Bulan Ramadan yang mulia lagi berkat ini penuh dengan kerahsiaan dari Allah SWT.
Justeru, sebagai orang yang beriman, kita dituntut untuk menyingkap rahsia-rahsia tersebut agar kita mengambil segala kelebihan yang ada pada bulan ini.
Antara rahsia yang perlu kita yakini ialah bahawa pada bulan Ramadan Allah SWT telah menurunkan al-Quran iaitu pada 17 Ramadan.
Al-Quran merupakan sebuah kitab yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW untuk disampaikan kepada umat manusia.
Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 185 yang bermaksud:
"Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Qur'an, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk, dan perbezaan (antara yang benar dan yang salah."
Imam al-Tabari menjelaskan, bahawa penurunan ini ialah penurunan al-Quran secara sempurna dari Loh Mahfuz ke langit dunia.
Ia menjadi petunjuk kepada sekalian manusia sebagai satu penjelasan bahawa al-Quran sebagai sumber hidayah.
Dengan demikian, al-Quranlah yang seharusnya memandu dan memimpin kehidupan umat manusia.
Amalan
Sebagai umat Islam, kita dituntut untuk membaca al-Quran sebagai satu ibadah dan hukumnya adalah sunat.
Apa yang dilakukan oleh ulama' salaf sepanjang bulan Ramadan yang berkat ini adalah mereka mendekati al-Quran, membaca, menghayati serta mentadabbur.
Ibn Abdil Hakim pernah berkata:
"Apabila Ramadhan menjelang Imam Malik bin Anas meninggalkan periwayatan Hadith dan diskusi dengan para ulama’, beliau terus membaca al-Quran dari mashaf. Begitu juga Sufian al-Thauri, tiap kali tibanya Ramadhan beliau meninggalkan segala ibadah yang lain hanya semata-mata untuk membaca al-Quran."
Sayidina Uthman bin Affan pernah berkata:
"Kalau hati kita bersih, kita tidak akan pernah kenyang daripada al-Quran. Aku tidak menyukai satu hari yang aku tidak membaca mashaf al-Quran padanya."
Al-Hafiz Ibn Rajab menulis di dalam kitabnya Lata’if al-Maarif bahawa:
"Umat Islam mengalami dua jihad di dalam bulan Ramadhan, jihad puasa pada siang hari dan jihad qiyam (Solat sambil membaca al-Quran ) pada malamnya."
Banyak hadis yang menjelaskan mereka yang sentiasa membaca al-Quran begitu tinggi dan mulia di sisi Allah SWT seperti dalam satu hadis Qudsi di mana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Sesiapa yang sentiasa sibuk dengan al-Quran dan zikir mengingatiku daripada meminta-minta kepadaku, maka aku akan anugerahkan perkara yang lebih baik daripada Aku anugerahkan kepada mereka yang sentiasa memohon kepadaku itu. Dan kelebihan kalam Allah di atas segala kalam yang lain seperti lebihnya Allah di atas makluk-Nya."
Dalam satu hadis lain yang bermaksud:
"Apabila seseorang dapat mengkhatamkan bacaan al-Quran satu kali, 60 ribu malaikat memohon keampunan dari Allah SWT untuknya."
Mereka yang menjadikan al-Quran sebagai bacaan utama setiap masa akan diberi ganjaran pahala oleh Allah SWT.
Setiap huruf yang dibaca akan dikira sebagai sepuluh pahala sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
"Sesiapa yang membaca satu huruf dari al-Quran, maka bagi-nya diberi sepuluh pahala dan ditambah sepuluh lagi kebajikan seumpamanya, tidak aku katakan( alif, lam, mim ) itu satu huruf, akan tetapi alif satu huruf dan lam satu huruf dan mim satu huruf." - Hadis Riwayat Tirmizi
Panduan
Sebagai umat yang beriman maka sewajarnya al-Quran dijadikan asas panduan dan sumber rujukan yang utama dalam apa juga kegiatan hidup sama ada dari sudut akidah, syariah dan akhlak, khususnya dalam menangani pelbagai permasalahan, cabaran semasa untuk mencapai kehidupan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.
Persoalannya pada hari ini terdapat segelintir umat Islam yang lemah iman, goyah pegangan akidah, rosak akhlaknya dan beku fikirannya untuk mendalami al-Quran.
Mereka lebih gemar menurut hawa nafsu dengan melakukan perkara-perkara yang melalaikan dan merosakkan imej dan martabat umat Islam itu sendiri.
Al-Quran ialah kalam suci daripada Allah SWT, maka ia tidak boleh ditafsir sewenang-wenangnya mengikut hawa nafsu mahupun kepentingan peribadi.
Usahlah mudah terpengaruh dengan perwatakan luaran yang kelihatan seperti warak mahupun kepetahan lisan yang berbicara.
Jadilah golongan yang celik al-Quran dan golongan yang suka mengkaji untuk mencari kebenaran, bukannya golongan yang hanya mudah terikut-ikut dan mudah terpedaya.
Rasulullah SAW pernah melahirkan kebimbangan bahawa pada satu ketika nanti umat Islam ramai jumlah bilangannya tetapi berkeadaan seperti buih di lautan, kerana lemah dan tidak berdaya saing.
Seorang tokoh Islam iaitu Malik bin Nabi pernah berkata:
"Kemunduran yang dideritai oleh umat Islam hari ini bukan sebab Islam seperti yang diwawarkan itu, ini adalah satu hukuman dari Islam ke atas umatnya yang cuba meninggalkan Islam, bukan kerana mereka berpegang dengan Islam."
Jika kita inginkan kejayaan maka al-Quranlah petunjuknya, jika inginkan ketenangan al-Quranlah penawarnya, jika hati inginkan rawatan, al-Quranlah pengubatnya, jika inginkan kemenangan al-Quran juga mempunyai rahsianya.
Jadikan budaya membaca, memahami dan mempraktikkan segala apa yang terkandung di dalam al-Quran sebagai gaya hidup.
Petunjuk yang datangnya dari al-Quran, tidak sekadar maklumat dan ilmu, prinsip dan pedoman, ia adalah hidayah dan barakah Allah terhadap hamba-Nya yang terpilih.
Hudan atau petunjuk bukan sekadar memberi pedoman sesuatu yang zahir tetapi hakikatnya ia menyeluruh dan merangkumi hubungan sesuatu dengan Allah.
Allah SWT menjadikan manusia dengan akal, rohani dan kekuatan jasmani, ketiga-tiga ini perlu disuburkan dengan al-Quran agar ia dapat menyumbang kepada kehidupan dengan membentuk keperibadian Muslim yang takut kepada azab Allah SWT dan siksaan-Nya.
Hormat
Sesungguhnya Allah SWT memberikan penghormatan kepada kita sebagai manusia dengan kemuliaan-Nya, agar kita menjadi golongan yang mulia.
Di dalam bulan Ramadan yang mulia dan penuh keberkatan, ambillah manfaat untuk meningkatkan ketaqwaan dan mengubah segala kelakuan buruk dengan mengamalkan segala isi kandungan al-Quran agar kehidupan lebih diredhai Allah SWT.
Bagi mengamalkan al-Quran di dalam dunia yang nyata ini, pujangga Islam yang terkemuka, Muhamad Iqbal pernah memberi petua dengan menyatakan:
"Bacalah al-Quran seolah olah ia diturunkan kepadamu."
Anak-anak juga perlu dididik dengan didikan dan ajaran al-Quran serta disemai dengan budaya al-Quran dan dibiasakan dengan kalimah dan ayat-ayat suci al-Quran.
Mudah-mudahan dengan cara ini hidup yang bakal dilalui oleh mereka akan diterangi oleh cahaya kebenaran dan keinsafan.
Rasulullah SAW sentiasa mengutamakan umatnya yang mana hatinya terpaut dan terdidik dengan al-Quran.
Renungilah firman Allah SWT dalam surah Faatir ayat 10 yang bermaksud:
"Sesiapa yang mahukan kemuliaan, maka bagi Allah jualah segala kemuliaan. Kepada-Nyalah naik segala perkataan yang baik dan amal yang soleh pula di angkat-Nya naik. Dan orang yang merancang kejahatan, adalah bagi mereka azab seksa yang berat; dan rancangan jahat mereka akan rosak binasa."
sumber: e-khutbah JAKIM
No comments:
Post a Comment