Matlamat utama Allah SWT menciptakan manusia di atas muka bumi ini adalah untuk mengabdikan diri kepada-Nya dalam pelbagai bentuk ibadah dan amal soleh termasuk tanggungjawab dan amanah untuk memakmurkan bumi ini mengikut acuan dan panduan yang telah digariskan oleh syarak.
Allah SWT tidak memperoleh apa-apa faedah atau keuntungan daripada apa yang dilakukan oleh manusia melainkan semua kebaikan daripada amalan tersebut akan kembali untuk diri mereka sendiri.
Perkara ini jelas dinyatakan dalam al-Quran surah adz-Zaariyat ayat 56-58 yang bermaksud:
"Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah-Ku. Aku tidak sekali-kali menghendaki sebarang rezeki pemberian dari mereka, dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepada-Ku. Sesungguhnya Allah, Dialah sahaja Yang Memberi rezeki, lagi Yang Maha Kuat Kukuh kekuasaan-Nya."
Agama Islam menuntut umatnya supaya bekerja dengan menjadikannya sebagai ibadah yang berpahala atau dengan kata lain, bekerja dengan penuh rasa tanggungjawab untuk meraih pendapatan dan keredhaan Allah SWT.
Islam melarang keras umatnya yang tidak bertanggungjawab, malas bekerja, menipu atau menyeleweng di dalam pekerjaannya.
Namun, persoalan besar timbul di sini, adakah kerja yang kita lakukan selama ini bertepatan dengan syariat Islam iaitu sentiasa melaksanakan tanggungjawab dengan sempurna, menyelesaikan tugasan dengan sebaik mungkin dan dalam masa yang sama menjauhkan diri daripada sebarang bentuk penipuan, pemalsuan, manipulasi, penyelewengan dan seumpamanya.
Pada dasarnya, setiap pekerjaan orang Islam mempunyai dua sasaran utama:
- Melaksanakan hak Allah SWT.
- Melaksanakan muamalah sesama manusia seperti dalam bidang pertanian, kesihatan, kejiranan dan sebagainya.
Sekiranya umat Islam dapat memenuhi sasaran ini dengan cemerlang maka umat Islam akan memperolehi kejayaan hidup di dunia dan akhirat.
Bagaimanapun, isu yang sering menjadi perbahasan hangat mengenai pekerja ialah kualiti insaniah dan rohaniah dalam usaha memberi perkhidmatan yang ikhlas dan berkualiti kepada para pelanggan.
Persoalan besar timbul di sini apakah yang dimaksudkan dengan kualiti insaniah ini?
Secara ringkasnya, insaniah yang dimaksudkan mencakupi beberapa aspek iaitu kualiti peribadi yang merangkumi tanggungjawab, kepercayaan diri, kemampuan berkomunikasi dengan baik, pengendalian diri, berintegriti dan jujur.
Ia juga melibatkan ketrampilan seorang pekerja, misalnya sejauh mana kita dapat bergaul dengan anggota masyarakat atau berinteraksi di dalam sesebuah organisasi, berkongsi pengetahuan dengan orang lain, melayani pelanggan, daya kepimpinan, kemampuan berunding serta keupayaan kerja dalam pelbagai situasi dan ragam.
Agama Islam telah memberi peringatan kepada umatnya supaya sentiasa berbuat baik, cemerlang dan menjaga kualiti atau bersifat ihsan dalam melakukan setiap pekerjaan.
Firman Allah SWT dalam surah al-Qasas ayat 77 yang bermaksud:
"Dan berbuat baiklah kepada orang lain sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu; dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang berbuat kerosakkan."
Memahami dan menghayati sifat ihsan akan membantu umat Islam mewujudkan pekerjaan yang cemerlang dan berkualiti tinggi.
Sifat ihsan bermaksud kita melaksanakan sesuatu pekerjaan untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT dengan perasaan yakin seolah-olah pekerjaan kita dilihat dan dipantau oleh Allah SWT.
Sabda Rasulullah SAW ketika ditanya oleh Jibril tentang ihsan yang bermaksud:
"Apakah ihsan itu?, sesungguhnya kamu menyembah Allah seolah-olah kamu melihat-Nya, tetapi jika kamu tidak melihat-Nya, maka sesungguhnya Dia melihat kamu." - Riwayat al-Bukhari
Berdasarkan dalil al-Quran, hadis dan pakar pengurusan, prinsip ihsan meliputi perkara berikut:
- Berakhlak mulia
- Kita perlu mempunyai ketrampilan dan kemahiran tinggi dalam sesuatu bidang tugas
- Mempunyai ilmu pengetahuan dan pengalaman serta kecerdasan dalam menganalisis sesuatu maslahah dan peka dengan keperluan masyarakat semasa
- Mempunyai wawasan dan dapat membuat jangkaan tentang keperluan masa depan
- Mempunyai keyakinan diri yang tinggi dalam menghasilkan kecemerlangan sesuatu aktiviti
Pekerja yang melaksanakan tugas mengikut bidang yang ditetapkan dengan penuh ihsan dijanjikan pahala yang besar daripada Allah Taala.
Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 112 yang bermaksud:
"Sesiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah (mematuhi perintahNya) sedang ia pula berusaha supaya baik amalannya, maka ia akan beroleh pahalanya di sisi Tuhannya, dan tidaklah ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita."
Selari dengan tuntutan ajaran Islam, Allah SWT telah menegur umat manusia supaya berani membuat perubahan positif dalam semua aspek kehidupan.
Bekerja atas dasar ihsan untuk memenuhi hak Allah SWT dan keperluan manusia sejagat akan memperkasa jati diri dan meningkatkan harga diri pekerja.
Seseorang akan takut melakukan perbuatan keji, tercela seperti melakukan kerosakan, penipuan, rasuah, mencuri tulang, ponteng kerja dan perbuatan negatif yang lain.
Jangan mendapatkan rezeki atau kekayaan dengan sebarangan jalan haram seperti jalan penipuan, rasuah, penyelewengan dan lain-lain.
Semua rezeki kekayaan yang didapati dengan cara haram apa lagi dengan menganiayai pihak lain adalah kekayaan yang tidak berkat.
Kekayaan secara haram hakikatnya tidak membawa kesenangan dan kebahagiaan dalam hidup, tetapi akan membawa kesengsaraan dan kecelakaan di dunia dan akhirat.
Jiwa manusia, jiwa pekerja pada asalnya adalah sesuatu yang suci. Tetapi harta yang diperolehi secara tidak halal tidak mungkin dapat memberi kebaikan pada jiwa kita.
Sebagai hamba Allah SWT, amat penting untuk kita menyedari dan memastikan segala pekerjaan yang kita lakukan tidak lain dan tidak bukan, hanya semata-mata kerana Allah SWT.
Usahlah terlintas di dalam hati untuk mengharapkan pujian, pangkat dan harta tetapi apabila dikurniakan anggaplah sebagai balasan daripada Allah SWT yang menghargai hambaNya yang ikhlas sepanjang perjalanan hidup dalam menjunjung apa yang diperintahkan dan meninggalkan apa yang ditegah.
Semua pekerja mesti sedar bahawa pekerjaan kita adalah amanah dari Allah SWT yang pasti akan dipersoalkan di akhirat kelak.
Ketaatan dan sikap amanah kepada majikan yang merupakan pemimpin dalam organisasi kita adalah satu kewajipan yang tidak boleh dipandang remeh.
Janganlah disebabkan perbezaan politik dan kepentingan peribadi, kita sanggup mengkhianati majikan dan amanah yang diberikan dengan mendedahkan maklumat sulit, membocorkan rahsia, memalsukan dokumen, memburukkan majikan hinggalah ke tahap berani menggadaikan kepentingan agama, bangsa dan negara.
Mengkhianati amanah dalam pekerjaan adalah perbuatan munafik. Apakah kita sanggup memberi makan kepada anak dan isteri kita hasil dari perbuatan khianat dan munafik yang telah kita lakukan?
Sudah pasti ianya akan mengundang kemurkaan dan musibah dari Allah SWT dan kesannya bukan hanya kepada diri kita malahan juga kepada anak dan isteri kita.
Renungilah firman Allah SWT dalam surah at-Taubah ayat 105 yang bermaksud:
"Katakanlah (wahai Muhammad), beramallah kamu akan segala yang diperintahkan, maka Allah SWT. dan Rasul-Nya serta orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada Allah SWT. yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan nyata. Kemudian Dia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan."
sumber: e-khutbah JAKIM
No comments:
Post a Comment