Alam remaja adalah peringkat yang keempat dalam kehidupan, ini menunjukkan bahawa mereka (remaja) telah melalui beberapa peringkat kehidupan dan sedang mematangkan diri untuk mencapai ke tahap kedewasaan.
Pada waktu inilah berlakunya kecelaruan pemikiran pada diri, kerana mereka sedang mencari identiti diri yang sebenar.
Kadang-kadang ada yang terbawa-bawa zaman kanak-kanak dan ada juga yang terlalu ghairah dengan alam dewasa yang terlalu hampir dengan mereka sekaligus mencuba sesuatu yang tidak pernah mereka lakukan. Bagi mereka yang agak berani dengan keegoan yang tidak berasas, maka berlakulah perkara yang tidak diingini.
Dalam pada itu, bagi mereka yang takut untuk mencuba sesuatu maka kawanlah menjadi ikutan dan tempat bergantung.
Oleh yang demikian, remaja perlu mempunyai persiapan untuk menghadapi zaman ini dengan adanya ibu bapa, guru serta masyarakat yang dapat dijadikan inspirasi penting dalam menjana kehidupan.
Sebagaimana kisah Ashabul Kahfi yang Allah SWT rakamkan kisahnya dalam al-Qur'an yang mana pada ketika itu tujuh anak muda ini sedang berhadapan dengan sebuah pemerintahan yang zalim dan kejam.
Pada ketika itu barang siapa yang berani mengatakan ada tuhan selain dari raja yang memerintah, mereka akan dipaksa supaya meninggalkan agama mereka atau mereka akan dibunuh. Semua penduduk takut kecuali tujuh orang pemuda yang beriman ini mengambil keputusan untuk lari dari dipaksa supaya meninggalkan agama Allah SWT sebagaimana Allah SWT berfirman dalam al-Qur'an yang bermaksud:
"Sesungguhnya mereka itu anak-anak muda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahkan mereka dengan hidayah."
(Surah Al-Kahfi: 13)
Bagi menjana persediaan dan memantapkan diri dalam menghadapi situasi begini remaja perlulah:
1. Menjadi remaja yang berilmu.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
"Barang siapa yang inginkan dunia maka hendaklah ia berilmu dan barang siapa yang inginkan akhirat maka hendaklah ia berilmu dan barang siapa yang inginkan dunia dan akhirat maka hendaklah ia berilmu."
Berilmu di sini adalah mengetahui yang mana baik dan yang mana buruk, yang mana patut buat dan yang mana tidak patut dibuat, yang mana boleh memudaratkan dan yang mana tidak, yang mana dosa dan yang mana pahala. Jika kita berilmu maka apa yang akan kita lakukan hanya berpandukan kepada hawa nafsu semata atau mengikut kawan tanpa mengira betul atau salah, baik atau buruk.
2. Bertanya kepada orang yang lebih tahu.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Maka hendaklah kamu bertanya kepada orang yang lebih mengetahui jika kamu tidak mengetahui."
Pepatah Melayu ada menyebut "banyak bertanya tidak sesat jalan", tidak rugi kalau kita rajin bertanya kerana ia boleh membantu kita membuat keputusan dan kita juga tidak akan rasa menyesal yang amat sangat kalau keputusan kita kurang tepat. Masyarakat hari ini terutama remaja malu hendak bertanya kerana takut dikata orang "itu pun tak tahu ke..."
3. Berfikir panjang
Berfikir dahulu sebelum melakukan sesuatu. Fikirkan apakah akibatnya, apakah untungnya, apakah mudaratnya, apakah kebaikannya. Kalau baik dan buruknya ada, maka lihatlah mana yang lebih banyak, kebaikan atau keburukan? Dalam kaedah usul fiqah apabila bertemu dua keburukan maka carilah yang paling kurang keburukannya dan kalau bertemu dua kebaikan maka carilah yang paling banyak kebaikannya.
4. Jujur pada diri sendiri
Imam Ghazali ada menyebut "orang yang paling bodoh di dunia adalah orang yang suka menipu diri sendiri." Jujurlah pada diri kita insya Allah orang lain akan bersikap jujur pada diri kita. Ada orang malu dengan keadaan apa yang ada pada diri sendiri contohnya malu hendak mengaku yang kita tidak tahu, tidak mampu, tidak boleh, tetapi takut orang tahu maka terpaksalah berlakon antaranya berlagak pandai, berlagak kaya, bercakap tinggi (semua tahu). Akibatnya, apabila orang memberi bantuan kita tidak dapat, orang suruh buat kerja, kita tidak tahu, lama-kelamaan orang tahu keadaan kita sebenar dan yang ruginya kita.
5. Bijak membahagi masa
Firman Allah yang bermaksud:
"Demi masa! Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Melainkan mereka yang beriman dan beramal soleh dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran."
(Surah al-Asr)
Jelas apa yang dimaksudkan dengan amal soleh bukannya solat sahaja tetapi apa sahaja yang kita lakukan kerana Allah.
Nabi Muhammad SAW juga pernah bersabda yang bermaksud:
"Ingat lima perkara sebelum datang lima perkara. Sihat sebelum sakit, muda sebelum tua, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sempit dan hidup sebelum mati."
Wahai remajaku!!
Ingatlah sementara Allah SWT masih memberi peluang kepada kita maka gunakanlah sebaik mungkin peluang yang ada semoga kita akan sentiasa dilindungi dan dirahmatiNya.
Dipetik dari akhbar Sinar Harian 4 September 2009
No comments:
Post a Comment