Pengikut dan Ex-smgrian

Monday, June 16, 2014

Kewajipan Da'ie


Da'ie

Ajaran Islam telah menetapkan bahawa menjadi tanggungjawab kita sebagai umat Islam untuk melaksanakan aktiviti amar makruf dan nahi mungkar.

Dalam hal ini adalah menjadi kewajipan umat Islam untuk berperanan sebagai da'ie (pendakwah) dalam ertikata bersifat menyeru, mengajak atau memanggil manusia agar beriman dan taat kepada Allah SWT dan menjauhi segala larangan-Nya.

Berdasarkan keperluan yang amat penting inilah maka Allah SWT mengutuskan Rasul-Rasul-Nya di atas muka bumi ini.

Andai kata aktiviti da'ie ini dilengah-lengahkan atau tidak dipedulikan, maka akan menyaksikan budaya jahiliyah bermaharajela, persekitaran kediaman dan tempat kerja tidak selamat serta masyarakat semakin rosak.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Fussilat ayat 33 yang bermaksud:

"Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah dan beramal salih, sambil berkata: Sesungguhnya aku dari orang Islam!"

Berdasarkan kepada kewajipan da'ie ini, bersama-sama kita membina sinergi keutuhan akidah dan kefahaman Islam yang komprehensif bagi tujuan memelihara kesucian agama Islam (hifz deen) dan kedaulatan negara serta mampu menghadapi cabaran semasa.

Sebagai umat Islam kita juga dituntut untuk melakukan hijrah minda dengan mengenali agenda penghakis kedaulatan agama Islam dengan mengenali unsur-unsur yang cuba menghakis kesuciannya.

Maka sebagai umat Islam yang beriman kita hendaklah kembali kepada ajaran Islam yang sebenar dengan meletakkan persoalan amar makruf dan nahi mungkar ini adalah tanggungjawab bersama.

Inilah masanya, semua umat Islam tanpa mengira sama ada mereka itu dari kalangan alim ulama, ilmuan Islam dan mereka yang berpengaruh mesti bangun atas dasar tanggungjawab untuk menegur dan menasihati secara hikmah sebarang kemungkaran yang sedang berlaku dalam masyarakat hari ini tanpa mengira fahaman dan pengaruh politik.

Beranilah untuk berkata yang benar walaupun ianya pahit.

Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 2 yang bermaksud:

"Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya)."

Dan Rasulullah SAW telah memberi peringatan keras kepada umatnya dalam sabdanya:

"Tidak beriman seseorang itu sehinggalah ia mengasihi saudaranya seperti mana ia mengasihi dirinya." - Hadis Riwayat Muslim


Cabaran Da'ie

Pada abad ini umat Islam rata-rata berhadapan dengan situasi dunia global yang semakin mencabar.

Kekuatan-kekuatan antarabangsa yang mendukung aliran seperti liberalisme, pluralisme dan lain-lain lagi kelihatan semakin aktif melaksanakan penyebarannya terutamanya melalui teknologi internet yang amat pantas lagi berkesan terutamanya kepada golongan muda.

Mereka melancarkan serangan-serangan secara halus lagi tersusun dengan penyebaran berita yang menghina Islam dan umatnya sama ada melalui simbol-simbol, laman web atau blog serta laman-laman sosial seperti Facebook, Twitter dan sebagainya.

Puluhan simbol dan ratusan laman web digunakan bagi mengeliru dan melemahkan pegangan umat Islam yang berada di alam internet ini.

Penyalahgunaan atau menggunakan teknologi internet dan telekomunikasi tidak sebagaimana yang sepatutnya adalah bertentangan dengan tuntutan agama, undang-undang serta tatasusila masyarakat.

Menggunakan laman sosial untuk melemahkan pegangan umat Islam sebenarnya adalah strategi licik musuh Islam yang telah berjaya digunakan untuk menjatuhkan beberapa negara di Timur Tengah.

Oleh itu, terdapat cadangan supaya internet harus ditapis dan dikawal seharusnya dipertimbangkan supaya kemudahan ini tidak memporak-perandakan masyarakat dan negara.

Justeru, dalam konteks cabaran anti-Islam melalui teknologi maklumat yang hebat itu, maka menjadi tugas dan tanggungjawab umat Islam untuk menggunakan apa sahaja strategi yang munasabah termasuklah media sosial bagi melawan, menentang, menjawab, menangkis serangan, propaganda, tipu muslihat musuh-musuh Islam dan gerakan-gerakan yang menggugat kedudukan umat Islam khususnya di negara kita dalam konteks amar makruf dan nahi mungkar.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Hajj ayat 41 yang bermaksud:

"Iaitu mereka yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan perkara yang mungkar. Dan ingatlah bagi Allah jualah kesudahan segala urusan."


Kekuatan

Sebagai umat Islam kita perlu sedar dan bangkit melaksanakan tugasan da'ie ini kerana ia adalah asas kekuatan dalam menghadapi musuh-musuh Islam yang mahu menghancurkan Islam.

Dalam hal ini, umat Islam memerlukan penghayatan Islam secara menyeluruh melalui pelaksanaan ibadat umum dan khusus.

Di samping itu, umat Islam perlulah juga membina kekuatan ilmu, teknologi terkini seperti komputer, internet dan sebagainya, ketinggian intelektual, kematangan berpolitik dan perpaduan ummah.

Kita juga mestilah sentiasa mengikuti perkembangan semasa agar maklumat yang diperolehi adalah benar dan tepat serta tidak mudah terpengaruh dengan propaganda pihak musuh.

Umat Islam boleh menjadikan media baru seperti YouTube, Twitter, blog dan lain-lain sebagai medium dakwah untuk menyampaikan mesej yang betul dalam ajaran Islam secara meluas.

Sebagai ibu bapa kita juga hendaklah berperanan dalam mendidik anak-anak dengan ajaran Islam yang sebenar agar menjadi generasi yang diredhai oleh Allah SWT dan berusaha menjauhi keluarga dari neraka Allah SWT.

Firman Allah SWT dalam surah at-Tahrim ayat 6 yang bermaksud:

"Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu api Neraka yang bahan bakarannya manusia dan batu; Penjaganya malaikat-malaikat yang keras kasar; tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan."


Kesimpulan

Marilah sama-sama kita berpadu dengan penuh keberanian dan mendokong segala usaha demi mempertahankan umat Islam dari serangan musuh-musuh Islam terutamanya melalui alam siber yang tiada sempadan ini.

Sedarlah, di kala umat Islam sedang berjuang untuk mengukuhkan ekonomi dan memperkasakan bangsa, pihak musuh pula tidak pernah leka mahupun jemu walaupun sedetik untuk menjalankan misi menghancurkan Islam dan umatnya menggunakan apa sahaja strategi termasuklah melalui pasukan siber yang terancang.

Salah satu prinsip penting yang mesti dilaksanakan oleh umat Islam bagi memastikan kedaulatan agama kekal terpelihara ialah dengan menyeru kepada kebaikan dan menghalang kemungkaran.

Ingatlah, jika umat Islam masih leka dan terus dibuai mimpi yang indah tanpa menyedari barah dan virus yang sedang meratah mangsanya, pasti rosaklah minda, hilanglah jati diri dan terpesongnya persepsi yang akhirnya akan melenyapkan kuasa dan maruah.

Oleh itu, marilah sama-sama menggerakkan aktiviti dakwah dengan memperbaiki fenomena yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini.

Dengan izin Allah SWT kita pasti mampu menjadi umat yang terbaik.

Maka sewajarnyalah kita memohon perlindungan Allah SWT agar tanggungjawab da'ie ini tidak terlepas daripada tanggungjawab umat Islam, yakni diri kita masing-masing mengikut kemampuan, ruang persekitaran dan orang di bawah tanggungjawab kita.

Renungilah firman Allah SWT di dalam surah Ali-Imran ayat 104 yang bermaksud:

"Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru kepada kebajikan, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah. Dan mereka yang demikian ialah orang yang Berjaya."

sumber: e-khutbah JAKIM

No comments: