Pengikut dan Ex-smgrian

Monday, July 23, 2012

Permainan video ubah otak remaja


Menghabiskan masa berjam-jam bermain permainan video bukan tabiat luar biasa yang dilakukan oleh golongan kanak-kanak dan remaja.

Atas sebab itu, satu kajian menunjukkan individu yang berbuat demikian mungkin mempunyai struktur otak yang sama dengan golongan yang ketagihan bermain judi.

Salah satu kajian yang melibatkan remaja lelaki berusia 14 tahun mendapati mereka yang kerap bermain permainan video secara kerap memiliki pusat rangsangan otak yang lebih besar berbanding remaja yang jarang bermain.

Selain itu, hasil imbasan otak turut mendapati, kelompok yang fokus dengan alat permainan itu lebih daripada sembilan jam dalam masa seminggu menghasilkan banyak kimia dopamin.

Mereka akan lebih banyak menghasilkan kimia itu terutamanya apabila mengalami kekalahan dan pada masa sama memberi gambaran sama seperti individu yang tewas semasa berjudi.

Permainan video turut menunjukkan faktor pengurangan masa diperlukan untuk membuat keputusan dan ini adalah satu kemahiran hebat buat seseorang.

Ekoran itu, ia menimbulkan tanda tanya kepada para penyelidik yang tidak tahu sama ada permainan video itu menyebabkan perubahan kepada otak.

Bagi para penyelidik, perkara pertama yang perlu mereka faham adalah sama ada permainan video itu mampu menyebabkan ketagihan atau tidak.

Dalam pada itu, Dr. Simon Kuhn dari Universiti Ghent di Belgium telah menjalankan analisis imbasan otak ke atas 150 remaja yang bermain secara kerap serta sekali-sekala.

Keputusan menunjukkan kelompok yang kerap bermain permainan video memiliki pusat rangsangan aktif terutamanya semasa pengalaman yang menyeronokkan seperti memenangi hadiah wang tunai dan memakan coklat.

Permainan video telah menjadi popular sejak sekian lama. Di Jerman, golongan muda negara itu dilaporkan menghabiskan masa selama satu jam setengah pada hari-hari biasa dan dua jam ketika hujung minggu.

Fenomena itu turut mengundang perbalahan dalam kalangan pakar apabila ada yang menganggap ia sebagai satu ketagihan dan ada pula yang mengklasifikasikan tabiat itu sebagai satu perlakuan tidak sihat untuk mental.

Dr. Luke Clark dari Universiti Cambridge, United Kingdom pula menyifatkan tabiat itu sebagai ketagihan.

"Kita tahu otak akan berubah mengikut pemikiran orang dewasa, tetapi persoalannya adakah ia disebabkan oleh kesan permainan video dan soalan itu masih tidak terjawab," katanya lagi.

Sementara itu, satu kajian di Belgium mendakwa remaja yang bermain permainan video lebih 12 jam seminggu berdepan risiko struktur otak mereka berubah.

Dr. Simon turut mendapati, remaja yang menghabiskan masa berjam-jam bermain permainan video memiliki lebih banyak bahagian kelabu pada pusat otak yang mengawal keseronokan dikenali ventral striatum.

Kajian turut dijalankan ke atas 154 remaja berusia 14 tahun dengan separuh daripada mereka bermain permainan video sekurang-kurangnya 12 jam seminggu berbanding kumpulan kawalan yang jarang bermain alat itu.

Menurut kumpulan penyelidik berkenaan, otak penggemar permainan video menyerupai otak penagih dadah, kaki judi dan kaki botol.

Kata penyelidik itu, ujian imbasan menunjukkan terdapat peningkatan dalam fungsi otak remaja yang kerap bermain permainan video.

-Kosmo!
















No comments: