Pengikut dan Ex-smgrian

Friday, November 20, 2009

Lafaz ikrar lelaki Jepun

Demi untuk menyelamatkan perkahwinan mereka, para suami di Jepun kini belajar tiga kalimah magis iaitu terima kasih, maaf dan saya cintakan awak.


LELAKI-LELAKI Jepun kini semakin menyedari pentingnya ikatan perkahwinan dipertahankan dengan melakukan perubahan pada diri masing-masing.


RAMAI generasi warga emas di Jepun mula belajar bertolak ansur dengan isteri mereka dalam pelbagai aspek.

SAMBIL melagakan gelas bir, sekumpulan lelaki pertengahan usia di tengah Tokyo berdiri untuk menyelamatkan perkahwinan mereka - dan mereka juga berharap semua perkahwinan di Jepun secara keseluruhannya.

Dalam negara di mana perkara mengenai kehidupan peribadi seseorang berat untuk diperkatakan adalah perkara biasa, lelaki-lelaki ini cuba membuktikan nilai mereka kepada isteri masing-masing dengan melafazkan ikrar di khalayak ramai.

"Saya minta maaf kerana sentiasa lupa untuk menurunkan tempat duduk di tandas," kata seorang lelaki yang memakai sut serta tali leher membuat pengakuan.

"Di sini saya ingin menyatakan bahawa saya akan berhenti dan tidak akan mengunjungi kelab-kelab malam. Saya minta maaf," ujar seorang lagi lelaki sambil diperhatikan isterinya yang berada dalam kelompok orang ramai.

Kata seorang lagi lelaki: "Saya cintakan awak meskipun saya jarang mengatakannya."

Kemudian 20 lelaki yang mengambil bahagian dalam 'acara' tersebut melaungkan slogan mereka bersama-sama: "Ucapkan 'terima kasih' tanpa teragak-agak. Katakan 'maaf' tanpa rasa takut. Luahkan kata-kata 'saya cintakan awak' tanpa rasa malu."

Perhimpunan tersebut diilhamkan oleh Shuichi Amano, pengarang sebuah majalah di bandar Fukuoka dan pengasas National Teishu-Kampaku Association atau diterjemah sebagai Chauvinistic Husbands Association.

Suichi membentuk kumpulan tersebut pada tahun 1999 apabila dia merasakan satu tindakan drastik perlu dilakukan untuk menyelamatkan perkahwinannya yang mencecah usia lebih 20 tahun daripada musnah.

Ketika itu dia berusia lewat 40-an dan mendapati ramai kawan-kawannya turut mengalami keretakan rumah tangga hingga membawa kepada perceraian.

Dalam fenomena sosial yang telah bertukar kepada drama televisyen popular, berlakunya peningkatan jumlah wanita Jepun yang mula memfailkan tuntutan cerai setelah mereka bersara.

Sasaran wanita itu ialah untuk mengakhiri masalah perkahwinan yang membelenggu sekian lama disebabkan sikap tidak ambil peduli suami mereka ketika di rumah.

"Ramai suami sanggup menanggung risiko menguruskan perniagaan mereka, tetapi mengabaikan tanggungjawab di rumah," kata Amano, 55, kepada AFP.

"Cara lama sudah lagi tidak berfungsi dan kami sebagai suami perlu keluar dari alam fantasi yang mempunyai kuasa muktamad ke atas isteri. Kami harus menunjukkan kemampuan untuk mengubah diri demi kebahagiaan rumah tangga kami.

"Perkahwinan seperti triatlon untuk menyintai seseorang menerusi perlumbaan. Menang atau kalah bukan perkara penting. Tetapi anda harus mengatasi setiap halangan yang ada untuk menamatkan perlumbaan," katanya.

Amano cuba menumpukan perhatian untuk menggembirakan isterinya dengan melakukan kerja-kerja rumah seperti membasuh pakaian dan menyediakan makanan.

Malah, dia turut mengakui berpura-pura untuk mendengar apa yang diperkatakan isterinya meskipun perbualan tersebut tidak menarik minatnya.

Menerusi temuramah yang dilakukannya bersama wanita Amano berkata, dia mendapati bahawa seorang isteri itu begitu ingin mendengar tiga kalimat magis secara kerap daripada suami mereka iaitu 'terima kasih, maaf dan saya cintakan awak'.

Dia menjelaskan bahawa teknik untuk menyelamatkan perkahwinan itu sebagai smileage yang bermaksud suami menghimpunkan atau mengingati semua perkara baik mengenai isteri mereka.

"Isteri saya pada mulanya agak hairan dan sangsi melihat perubahan saya tetapi selepas beberapa tahun, saya percaya bahawa dia gembira dengan perubahan ini," jelas Amano.

'Belajar menghargai wanita seadanya'. Itulah antara matlamat utama persatuan ini mengumpulkan ahli-ahlinya untuk bertukar-tukar pengalaman mengenai perkahwinan bersama khalayak ramai yang boleh membina keyakinan diri.

Teruo Manabe, 67, yang baru sahaja menyertai persatuan itu dengan harapan untuk menyelamatkan perkahwinannya berkata, dia mula belajar bertolak ansur dengan isterinya dalam pelbagai aspek.

"Saya percaya generasi berusia seperti saya patut mengambil langkah untuk berubah demi kebaikan perkahwinan anda," katanya.

Sementara itu, isteri Teruo, Shinko Manabe berkata, dia dapat melibat banyak perbezaan sejak suaminya menyertai persatuan ini.

"Dia kini mudah mengucapkan terima kasih dan tidak segan meminta maaf. Cuma saya masih belum mendengar dia melafazkan kata-kata cinta dan sayang pada saya," ujar Shinko sambil tersenyum.

Perceraian kini telah menjadi perkara biasa di Jepun walaupun kadarnya masih rendah berbanding di negara-negara Barat.

Perceraian pada peringkat pertengahan usia perkahwinan semakin meningkat dengan lebih daripada 45,000 pasangan yang berkahwin lebih 20 tahun berpisah secara rasmi pada tahun 2002. Jumlah itu tiga kali ganda lebih tinggi berbanding tiga dekad lalu, menurut Kementerian Kebajikan Jepun.

Menurut Amano, dia percaya kadar perceraian boleh dikurangkan jika suami lebih bertanggungjawab dan tidak mengabaikan isteri dan keluarga di rumah.

"Saya yakin jika suami mampu berubah ke arah kebaikan, keluarganya juga akan berubah dan perkahwinan di Jepun secara keseluruhannya boleh diselamatkan sekali gus mengurangkan kadar perceraian." - AFP

No comments: