, Texas telah mengemas kini sejenis prosedur yang menggunakan sinar infra merah yang tidak memberi kesan parut yang ketara serta agak murah.
Mesin ini boleh dikendali oleh staf tidak terlatih. Program Adios Tatuaje telah menggunakan proses inovatif untuk proses penyingkiran tatu.
Selepas dua setengah tahun program Adios Tatuajes beroperasi, lebih 14,000 remaja telah menerima rawatan. Buat masa ini, terdapat dua buah klinik yang beroperasi sepenuh masa di San Pedro Sula dan Tegucigalpa.
Tegucigalpa misalnya memiliki peralatannya sendiri dan telah merawat sekitar 2,500 orang tahun lepas.
Bagi mereka yang tidak pernah mencuba tatu pada tubuh mereka, sudah tentu mereka tertanya-tanya adakah tatu memberi masalah kepada pemiliknya? Jawapannya, 'ya'.
*** Alahan. Salah satu masalah umum yang akan dihadapi oleh mereka yang alah pada jenis pigmen atau pewarna yang digunakan.
Simptom seperti bengkak dan gatal-gatal sering diadu pada bahagian yang mempunyai kesan merah akibat mentatu.
Pewarna yang digunakan sewaktu mencorak tatu adalah pewarna industri yang asalnya dihasilkan untuk tujuan lain seperti cat kereta dan dakwat menulis.
*** Jangkitan. Kes-kes jangkitan penyakit Hepatitis B hasil daripada mentatu pernah dilaporkan.
Secara teorinya, HIV dan Hepatitis C boleh berjangkit sekiranya jarum yang tercemar digunakan. Itu sebabnya, di Britain, anda dilarang menderma darah dalam tempoh setahun selepas memiliki tatu.
Apabila para doktor di Wales menyoal sekumpulan pesakit yang ingin membuang tatu mereka, mereka mendapati satu suku daripada bilangan itu kesal selepas sebulan memiliki tatu.
Di sesetengah tempat di Britain, penduduknya tidak boleh membuang tatu mereka di bawah Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS).
Namun, jika tatu tersebut berada pada bahagian yang terdedah seperti tangan dan muka sehingga menjejaskan peluang mendapat pekerjaan, maka kerja-kerja pembuangan tatu boleh dijalankan oleh NHS.
Berikut adalah beberapa kaedah penyingkiran tatu yang dijalankan di Britain:
*** Pembuangan menggunakan laser boleh menghuraikan pewarna kepada partikel-partikel kecil yang boleh 'dicerna' oleh kulit.
Sejenis laser khas yang mengeluarkan tenaga ringan dan hanya bertahan selama beberapa nano saat digunakan.
Ini mengekalkan rasa panas pada sekitar kulit pada kadar minimum dan mengurangkan parut. Setiap sesi akan mengambil masa 15 hingga 45 minit bergantung pada saiz tatu.
Selepas rawatan, bahagian yang dirawat akan mengeluarkan sedikit darah selama beberapa jam dan perlu dilitupi dengan bahan tertentu.
Rawatan biasanya akan diberi pada setiap minggu keenam atau kelapan dan tidak lebih daripada 20 rawatan diperlukan untuk merawat tatu.
Bagaimanapun, rawatan laser jarang menghilangkan tatu sepenuhnya kerana sekurang-kurangnya sedikit kesan akan ditinggalkan.
*** Excision melibatkan pemotongan bahagian kulit yang mempunyai tatu. Kaedah ini adalah cara terbaik untuk membuang tatu bersaiz kecil.
Ia juga merupakan satu-satunya cara untuk membuang tatu yang kasar bentuknya kerana tidak dihasilkan oleh pembuat tatu profesional. Pembedahan untuk tatu bersaiz besar akan meninggalkan kesan parut.
*** Salabrasion yang menggunakan air garam untuk disapukan ke atas tatu bagi merosakkan kulit.
Kaedah ini akan mengeluarkan pigmen secara perlahan-lahan tetapi teknik ini sudah jarang dipraktikkan hari ini.
Ia mungkin kedengaran agak kuno tetapi jangan sesekali mencubanya di rumah kerana ia perlu dilakukan oleh seseorang pakar dalam teknik tersebut.
Daripada arkib Kosmo!




No comments:
Post a Comment