Pengikut dan Ex-smgrian

Tuesday, November 26, 2013

Amalkan budaya ucapan salam


Kelebihan memberi salam banyak, tetapi yang paling utama orang yang memberi dan menerima salam masing-masing mendapat pahala dan keberkatan daripada Allah SWT kerana saling mendoakan antara satu sama lain.

Impak positif akan diperoleh dalam institusi kemasyarakatan khususnya kerana budaya salam ini selain amalan pembuka bicara serta saling mendoakan, ia juga mampu mengeratkan hubungan silaturahim sesama insan.


Kesan positif

Salam memberi kesan positif kepada individu kerana salam dapat menimbulkan kemesraan yang menjadi asas kasih sayang dalam sesebuah masyarakat.

Menyebarkan salam kerana secara tidak langsung dapat menjauhi perasaan sombong, ego dan bangga diri.

Suasana hari ini yang mana kerajaan mahu melakukan integrasi nasional, kesungguhan semua kaum di Malaysia untuk bersama menjayakannya amat dialu-alukan kerana perpaduan adalah asas kepada kemakmuran serta kecemerlangan negara.

Bermula dengan memberi salam, akan mengorak kepada hubungan lebih akrab dan amalan itu tidak mengenal bangsa, agama atau keturunan. Ini kerana jarang sekali orang yang ditegur tidak menjawab kembali dengan mesra.

Salam buat semua

Itu juga gambaran sering diberikan pelancong kepada rakyat Malaysia iaitu masyarakat yang peramah dan mudah senyum. Justeru, jangan hanya memberi salam kepada mereka yang kita kenal, sebaliknya sebarkan salam kepada semua.

Ini semua bermula daripada diri sendiri. Apabila semua rakyat Malaysia mengamalkan budaya memberi salam, sama ada ucapan Assalamualaikum, Selamat Pagi, Hello atau sebagainya, pasti wujud satu ikatan kemesraan.

Apa kata kita mulakan dari sekarang membudayakan amalan memberi salam dan bersalaman dalam usaha meningkatkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat Malaysia berbilang bangsa.

Jangan biarkan perbezaan menjadikan kita semakin jauh.

Dicuplik dari artikel Amalkan budaya ucapan salam tulisan Nurul Ain Awang, Universiti Sains Islam Malaysia, Berita Harian 14 Mei 2013.

No comments: