Pengikut dan Ex-smgrian
Thursday, December 12, 2013
Tulisan Jawi 2
Pada zaman dahulu, tulisan Jawi memainkan peranan penting dalam masyarakat. Ia digunakan sebagai perantara dalam semua urusan pentadbiran, adat istiadat dan perdagangan.
Menurut Dekan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam, abjad jawi diambil dari abjad Arab bermaksud Jawah.
Jawi merupakan istilah yang digunakan pedagang Arab pada zaman dahulu untuk mengenali alam Melayu dan penduduknya.
Tulisan Jawi telah berkembang sejak zaman kerajaan Melayu silam bermula dari kerajaan Islam Pasai kemudian disebarkan ke kerajaan Melayu Melaka, kerajaan Melayu Johor dan Aceh pada kurun ke-17.
Ia dipercayai telah bertapak sejak kurun ke-13 melalui penemuan Batu Bersurat di Terengganu.
Tulisan Jawi turut digunakan pada perjanjian penting antara Raja-Raja Melayu dengan penjajah Portugis, Belanda dan Inggeris.
Kegemilangannya menyebabkan ia tersebar ke seluruh dunia. Ia dapat dibuktikan melalui penemuan surat-surat Sultan Iskandar Muda dari Aceh kepada Raja James I dari England pada tahun 1615 dan surat daripada Sultan Abdul Jalil IV dari Johor kepada Raja Louis XV dari Perancis pada tahun 1719.
Bagaimanapun, kehadiran penjajah Inggeris yang memperkenalkan tulisan rumi pada akhir abad ke-19 menyebabkan tulisan Jawi semakin terhakis di Tanah Melayu.
Pembukaan sekolah-sekolah vernakular yang berteraskan bahasa ibunda secara tidak langsung telah meminggirkan tulisan Jawi dalam sistem pendidikan negara ketika itu.
Ia adalah agenda halus Inggeris untuk mengurangkan rasa taksub orang Melayu terhadap agama Islam di samping menghapuskan warisan Melayu secara perlahan-lahan.
Ia diburukkan lagi dengan sikap segelintir kaum Melayu sendiri yang memandang rendah terhadap tulisan Jawi. Akibatnya kemahiran membaca, menulis dan memahami tulisan Jawi semakin terhakis daripada generasi ke generasi.
sumber asal: Artikel Media baharu sebarkan jawi tulisan Ammar Jazlan Mad Lela, Kosmo! 25 September 2012.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment