Pengikut dan Ex-smgrian

Tuesday, July 21, 2009

Sultan Ibrahim bapa pembangunan Johor






Sultan Sir Ibrahim al-Mashur ibni al-Marhum Sultan Sir Abu Bakar. Sepanjang pemerintahan Johor dikenali di seluruh dunia kerana pembangunan dan hubungan akrab dengan ketua kerajaan asing.







DALAM sejarah dunia, hanya dua Raja yang berjaya meraikan Jubli Intan menandakan pemerintahan mereka mencapai tempoh 60 tahun. Raja pertama ialah Queen Victoria, Ratu England yang memerintah negara itu dari 1833 hingga 1902 dan seorang lagi ialah Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar, iaitu Sultan Johor ke-22 yang memerintah Johor dari 1895 hingga 1959.

Beliau diputerakan sebagai Tunku Ibrahim Iskandar di Istana Bidadari, Serangoon, Singapura pada 1873. Sultan Ibrahim adalah anak tunggal Sultan Abu Bakar Daeng Ibrahim dan Inche Zubaida Abdullah Inche Besar (isteri kedua Sultan Abu Bakar).

Berlatarbelakangkan pendidikan Inggeris sejak kecil, beliau diberi perhatian penuh sebagai bakal Sultan dan ketika menjadi Putera Mahkota pada usia 17 tahun, beliau pergi ke Eropah buat pertama kali pada Jun 1890. Beliau melawat Jerman, Switzerland, Perancis dan England.

Sultan Ibrahim menamatkan zaman bujang ketika berusia 20 tahun apabila berkahwin dengan saudara sepupunya, Tengku Maimunah Ungku Abdul Majid pada 1892. Pasangan diraja itu dikurniakan putera Tengku Ismail (Tengku Putera) pada 1894.

Setahun selepas dikurniakan putera, beliau ditabalkan sebagai Sultan bergelar Sultan Sir Ibrahim di Balai Zaharah, Johor Bahru pada 7 September 1894.

Bagi memperluaskan pengetahuannya, beliau sering ke Eropah khususnya England dan beberapa negara lain. Pada 12 Mac 1934, beliau mengelilingi dunia diiringi Sultanah Helen dan Setiausaha Sulitnya, Kapten Sheikh Abdullah Yahya.

Rombongan bertolak dari Singapura menaiki kapal Jepun ‘Fujiyama Maru’ menuju ke Jepun, kemudian singgah di Hong Kong dan Shanghai, China. Ketika di Jepun, Maharaja Jepun menganugerahkan beliau ‘First Class Grand London of the Order of Rising Sun’ sebagai tanda perkenalan dan persahabatan.

Sultan Ibrahim meneruskan pelayaran menaiki kapal ‘Chinchba Maru’ dari Yokohama menuju ke Honolulu, San Francisco (lawatan ke Hollywood). Dari Los Angeles, beliau ke Chicago, Washington (lawatan ke Rumah Putih) dan kemudian New York.

Dari Amerika Utara, beliau ke England atas jemputan King George V dan Queen Mary menghadiri majlis perkahwinan puteranya Duke Of Kent di Gereja Besar Wetsminster. Sepanjang perjalanan itu beliau turut melawat India, Australia, Thailand, Indo-Cina dan Kemboja.

Pada September 1935, Kerajaan Johor dan semua peringkat rakyat mengadakan sambutan ulang tahun ke-40 Sultan Ibrahim bersemayam di atas takhta.

Sultan Ibrahim ke England untuk berunding dengan Inggeris pada Januari 1904 bagi membina jalan kereta api merentasi Johor. Laluan kereta api itu siap dibina dan dirasmikan pada 12 Disember 1908.

Bagi pihak kerajaan Johor, beliau dan Gabenor Sir Lawrence N Guillemard (Kerajaan Selat) meletakkan batu asas pembinaan Tambak Johor menghubungkan Woodland, Singapura pada 1924.

Daripada aspek pendidikan, beliau sangat mengambil berat pendidikan rakyatnya. Puteranya dihantar belajar di England dan menitahkan semua kanak-kanak supaya belajar.

Pada 1 Jun 1902, Enakmen Pelajaran diluluskan di mana semua ibu bapa atau penjaga hendaklah menghantar anak lelaki berusia tujuh tahun ke sekolah. Mereka yang ingkar akan dikenakan denda RM25 atau penjara selama tiga bulan.

Penulis sejarah, Haji Kamdi Kamil dalam tulisan mengenai Sultan Ibrahim melalui buku ‘Tokoh Ternama Johor’ menyatakan, sepanjang pemerintahannya, Johor dikenali di seluruh dunia kerana pembangunan serta hubungan akrabnya dengan ketua kerajaan asing.

Katanya, pada 17 September 1955, diadakan sambutan Jubli Intan sempena memperingati 60 tahun pemerintahan Sultan Ibrahim.

Kegemaran Sultan Ibrahim ialah memburu binatang buas terutama harimau. Pada 1897, ancaman harimau menghantui peladang yang mengusahakan kebun. Binatang buas itu membiak dengan cepat dan mengorbankan peladang.

“Beliau kemudian berjaya menembak harimau dan sejak itu, kegiatan memburu diteruskan. Seekor harimau yang ditembak dipamerkan di Muzium Diraja Istana Besar, Johor Bharu,” katanya.

Jasa dan sumbangan Sultan Ibrahim

*Pembinaan hospital, pejabat kerajaan.
*Menaungi badan pakatan Bahasa Melayu (Pakatan Bahasa Persuratan Melayu Persuratan Buku Di-Raja Johor.
*Meneruskan pembinaan Masjid Abu Bakar yang diusahakan ayahandanya, Sultan Abu Bakar.
*Lagu rasmi Johor 'Lagu Selamat Johor' ciptaan M Galistan (pemuzik dan jurulatih pancaragam) wajib dinyanyikan murid sekolah di negeri itu.
*Pada 1885, menubuhkan pasukan askar Johor dikenali nama Timbalan Setia Negeri Johor.
*Pada 1905, menubuhkan Pasukan Sukarelawan Johor dan menjadi ketua kepada kedua-dua pasukan itu.

Oleh Mohd Azis Ngah
Berita Minggu

No comments: