Diabetes boleh memberi kesan terhadap sel-sel di dinding saluran darah dan menyebabkan boleh berlakunya masalah vaskular termasuk penyakit kardiak (jantung), sklerosis (penebalan) arteri, hipertensi (darah tinggi) dan juga kegagalan buah pinggang.
Antara kesan sekunder ialah masalah peredaran darah yang ketara jika diabetes di luar kawalan, jangkitan dan kudis kulit, gangrene (tisu mati), kerosakan retina (mata) yang boleh menyebabkan buta, kehilangan fungsi sensori serta juga mati pucuk.
Oleh itu berada dalam keadaan sentiasa cergas untuk kelancaran peredaran darah serta bekalan oksigen ialah kunci bagi hidup yang sihat.
Dr. Lingeshwaran Pillai, tuan punya 'Fitness Network' menerangkan bahawa senaman bertindak dalam dua cara untuk mengawal diabetes.
Menurutnya, senaman boleh bertindak memberi stimulasi agar lebih banyak insulin di dalam badan dikeluarkan (dirembeskan) serta sensitasi semula tisu otot dan lemak terhadap insulin yang dikeluarkan oleh organ pengeluar iaitu pankreas.
Cara bijak bersenam
Bagi Dr. Pillai, cara senaman yang bijak adalah penting bagi gaya hidup sihat seorang pesakit diabetes.
"Semuanya mengenai senaman dengan cara yang bijak," katanya.
Menurutnya, objektif senaman ialah untuk membakar kalori yang berlebihan sama ada melakukannya di pusat kecergasan atau aktiviti luar.
Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Diabetes Malaysia (PDM), Datuk Rahimah Ahmad berkata, jenis senaman yang dilakukan mestilah sesuai dengan umur mereka yang menghidapi diabetes.
Selain memantau tahap glukos darah, mengamalkan diet yang seimbang serta sihat dan senaman yang secukupnya amat perlu bagi mengelakkan pesakit menerima komplikasi daripada diabetes.
Menurutnya, apa-apa senaman pun boleh dibuat asalkan dilakukan sebanyak tiga kali dalam seminggu. Sekiranya usia pesakit sudah lanjut, senaman yang sesuai ialah berjalan pantas.
Sumber: Sinar Harian

No comments:
Post a Comment