Pengikut dan Ex-smgrian

Friday, June 13, 2014

Hijrah perjuangan satukan ummah


Hijrah

Firman Allah SWT di dalam surah an-Nisa' ayat 100 yang bermaksud:

"Dan sesiapa yang berhijrah di jalan Allah, nescaya ia akan dapati di bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur: dan sesiapa yang keluar dari rumahnya untuk berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya, kemudian ia mati sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani."

Semangat hijrah membawa pengertian yang luas, keluar dari kancah perjuangan dan gelanggang yang sempit ke gelanggang lebih luas dan ia adalah pemisah di antara hak dan batil.

Dengan sifat-sifat ini kejayaan dan kemajuan ummah akan berhasil daripada pertolongan Allah SWT.

Fikirkanlah, apa gunanya kita berhijrah jika hijrah itu hanya berdasarkan emosi dan pengaruh duniawi semata-mata dan bukannya berpaksikan kepada keimanan kepada Allah SWT.

Pengajaran yang penting kepada kita daripada peristiwa ini ialah perlunya kita mengikuti jejak langkah Rasulullah SAW yang menjadikan tuntutan iman dan taqwa sebagai faktor pendorong kepada tugas berhijrah.

Justeru, apabila umat Islam ada inisiatif untuk mengubah nasib diri, maka pertolongan Allah SWT pasti akan tiba.

Untuk mengubah diri manusia perlu pembangunan jiwa, mental dan fizikal. Pembangunan jiwa adalah suatu proses untuk melahirkan jiwa yang bertaqwa, padu dan mantap.

Ketiadaan jiwa yang taqwa akan mengakibatkan fungsi akal dan fizikal menjadi lumpuh dan cacat.

Waspadalah kerana pemikiran dan akal jika tidak dijaga dengan sebaiknya akan memberi ruang kepada pihak musuh untuk mempengaruhi emosi kita dan seterusnya mampu mengarahkan setiap tindakan kita.

Akhirnya, seseorang manusia yang dimanipulasi emosinya hingga gagal menggunakan fungsi akalnya sangatlah merbahaya kepada masa depan umat Islam.

Oleh itu, kesedaran terhadap tanggungjawab perlulah lahir dari jiwa seorang mukmin sejati, yang pastinya dapat membawa perubahan kepada pembangunan ummah, seterusnya mengembalikan kegemilangan Islam sesuai dengan semangat hijrah diasaskan oleh Rasulullah SAW sejak dahulu lagi.

Firman Allah SWT dalam surah ar-Rad ayat 11 yang bermaksud:

"Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri."


Perpaduan

Dalam merealisasikan hijrah perjuangan satukan ummah, perkara utama yang mesti dilakukan adalah dengan menyediakan asas yang betul dan kukuh bagi membina perpaduan.

Dalam hal ini, harus diingat ianya bukanlah bersifat dari luar ke dalam (outside-in) tetapi hanya bersifat (inside-out) dari dalam keluar.

Ia melibatkan soal hati manusia, bukan sekadar fizikal dan material semata-mata kerana perpaduan yang dimulai dari hati akan menerbitkan perasaan sayang dan kasih antara ummah itu sendiri.

Inilah langkah pertama yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ketika mula menyatukan umat jahiliah di Makkah, bangsawan disatukan dengan hamba, yang kaya disatukan dengan yang miskin dan terpelajar disatukan dengan yang tidak berpelajaran. Hati bangsa Arab yang liar dipautkan antara satu sama lain.

Satu perkara lagi yang mesti dilakukan oleh umat Islam dalam semangat hijrah ini ialah mengubah pemikiran mereka dari bersifat tradisi kepada yang semasa dan terbuka, ingatlah bahawa agama Islam bukan sahaja himpunan dogma-dogma dan acara ritual sahaja, akan tetapi ianya merangkumi cara hidup yang lengkap yang merangkumi semua bidang kehidupan manusia sama ada dari segi perundangan, politik, ekonomi, sosial, budaya, moral dan sebagainya.

Penghijrahan minda yang mesti dilakukan oleh seluruh umat Islam adalah untuk menyedari dan menginsafi bahawa kewajipan menjaga agama (hifz ad deen) adalah kewajipan bersama sama ada dari sudut agama dan kenegaraan, justeru sebagai umat Islam minda umat Islam perlulah diberi faham yang mendalam dalam isu-isu semasa agar ianya tidak dipesongkan oleh mereka yang berkepentingan.

Persoalan besar timbul di sini bagaimanakah untuk membina perpaduan ummah ini?

Pendekatan wasatiyah yang bersifat komprehensif dan bersepadu merupakan asas kepada perjuangan bagi membina perpaduan ummah.

Wasatiyah adalah merujuk kepada pelaksanaan sesuatu secara berhikmah, berimbang bagi menentukan tidak berlaku kekerasan, kezaliman ke atas ummah dengan meletakkan Islam di tempat yang dihargai atau dimartabatkan.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 143 yang bermaksud:

"Dan demikianlah Kami jadikan kamu satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia dan Rasulullah pula akan menjadi saksi kebenaran perbuatan kamu."

Sebagai umat Islam kita dituntut untuk menyeimbangkan antara tuntutan rohani dan jasmani dan antara tuntutan dunia dan akhirat.

Sifat kesederhanaan dan keseimbangan ini sangat penting bagi orang yang beriman kerana perbuatan yang lebih dari yang sepatutnya dilakukan adalah dianggap melampau, begitu juga perbuatan yang kurang dari yang sepatutnya dilakukan adalah dianggap suatu kecuaian.

Maka umat Islam tidak boleh rigid dan extreme, begitu juga tidak boleh terlalu bebas lepas tanpa sempadan.

Sememangnya ajaran Islam mengajar umatnya bersederhana dalam semua perkara, berimbang dan syumul dalam segenap bidang kehidupan individu dan masyarakat dengan memfokuskan kepada mempertingkatkan kualiti kehidupan ummah sama ada dari segi ilmu pengetahuan, pembangunan insan, sistem ekonomi dan kewangan, pertahanan, perpaduan dan sebagainya.

Renungilah firman Allah SWT di dalam surah al-A'raf ayat 96 yang bermaksud:

"Dan Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami bukakan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami) lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan."

sumber: e-khutbah JAKIM

No comments: