Ini bermakna kedaulatan raja dan sultan di negara berkenaan masih terpelihara kerana ia bukan dijajah. Pentadbiran negeri-negeri itu di bawah nasihat British tetapi pemerintahan harian diteruskan kerajaan negeri seperti Menteri Besar, setiausaha kerajaan dan Penasihat Undang-Undang dan Sultan.
Sementara itu, negeri-negeri Selat seperti Pulau Pinang dan Melaka serta Borneo iaitu Sabah dan Sarawak merupakan negeri tidak beraja kerana statusnya sebagai Straits Settlements Crown Colony atau tanah jajahan British. Selepas Perjanjian Inggeris-Belanda 1824, Pulau Pinang ditadbir oleh Leftenan Gabenor sementara Melaka ditadbir oleh Residen.
Selain itu, kedaulatan Sarawak terletak pada keluarga Brooke yang kemudian menyerahkan negeri itu kepada Inggeris. Sabah yang dikenali sebagai Borneo Utara turut menjadi tanah jajahan Inggeris.
Atas faktor berkenaan sehingga ke hari ini sistem pentadbiran di negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak dilunaskan oleh Yang diPertua Negeri (YDP) atau sebelum ini dikenali dengan gelaran Gabenor dan Residen.
Secara amnya, YDP dilantik oleh Yang diPertuan Agong selepas menjalani rundingan bersama Ketua Menteri memandangkan keempat-empat negeri berkenaan tidak mempunyai Sultan dan Raja.
Lazimnya, YDP dilantik selama sepenggal atau empat tahun tetapi tempoh jawatan itu boleh dipanjangkan mengikut kesesuaian. Pada masa yang sama, mereka merupakan Ahli Majlis Raja-Raja yang dipengerusikan oleh Yang diPertuan Agong.
Namun sepanjang memegang jawatan berkenaan YDP tidak dibenarkan memiliki perniagaan atau keuntungan mahupun bergiat aktif dalam aktiviti komersial.
Yang diPertua Negeri merupakan komponen Dewan Undangan Negeri (DUN) dan mempunyai kuasa untuk mengadakan perhimpunan atau pembubaran DUN.
Persetujuan beliau diperlukan bagi meluluskan DUN memandangkan DUN merupakan kuasa tertinggi dalam menetapkan polisi kerajaan negeri. Selain itu, YDP boleh menyerahkan fungsi pentadbirannya kepada pihak lain dari segi undang-undang.
Dalam pada itu, YDP juga dibantu oleh Ketua Menteri memandangkan di negeri beraja peranan tersebut dijalankan oleh Menteri Besar.
Ketua Menteri dilantik oleh YDP dalam kalangan ahli DUN berdasarkan pertimbangan beliau dalam memberi kepercayaan kepada majoriti para ahli dewan.
Sebagai contoh, di Melaka, YDP, Tun Mohd. Khalil Yaakob yang berfungsi sebagai kehakiman, pentadbiran dan kuasa pengampunan dibantu oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Mohd. Rustam.
Biasanya tugas Ketua Menteri mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang bersidang setiap minggu di pejabat Ketua Menteri.
Bukan itu saja, Ketua Menteri juga menjalankan tanggungjawab dan fungsinya sebagai ketua kerajaan negeri selain memenuhi keperluan masyarakat terutama di kawasannya.
SENARAI YANG DIPERTUA NEGERI DI MALAYSIA
Tun Dato' Seri Utama Abdul Rahman Abbas - Yang diPertua Negeri Pulau Pinang ke-7 (memegang jawatan tersebut bermula pada tahun 2001 hingga sekarang)
Tun Datuk Seri Utama Mohd Khalil bin Yaakob - Yang diPertua Negeri Melaka ke-6 (memegang jawatan tersebut bermula 4 Jun 2004 hingga sekarang)
Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima Juhar Mahiruddin - Yang diPertua Negeri Sabah ke-10 (memegang jawatan tersebut bermula 1 Januari 2011 hingga sekarang)
Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng - Yang diPertua Negeri Sarawak ke-3 dan ke-6 (memegang jawatan tersebut sebanyak dua kali iaitu pada tahun 1977 - 1981 dan pada tahun 2001 hingga sekarang).
Dicuplik dari akhbar Kosmo!
No comments:
Post a Comment