Bulan Ramadan adalah sangat istimewa berbanding bulan-bulan yang lain.
Ia menjadi istimewa kerana di dalamnya terkumpul hampir semua ibadah khusus terutamanya ibadah puasa dan ibadah-ibadah lain seperti solat tarawih, solat witir, tilawah al-Quran, beriktikaf, berzakat, sedekah dan lain-lain.
Setiap ibadah khusus ini pula mempunyai kelebihan pahala tertentu yang menjadi rangsangan untuk kita menjadi insan soleh.
Dr. Yusof al-Qaradhawi di dalam bukunya 'al-'Ibadah fi al-Islam telah menggariskan beberapa rahsia dalam amalan berpuasa antaranya ialah:
"Dapat menguatkan roh dan jiwa. Seterusnya jiwa yang kuat dapat mengawal nafsu. Menyihatkan jasmani dan badan, mendidik kearah melakukan kebaikan. mengenal nilai nikmat yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada makhluk dan dapat merasai penderitaan dan kesengsaraan yang dialami oleh orang lain."
Oleh itu, selari dengan keberkatan ibadah puasa di bulan yang suci ini, maka Allah SWT menjanjikan rahmat, pengampunan dan jaminan syurga.
Hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad bermaksud:
"Sesungguhnya telah datang kepadamu bulan Ramadhan, bulan yang penuh keberkatan. Allah telah memfardukan ke atas kamu puasanya. Di dalam bulan Ramadhan dibuka segala pintu syurga dan dikunci segala pintu neraka dan diikat syaitan-syaitan. Padanya ada suatu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Barangsiapa tidak diberikan kepadanya kebaikan malam itu maka sesungguhnya dia telah dijauhkan dari kebajikan."
Persoalan besar timbul ialah bagaimanakah bulan Ramadan dikatakan bulan melawan nafsu?
Secara ringkasnya, bulan Ramadan merupakan medan pertempuran dalam mendidik jiwa dan nafsu.
Oleh itu, mereka yang melaksanakan ibadah di sepanjang bulan ini diibaratkan sebagai pejuang yang bertempur di jalan Allah dan dijanjikan oleh Allah SWT untuk mendapat ganjarannya.
Firman Allah SWT di dalam surah Yusuf ayat 53 yang bermaksud:
"Dan tiadalah aku berani membersihkan diriku; sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."
Melawan hawa nafsu atau mujahadatun nafsi amatlah sukar kerana ianya berada di dalam tubuh badan dan hati kita, mengalir bersama aliran darah dan menguasai seluruh tubuh badan kita serta ianya dipengaruhi oleh Syaitan laknatullah.
Namun, berdasarkan hadis dan jaminan oleh Rasulullah SAW bahawa pada bulan Ramadan yang mulia inilah segala musuh manusia telah dirantai oleh Allah SWT dan kita sebagai umat Islam diberi peluang seluas-luasnya untuk beribadah kepada Allah SWT.
Sabda Rasulullah SAW:
"Apabila masuk bulan Ramadhan terbukalah pintu-pintu rahmat dan terkuncilah segala pintu neraka dan terbelenggulah syaitan daripada merasuk mangsanya." - Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim.
Ulama' berbeza pendapat dalam membuat pentafsiran mengenai hadis ini.
Menurut al-Hafiz Ibn Hajar RHM:
"Syaitan di rantai boleh ditakrifkan dengan maksud syaitan tidak boleh mengoda umat Islam, sepertimana yang dilakukan pada waktu selain Ramadhan kerana mereka sibuk dengan ibadah puasa, membaca al-Quran dan mengingati Allah SWT."
Syeikh Mutawalli al-Syarawi dalam kitabnya, Anta tasal wa Islam Yujib menyatakan bahawa maksud syaitan dirantai tersebut ialah agar kita membuat suatu situasi dan keadaan yang menjadikan syaitan-syaitan terbelenggu atau terantai dan tidak menggoda manusia untuk melanggar hukum Allah dan melakukan dosa, sedangkan yang ada hanyalah amal-amal yang baik, dan pintu-pintu syurga terbuka.
Walaubagaimanapun, menurut pendapat Imam Nawawi RA bahawa proses perantaian syaitan di dalam bulan Ramadan hanyalah satu simbolik atau majaz untuk menunjukkan betapa syaitan sudah tidak mampu untuk melaksanakan tugasnya seperti biasa kerana puasa yang dilakukan akan menyempitkan saluran darah yang menjadi laluan syaitan dan akan berkuranglah nafsu yang merajai hati manusia selama ini.
Iman
Terdapat beberapa prinsip asas dalam berjuang melawan hawa nafsu antaranya ialah:
- Menahan atau menyekat punca kekuatannya. Nafsu yang diumpamakan seperti kuda liar boleh dijinakkan dengan syarat kita menahan sumber yang memberi kekuatan kepadanya, seperti menahan perut dari banyak makan, menahan pandangan dari melihat perkara yang haram, telinga dari mendengar sesuatu perkara yang berdosa, mulut dari perkataan yang dilarang dan hati dari sifat-sifat mazmumah.
- Membebankan nafsu itu dengan segala ibadah seperti melaksanakan solat, qiamullail, membaca al-Quran dan zikrullah.
- Berdoa meminta bantuan dari Allah SWT dalam usaha menewaskan nafsu. Rasulullah SAW pernah berpesan kepada Muaz bin Jabar dengan sabdanya yang bermaksud: "Wahai Muaz, aku sangat cinta kepadamu, maka selepas kamu mengerjakan solat jangan lupa berdoa kepada Allah SWT dengan doa ini "Ya Allah, bantulah aku mengingati-Mu, bantulah aku mensyukuri nikmat-Mu dan bantulah aku untuk memperbaiki ibadah kepada-Mu."
Seluruh kemaksiatan berpunca disebabkan mendahulukan hawa nafsu daripada kecintaannya kepada Allah dan Rasul-Nya.
Nafsu jahat dan liar akan menjurus manusia ke arah kehinaan dan kerosakan sama ada di dunia ataupun akhirat.
Jika kita tidak mengikis dan membuangnya pasti ianya semakin menebal dan sebati dengan kehidupan.
Perlu diingat untuk membuangnya perlulah diperangi habis-habisan serta memerlukan kekuatan pada diri seseorang.
Justeru, sebagai seorang Islam, salah satu perjuangan hebat yang perlu diamalkan oleh kita ialah puasa wajib Ramadan.
Ketika berpuasa kita menahan diri dari keinginan hawa nafsu seperti makan dan minum, hubungan seks dan segala sifat yang boleh membatalkan dan mengurangkan ibadah puasa.
Oleh sebab itu terdapat dua penanda aras atau pengukuran nilai prestasi puasa iaitu apakah puasa Ramadan kita semata-mata menahan lapar atau kita berpuasa dan pada masa yang sama mengambil berat aspek pembersihan jiwa dan akhlak kita.
Rasulullah SAW bersabda:
"Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran pahala nescaya diampunkan baginya segala dosa yang terdahulu." - Hadis Riwayat Bukhari.
Manfaat
Ada daripada kalangan kita pada hari ini kurang menghayati semangat Ramadan sebenar.
Mereka menyatakan bulan Ramadan ialah bulan untuk mengurangkan kegiatan-kegiatan sebagai 'duniawi'.
Urusan kerja dan urusan harian pada siang hari dikurangkan kononnya ia adalah urusan dunia malah tidur pada siang hari lebih diutamakan kerana bagi mereka ia adalah ibadah.
Ini adalah satu fahaman yang tidak tepat.
Urusan duniawi seperti kerja-kerja harian yang selaras dengan kehendak syariat serta kegiatan yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi baik di bidang perkhidmatan, perniagaan dan lain-lain sebenarnya adalah suatu bentuk ibadah.
Selain itu ia juga merupakan satu bentuk jihad kerana ia berperanan untuk menggiatkan pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan suatu persekitaran kehidupan yang selesa untuk ahli masyarakat.
Sepatutnya pada bulan Ramadan kegiatan-kegiatan ini dapat ditingkatkan kerana tiada lagi tumpuan kita kepada makan dan minum.
Dengan kata lain, bila tumpuan kita untuk makan dan minum tiada, kesempatan ini sepatutnya digunakan untuk meningkatkan lagi usaha kerja harian.
Jadi jika umat Islam dahulu memanfaatkan sepenuhnya malam bulan Ramadan dengan qiamullail dan waktu siangnya menitis keringat berjihad di jalan Allah, kita sebagai umat yang terkemudian yang hidup dalam persekitaran yang lebih baik dari mereka sepatutnya memanfaatkan kelebihan Ramadan untuk melatih diri menjadi insan yang lebih baik dalam semua bidang kehidupan.
Mulia
Imam al-Ghazali pernah berpesan bahawa nafsu tidak dapat dikalahkan dengan tergesa-gesa.
Kehendaknya tidak boleh ditekan sekali gus melainkan perlu ditahan secara bertahap-tahap.
Latihan melawan hawa nafsu ini perlulah dilaksanakan secara berterusan.
Justeru, pada bulan yang mulia ini, hiasilah diri dengan amalan soleh dan menutup segala pintu-pintu nafsu kejahatan.
Walaupun bulan impian ini kelihatan memberi kesukaran dan ujian berat kepada umat Islam tetapi ia adalah anugerah Allah kepada hamba-Nya yang hanya datang setahun sekali dan merupakan satu jihad daripada seorang hamba kepada Tuhannya.
Hayatilah maksud dan tujuan maqasid al-ahkam firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa."
Mudah-mudahan dengan mujahadah kita melawan nafsu ini insya Allah ianya akan membentuk diri kita sebagai insan soleh lagi bertaqwa.
Renungilah firman Allah SWT di dalam surah Faatir ayat 10 yang bermaksud:
"Sesiapa yang mahukan kemuliaan, maka bagi Allah jualah segala kemuliaan. Kepada-Nyalah naik segala perkataan yang baik dan amal yang soleh pula di angkat-Nya naik. Dan orang yang merancang kejahatan, adalah bagi mereka azab seksa yang berat; dan rancangan jahat mereka akan rosak binasa."
sumber: E-khutbah JAKIM
No comments:
Post a Comment