Pengikut dan Ex-smgrian

Monday, October 26, 2009

Nabi Ibrahim a.s. kekasih Allah

Peta jajahan Babylon sewaktu pemerintahan Hammurabi

Nabi Ibrahim a.s. merupakan antara lima orang Rasul yang digelar Ulul Azmi, iaitu Rasul yang memiliki kesabaran dan ketabahan luar biasa dalam berdakwah dan menyampaikan wahyu Allah. Empat orang Rasul lagi yang digelar Ulul Azmi adalah Nabi Nuh a.s., Nabi Musa a.s., Nabi Isa a.s. dan Nabi Muhammad SAW.

Nabi Ibrahim a.s. juga digelar sebagai Khalil Ullah atau Sahabat Allah. Nabi Ibrahim a.s. merupakan cicit kepada Nabi Nuh a.s.

Baginda dilahirkan di sebuah tempat bernama 'Faddam A'ram' dalam kerajaan Babylon yang diperintah oleh seorang raja yang zalim bernama Namrud.

Raja Namrud telah mendapat petanda bahawa seorang bayi lelaki akan dilahirkan di negara itu dan bayi ini akan membesar dan akan menggulingkannya. Bayi ini juga apabila dewasa akan membawa suatu agama yang hanya mempercayai kepada Tuhan yang satu dan akan memusnahkan berhala-berhala yang disembah oleh mereka selama ini. Raja Namrud juga mendapat firasat bahawa dia akan mati dalam keadaan yang amat dahsyat apabila bayi itu telah dewasa.

Raja Namrud telah mengarahkan supaya semua bayi di negara itu dibunuh manakala kaum lelaki dan wanita dipisahkan agar zuriat tidak diperolehi. Bagaimanapun Raja Namrud tidak dapat mengatasi kuasa Allah SWT. Seorang wanita telah hamil namun tidak menunjukkan tanda-tanda kehamilan. Pada saat wanita tersebut hendak melahirkan zuriatnya, dia telah bersembunyi di dalam sebuah gua untuk mengelakkan daripada diketahui oleh Raja Namrud dan tentera-tenteranya. Setelah selamat melahirkan anaknya, wanita itu meninggalkan bayinya di dalam gua itu.

Seminggu kemudian, wanita itu kembali ke gua tersebut bersama suaminya. Alangkah terkejutnya mereka apabila mendapati bahawa bayi itu masih hidup. Mereka membawa bayi itu kembali ke rumah mereka secara sembunyi dan menamakan bayi tersebut Ibrahim.

Sumber: Kitab Tuntunan Ibadat susunan Syeikh Ali b. Abdullah Baldram Ali Baldram, wikipedia

No comments: