Pengikut dan Ex-smgrian

Friday, July 20, 2012

Ramadan datang lagi

Masjid Faisal di Islamabad, Pakistan
Dalam sedar atau pun tidak, kita sudah pun menghampiri bulan yang penuh kebaikan, keberkatan dan kerahmatan. Bulan yang mulia ini merupakan masa gembira kepada mereka yang beriman kerana pada setiap saat dilimpahkan pahala yang berganda-ganda melebihi ganjaran hari yang biasa.

Hari-hari dalam bulan Ramadan adalah penuh ganjaran, malam-malamnya adalah malam yang penuh dengan keberkatan. Setiap saat adalah peluang-peluang yang paling utama untuk menyucikan diri dan mendapat pahala daripada Allah SWT.

Apabila datangnya bulan yang mulia ini maka Rasulullah SAW berdoa sebagai tanda kegembiraannya untuk menyambut Ramadan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Sya’ban dan sampaikan kami ke bulan Ramadhan." - (Hadis Riwayat Ahmad dan Tabrani)

Diriwayatkan juga dari Abu Hurairah R.A. bahawa sesungguhnya Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud:

"Ketika datang bulan Ramadhan: Sungguh telah datang kepadamu bulan yang penuh berkat, diwajibkan atas kamu untuk puasa, dalam bulan ini pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup, Syaitan-Syaitan dibelenggu. Dalam bulan ini ada suatu malam yang nilanya sama dengan seribu bulan, maka barangsiapa diharamkan kebaikannya ( tidak beramal baik didalamnya), sungguh telah diharamkan (tidak mendapat kebaikan di bulan lain seperti di bulan ini)." - (Hadis Riwayat Imam Ahmad)

Kelebihan bulan Ramadan daripada bulan-bulan yang lain kerana difardhu (diwajibkan) padanya ibadah puasa. Firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa."

Sebenarnya terlalu banyak persediaan yang patut kita lakukan menjelang Ramadan antaranya ialah:
  1. Persediaan ilmu agama.  Ramai orang yang berpuasa tanpa ilmu di dada, dikhuatiri ibadah yang diharapkan mendapatkan pahala sebaliknya tidak diterima.  Menjelang Ramadan, kita diseru meluangkan masa menuntut ilmu agama sama ada dengan membaca buku, menghadiri kuliah-kuliah agama atau media massa.  Perkara yang perlu diberi keutamaan ialah berkaitan dengan ibadah puasa seperti rukun, syarat sah, perkara yang membatalkan puasa, adab dan juga akhlak orang berpuasa.  Hal ini begitu penting untuk mendapat kesempurnaan ibadah puasa.
  2. Persediaan kesihatan.  Kesihatan tubuh badan yang sempurna menjamin kesempurnaan ibadah puasa.  Kecerdasan seluruh anggota badan diperlukan kerana pada bulan Ramadanlah tubuh badan dikerah bekerja kuat melaksanakan segala amalan seperti solat sunat tarawih, qiamullail, membaca al-Quran, iktikaf dan sebagainya.
  3. Persediaan dari sudut kewangan.  Di antara amalan yang dilakukan pada bulan Ramadan ialah bersedekah.  Rasulullah SAW merupakan seorang yang paling suka bersedekah dan dermawan.  Baginda menjadi lebih dermawan pada bulan Ramadan.  Hal ini diceritakan oleh Ibnu Abbas R.A.: "Rasulullah SAW ialah orang yang paling dermawan, dan Baginda menjadi lebih dermawan lagi di bulan Ramadan di saat Baginda bertemu malaikat Jibril.  Jibril menemuinya setiap malam untuk mengajarkan al-Quran dan kedermawanan Rasulullah SAW melebihi angin yang berhembus." - (Hadis Riwayat al-Bukhari)
  4. Memperbanyakkan menyebut hal berkaitan kelebihan dan kemuliaan Ramadan.  Kita dituntut memperbanyakkan bercerita tentang kemuliaan bulan Ramadan.  Perkara ini bertujuan memberi rangsangan dan semangat kepada kita bagi membuat persediaan bertemu Ramadan.  Bukankah sesuatu acara itu akan menjadi lebih meriah dan suasananya dapat dirasai jika sentiasa diwar-warkan.  Apatah lagi bulan yang begitu mulia ini sepatutnya lebih layak disebut-sebut kemuliaan dan ganjarannya oleh media massa, media elektronik dan seluruh umat Islam. 

Masjid Baiturrahman di Banda Acheh, Acheh, Indonesia
Kita adalah makhluk ciptaan Allah yang tidak dapat lari daripada melakukan kesalahan sama ada dosa besar atau kecil. Sebagai makhluk ciptaan-Nya, maka Allah SWT Maha Mengetahui cara dan kaedah yang sesuai untuk membaiki, membaikpulih dan mempertingkatkan iman dan akhlak manusia.

Selari dengan kelemahan makhluk-Nya itu, maka Allah menawarkan kepada umat Islam bulan Ramadan dengan keampunan dan pahala yang berganda serta mengembalikan fitrah akhlak manusia. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

"Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran pahala nescaya diampunkan baginya segala dosa yang terdahulu." - (Hadis Riwayat Bukhari)

Oleh itu, menjelang Ramadan ini, umat Islam diseru memberi tumpuan kepada tawaran daripada Allah SWT, bukannya terpengaruh dengan promosi-promosi produk dan barangan-barangan tertentu yang dikaitkan dengan Ramadan.

Ibadah puasa yang dilakukan dengan sempurna mampu mengawal segala kemaksiatan dunia dan dapat mendidik jiwa menjadi lebih tenang dan membentuk diri menjadi seorang hamba yang bertakwa kepada Allah SWT.

Masjidil Haram di Mekah
Ketika berpuasa kita bukan sahaja menahan diri dari keinginan makan dan minum malahan segala nafsu seluruh anggota badan kita seperti mulut, mata, hati dan kemaluan juga hendaklah turut berpuasa.

Kita juga dituntut memperbanyakkan amal ibadah dan bertaubat di atas dosa-dosa yang dilakukan dengan mengisi ruang-ruang yang ada bagi meningkatkan keimanan kepada Allah SWT di dalam usaha mencari keredhaan-Nya.

Firman Allah SWT di dalam surah an-Nur ayat 31 yang bermaksud:

"Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang yang beriman, supaya kamu berjaya."

Renungi juga Firman Allah SWT di dalam surah an-Nahl ayat 97 yang bermaksud:

"Sesiapa yang beramal salih, dari lelaki atau perempuan sedang ia beriman, maka sungguh Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka, dengan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan."

sumber: e-khutbah JAKIM


No comments: