Pengikut dan Ex-smgrian
Monday, November 25, 2013
Kongsi perasaan anda
Perasaan seseorang boleh berubah-ubah. Adakalanya gembira, putus harapan, sedih, marah dan kecewa. Masalah timbul apabila perasaan ini tidak dapat dikawal. Anda perlu mencari jalan penyelesaian yang efektif untuk menangani masalah tersebut.
Bercakap dengan seseorang dan kongsi perasaan anda.
Kenapa seseorang itu memendam perasaan?
Pertama kerana perasaan malu dan takut dirinya menjadi bebanan kepada orang lain apabila seseorang itu berkongsi tentang perasaan dirinya. Adakalanya sesuatu perkara itu adalah terlalu peribadi untuk dibincangkan.
Ada juga individu yang berpendapat bahawa dirinya sudah matang dan tahu bagaimana untuk mengatasi masalahnya sendiri sedangkan hakikatnya dia tidak dapat melakukannya secara sendirian.
Perasaan bimbang akan reaksi yang diterima apabila berkongsi masalah juga menjadi sebab mengapa seseorang itu lebih suka memendamkan sahaja masalah yang dialami. Individu tersebut juga berpendapat bahawa tiada siapa yang mahu mendengar dan memahami akan masalah yang dialaminya.
Sesetengah individu juga berfikir bahawa masalah yang dihadapinya adalah perkara kecil dan tidak perlu dikongsi bersama dan ada juga yang takut dianggap lemah kerana tidak dapat menyelesaikan masalahnya sendiri.
Bagaimana hendak mengendalikan perasaan?
Pertama kita perlu mengetahui perasaan kita sendiri. Kemudian cuba luahkan perasaan kita sama ada kepada keluarga ataupun rakan-rakan yang boleh dipercayai.
Kita juga hendaklah mendengar pendapat orang lain tentang perasaan kita dengan hati yang terbuka.
Kongsilah perasaan kita dengan pasangan hidup, ahli keluarga, rakan, jiran, pemimpin agama, doktor, kaunselor dan anggota kesihatan.
Kebaikan yang diperolehi apabila kita berkongsi perasaan.
Kita akan merasa lega setelah meluahkan dan berkongsi perasaan kita dengan seseorang. Ia juga dapat mengurangkan stres.
Kita akan menyedari bahawa orang lain juga mempunyai masalahnya sendiri. Adakalanya kita dapat membantu orang lain menyelesaikan masalahnya manakala orang itu pula membantu kita menyelesaikan masalah kita.
Kita juga akan mendapati bahawa masih ada orang yang mengasihi dan mengambil berat terhadap diri kita.
sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment