Pengikut dan Ex-smgrian
Tuesday, July 21, 2009
Kiai Fadhil rujukan Istana Johor
Jawatan yang diberi kepada Kiyai Fadhil berbeza dengan Mufti Kerajaan kerana ia bertanggungjawab terus kepada Sultan
SEBELUM negara mencapai kemerdekaan sekitar 1920-an, masyarakat Melayu masih mengamalkan amalan adat dan kepercayaan tradisi yang bertentangan dengan ajaran Islam. Amalan menyemah (jamuan makanan dan lain-lain yang diberikan kepada hantu atau orang halus) di kampung masih kuat diamalkan, kepercayaan kepada makhluk ghaib masih berada dalam bentuk keyakinan dan amalan sebilangan masyarakat Islam.
Masalah sama berlaku di Johor khususnya masyarakat Melayu sekitar Lenga, Bandar Maharani (Muar), Bakri, Bukit Kepong dan kawasan sekitarnya yang sering mencampuradukkan pegangan agama. Penduduk di situ cukup bertuah kerana dengan izin Allah, Penghulu Lenga yang dikenali sebagai Penghulu Daud menjemput Kiayi Fadhil al-Banteni atau dikenali Kiyai Fadhil Lenga untuk mengajar di sana pada 1910 hingga 1915.
Kiyai Fadhil ini berketurunan Sultan Syafiffuddin Hidayatullah (pengasas Kesultanan Banten) yang dikenali Sunan Gunung Jati iaitu Wali Songo terkenal di Indonesia. Moyangnya adalah antara lima anak kepada Sultan Maulana Mufakir, pemerintah kesultanan Banten ke-14 di Pulau Jawa pada abad ke-19.
Dilahirkan di Banten, Jawa Barat pada 1287 hijrah bersamaan 1870 Masihi, Kiyai Fadhil banyak menabur bakti di dalam masyarakat Islam. Sebelum itu, Kiyai Fadhil bersama isterinya banyak membantu menguruskan jemaah haji, khususnya dari Tanah Melayu dan Indonesia ketika berada di Makkah. Pensyarah di Jabatan Pengajian Islam dan Sains Sosial, Pusat Pengajian Kemanusiaan dan Komunikasi, Universiti Tun Hussein Onn, Mohd Akbal Abdullah, berkata bersesuaian dengan maksud kedatangan dan jemputan yang diterima daripada Penghulu Daud, Kiayi Fadhil mulai mengajar di Muar.
“Kehadirannya membuka banyak mata masyarakat di situ mengenai amalan Islam disebabkan banyak perlakuan penduduknya menyalahi ajaran Islam.
“Dalam setiap kuliah dan butir bicara seharian, beliau banyak menasihatkan mereka mengenai masalah syirik dan ketekunan dalam mengerjakan amalan kerohanian,” katanya.
Bagi memudahkan pergerakan di dalam masyarakat, beliau cenderung membina masjid dan surau sebagai tempat mengajar dan mengadakan kelas agama. Di bandar Muar, beliau kerap berdakwah di Surau Jalan Hashim dan Surau Lorong Sekam. Selain menjadi tempat rujukan agama, beliau sering didatangi masyarakat yang inginkan sesuatu hajat misalnya mendapatkan rawatan kerohanian, ubatan dan menerima ijazah amalan tarikat.
Sepanjang 1930-an, beliau sibuk berulang-alik dari Muar, Lenga dan ke Sungai Lembing, Pahang bahkan membina sebuah masjid untuk kegunaan masyarakat di situ. Anaknya yang masih kecil dibawa bersama merasai suasana bermujahadah menyampaikan agama di sana selama tujuh tahun. Kemuncak minat dan mendapati pentingnya pendidikan mendorongnya mendirikan sebuah madrasah Arab di Muar iaitu Madrasah Maharani al-Islamiah pada 1937.
Ketokohan Kiyai Fadhil turut mendapat perhatian istana Johor kerana ketika pemerintahan Jepun (1942 hingga 1945), Sultan Ibrahim yang mendapat layanan agak baik dari Jepun merasakan baginda serta kerabat tidak bebas dalam mengecapi kemakmuran seperti zaman sebelum perang. Timbul hasrat mendapatkan ketenangan dan memohon keselamatan dari Allah SWT demi menyelamatkan kerajaan Johor dan keluarganya dengan apa cara sekali pun.
Atas nasihat beberapa insan yang arif, baginda mendekati beberapa ulama sufi yang mustajab doanya dan menitahkan mereka yang mempunyai keistimewaan kerohanian dibawa ke Istana Pelangi. Bersama dengan tokoh lain, Kiyai Fadhil diperkenalkan oleh Datuk Othman Buang kepada baginda. Selepas diteliti, baginda memilih Kiyai Fadhil dan menegaskan beliaulah ulama yang dimimpikan sebelum ini. Hajat Sultan Ibrahim dipersetujui oleh Kiyai Fadhil.
Sultan menyediakan sebuah rumah berhampiran istana di Pasir Pelangi bagi memudahkan Kiyai Fadhil beramal dan beruzlah. Pada waktu malam, beliau berwirid di sebelah bilik peraduan Sultan. Tidak lama selepas itu, beliau bercadang untuk tinggal di Masjid Pasir Pelangi kerana lebih mudah melakukan amalan wirid dan munajat selain masjid adalah tempat paling mulia dan lebih berkat.
Dengan amalan dan doa yang berterusan, akhirnya Sultan Ibrahim memperoleh ketenangan jiwa. Setelah Perang Dunia Kedua tamat, baginda melantik dan menganugerahkan pangkat Mufti Peribadi Sultan. Jawatan ini berbeza dengan Mufti Kerajaan kerana ia bertanggungjawab terus kepada Sultan.
Ia memberi nasihat dan fatwa jika dikehendaki oleh Sultan. Selain anugerah kedudukan itu, Sultan Ibrahim juga membiayai Kiyai Fadhil dan isterinya menunaikan haji dan pelbagai ganjaran. Hadiah paling besar daripada Sultan Ibrahim ialah keizinan menubuhkan kumpulan Wirid Khaujakan di seluruh Kerajaan Johor tanpa sebarang halangan. Amalan wirid Khaujakan masih subur hingga sekarang dan berkesinambungan di Johor seperti juga di beberapa tempat lain di seluruh dunia Islam.
INFO: Kiayi Fadhil al-Banteni (Kiyai Fadhil Lenga)
*Berasal dan dilahirkan di Banten, Jawa Barat pada 1287 hijrah bersamaan 1870 Masihi.
*Meninggal dunia kerana sakit tua di Bakri, Muar Johor pada 29 Jamadilawal 1369 Hijrah bersamaan 18 Mac 1950.
*Jenazahnya dikebumikan dengan pengebumian diraja, di perkarangan perkuburan Masjid Jamek, Batu 31, Lenga, Muar ketika berusia 80 tahun.
*Bapanya, Abu Bakar Abu Kassim juga dikenali Mbah Buka adalah ulama terkenal di daerah Lewiliang, Sadeng.
*Bapanya pernah dilantik menjadi wakil kesultanan di Banten mengislamkan masyarakat Jawa, di sekitar Pulau Jawa Tengah.
*Datuknya, Abu Kassim atau lebih dikenali sebagai To'bagus Abu Kassim yang dimakamkan di puncak sebuah bukit di Pasir Ahad.
*Kiyai Fadhil mempunyai tiga adik beradik iaitu Yahya, Koris dan Tiunah.
*Kebanyakan ahli keluarga Kiyai Fadhil di Banten ini mendalami ilmu agama dan terdapat dalam kalangan mereka yang penghafaz al-Quran.
*Beliau berkahwin sebanyak empat kali dan seorang daripada anaknya yang terkenal ialah Orang Kaya Hamid, Penghulu Lenga.
Oleh Mohd Azis Ngah
Berita Minggu
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment