Projek pembinaan Stadium Merdeka dimulakan pada Julai 1956 oleh Jabatan Kerja Raya dan kira-kira lapan bulan kemudian, iaitu pada 15 Februari 1957, Tunku Abdul Rahman, meletakkan batu asas Stadium Merdeka.
Stadium Merdeka dengan kapasiti tempat duduk 22,000 orang, termasuk 3,000 di tempat duduk berbumbung pada tahun 1950-an adalah antara gelanggang sukan bertaraf antarabangsa. Stadium ini kemudian diubah suai dengan menambah tempat duduk hingga mampu menampung seramai 45,000 orang.
Selepas peristiwa penting 31 Ogos 1957, Stadium Merdeka menjadi gelanggang acara sukan utama seperti Pestabola Merdeka yang menjadi pertandingan bola sepak terkemuka Asia dengan negara peserta adalah kuasa bola sepak serantau.
Walaupun mempunyai nilai sejarah, Stadium Merdeka nyaris menjadi mangsa pembangunan apabila hendak dirobohkan dan digantikan dengan kompleks pejabat dan hiburan. Bagaimanapun, inisiatif beberapa pihak, termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, menyebabkan rancangan bernilai RM1 bilion itu dibatalkan.
Kini status Stadium Merdeka dan Stadium Negara sebagai Warisan Kebangsaan terjamin apabila Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan akan menyenaraikan kedua-dua stadium ini sebagai Hartanah Warisan Kebangsaan.
Sumber: Berita Minggu 26 Ogos 2007
No comments:
Post a Comment