Pengikut dan Ex-smgrian

Monday, October 12, 2009

Muzium Beruas

Muzium Beruas (imej dari muzium.perak.gov.my)

Pada 25 November hingga 25 Disember 1991, satu projek penelitian sejarah Beruas dijalankan dan diusahakan satu kumpulan penyelidik dari Muzium Negara, Kerajaan Negeri Perak dan Universiti Kebangsaan Malaysia yang dirasmikan oleh Menteri Besar Perak ketika itu. Hasil dari projek penelitian ini beberapa artifak sejarah ditemui.

Artifak ini disimpan oleh Muzium Negara namun pihak Jabatan Muzium merasakan kesemua penemuan itu perlu ditempatkan di sebuah muzium yang dinamakan Muzium Beruas, sementara kajian seterusnya dibuat dari semasa ke semasa.

Muzium Beruas ini ditempatkan di sebuah bangunan mahkamah lama (sebelumnya merupakan pejabat KEMAS kawasan Beruas). Kerja pemuliharaan bangunan ini siap dijalankan pada awal 1995 yang dibiayai Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia melalui Jabatan Muzium dan Antikuiti menggunakan peruntukan Rancangan Malaysia Keenam.

Pada 23 Mei 1995, Muzium Beruas dengan rasminya diserahkan kepada pentadbiran Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan.

Majlis penyerahan itu disempurnakan Ketua Pengarah Muzium Negara kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Perak. Muzium Beruas dibuka kepada orang ramai pada Julai 1995 dan dirasmikan Menteri Besar Perak, Tan Sri Datuk Seri DiRaja Ramli bin Ngah Talib.

Sumber: Sinar Harian

No comments: