Pengikut dan Ex-smgrian
Tuesday, December 17, 2013
Gemar menyendiri punca penyakit mental
Golongan yang suka menghabiskan masa seorang diri tanpa menghiraukan kewujudan ahli keluarga dan sahabat handai berisiko tinggi untuk mendapat penyakit mental.
Menurut Pakar Perunding Psikiatri dan Psikologi, Jabatan Psikiatri, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Azhar Mohd. Zain, masa yang sepatutnya dihabiskan bersama rakan atau keluarga itu dibazirkan dengan perbuatan yang tidak berfaedah seperti melayari internet atau bermain permainan video.
Pada saat golongan ini berada dalam kesusahan, mereka akan mengalami kesukaran kerana tidak tahu bagaimana untuk meminta tolong kerana kurang kemahiran berinteraksi.
Masalah yang tidak dapat diselesaikan itu seterusnya akan dipendam, menyebabkan mereka menjadi murung dan seterusnya menjadi pesakit mental.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meramalkan bahawa pesakit mental di Malaysia akan meningkat sebanyak 16 peratus menjelang 2020.
Pada tahun 2010 sebanyak 400,227 pesakit mental menjalani rawatan di hospital kerajaan, menyaksikan peningkatan sebanyak 15.6 peratus berbanding tahun sebelumnya (Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, 2011).
Tanda-tanda awal penyakit mental adalah seperti menghadapi masalah tidur, hilang selera makan dan mudah marah. Sekiranya tidak dirawat pada peringkat awal ia boleh menjadi serius dan akhirnya menyumbang kepada penyakit mental.
Menurut Pakar Psikologi di Jabatan Psikologi Perkembangan Pendidikan dan Kaunseling Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Mariani Mohd. Nor, keadaan persekitaran juga menentukan tahap emosi seseorang.
Situasi harian seperti terpaksa berhadapan dengan kesesakan trafik, kerja yang banyak dan masalah keluarga juga mendorong berlakunya penyakit mental.
sumber: Kosmo!, 13 November 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment