Pengikut dan Ex-smgrian

Tuesday, December 13, 2011

Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong Payung Agama dan Negara

Seri Paduka Baginda Al-Sultan Almu'tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah dan Seri Paduka Baginda Sultanah Hajah Haminah Hamidun, Yang diPertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong yang ke-14  

Berdasarkan kepada Perlembagaan Persekutuan bahawa di negara kita Malaysia, Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong merupakan pemimpin tertinggi, sebagai ketua negara dan Baginda juga sebagai ketua agama Islam.

Sebagai ketua negara Baginda melaksanakan tugasan dan amanah seperti yang dinyatakan dalam Perlembagaan Perkara 181(1), Perlembagaan Persekutuan menjamin kedaulatan dan kuasa Raja terus berkekalan.

Perlembagaan telah memperuntukkan beberapa kuasa kepada Yang diPertuan Agong, antaranya ialah Baginda diberi kuasa untuk memelihara kedudukan istimewa orang-orang Melayu dan menjaga kepentingan kaum-kaum lain. Maka menjadi tanggungjawab Baginda melaksanakan tugas dengan adil dan tidak menzalimi sesama manusia tanpa mengira kedudukan seseorang itu.

Firman Allah SWT di dalam surah Saad ayat 26 yang bermaksud:

"Wahai Daud, sesungguhnya kami telah jadikan kamu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan benar; dan janganlah kamu menurut nafsumu kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan jalan Allah itu."

Dalam apa juga pekerjaan, termasuklah hal-hal yang bersangkutan kepimpinan, Islam telah menetapkan prinsip-prinsip yang perlu diikuti, antaranya yang penting ialah kebenaran dan keadilan.

Konsep keadilan meliputi hubungan manusia dengan Allah SWT, hubungan manusia sesama manusia dan juga hubungan manusia dengan makhluk yang lain. Dalam konteks kehidupan bernegara, keadilan tidak hanya berkait tanggungjawab pemerintah kepada rakyat semata-mata tetapi juga antara rakyat terhadap pemerintah.

Untuk itu sebagai umat Islam di negara ini kita merasa amat bertuah dan bersyukur kerana dikurniakan Yang diPertuan Agong sebagai ketua negara.

Yang diPertuan Agong, Sultan atau Raja sebagai ketua agama Islam juga adalah sesuatu yang amat istimewa di negara kita. Baginda bukan sekadar simbol kepada kedaulatan negara, malah Baginda berperanan sebagai payung kepada agama dan bangsa dalam erti menjamin dan memelihara kesejahteraan rakyat dan keamanan negara yang berterusan.

Berdasarkan kepada bukti sejarah bahawa Islam mula bertapak di negeri-negeri Tanah Melayu sejak kurun ke-14. Walaupun proses Islamisasi di negara kita begitu unik dengan latar belakang penduduk yang berbilang kaum dan agama, namun risalah Islam telah memberikan impak besar kepada jiwa dan minda masyarakat.

Islam mengisi kandungan rohani yang sebati lagi sejiwa dengan budaya dan adat resam. Islam diterima pakai sebagai asas yang mutlak dalam kehidupan dengan mencorakkan nilai dan sikap masyarakat.

Undang-undang Islam diguna pakai sebagai asas pentadbiran dalam segala hal. Proses ini tidak lain adalah berdasarkan kekebalan dan kebijaksanaan pemerintahan Raja-Raja Melayu.

Dalam menyempurnakan amanah tersebut Baginda Raja-Raja Melayu tetap dengan memastikan kesucian agama Islam tidak ternoda, syiar Islam terus dikembangkan dan umat Islam terus dilindungi dari penyerapan fahaman lain yang boleh menggugat akidah dan kepercayaan yang sekian lama kukuh dan berakar umbi.

Bagaimanapun pada akhir-akhir ini terdapat pihak-pihak tertentu cuba mempertikaikan kedudukan Islam dalam Perlembagaan, mempertikai kedudukan Raja-Raja Melayu, bidang kuasa Raja sebagai ketua agama dan adat istiadat Melayu di negara ini, termasuk juga cubaan memurtadkan dan melanggari hak-hak eksklusif umat Islam.

Persoalannya ialah mengapa keadaan ini berlaku? Berdasarkan pemerhatian, keadaan ini berlaku kerana antaranya ialah terdapat di kalangan umat Islam sendiri yang sanggup menggadai maruah dan kepentingan agama kerana kepentingan diri dan ideologi masing-masing, juga ada yang sanggup bersubahat dengan pihak-pihak tertentu untuk mempertikaikan Islam sebagai agama rasmi di negara ini atas alasan bagi mempertahankan hak asasi pihak lain.

Sesiapa yang terlibat dan bersekongkol dengan pihak yang cuba merosakkan kedudukan Islam, sebenarnya telah mengkhianati agama Allah SWT, terpesong daripada ajaran Rasulullah SAW, melakukan dosa yang besar, menzalimi umat Islam serta menggugat keharmonian negara.

Ingatlah bahawa jika umat Islam hilang integriti, hilang maruah dan diperalatkan pihak lain, maka akhirnya umat Islam di negara ini akan menerima nasib yang malang seperti yang berlaku di sesetengah negara yang rakyatnya dihina dan dihalau daripada tanah air mereka sendiri.

Justeru, bagi mengekalkan keadaan dan suasana ini, marilah kita sebagai rakyat jelata bersatu padu mendokong dan menjunjung sistem Raja Berpelembagaan yang sekian lama diamalkan di negara ini.

Elakkan daripada terlibat dengan sebarang tindakan yang boleh menggugat atau mencemar institusi Raja-Raja serta mempertikai perkara-perkara yang telah termaktub di dalam Perlembagaan yang telah dipersetujui bersama sejak merdeka lagi, termasuklah kesucian agama Islam sebagai agama di negara ini.

Ingatlah bahawa teraturnya urusan agama dan dunia adalah sesuatu yang dituntut dan ia tidak akan berlaku tanpa kewujudan pemerintah. Kalaulah tidak wujudnya pemerintah, nescaya keadaan manusia akan menjadi kacau-bilau dan mereka akan saling bermusuhan antara satu sama lain.

Kedaulatan Islam dan kemajuan negara berpayung kepada kekuatan kepimpinan. Oleh itu, Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong sebagai ketua negara sama ada dari segi keperibadiannya atau dalam menjalankan bidang kuasa untuk menjaga negara dan kesucian agama Islam amatlah dikagumi oleh rakyat jelata.

Rakyat menjunjung kasih dan merafak sembah atas keprihatinan Baginda dalam memartabatkan agama, memajukan negara dan membantu kehidupan rakyat agar dapat hidup dengan aman dan harmoni dalam perkembangan dunia semasa.

Maka, menjadi tanggungjawab rakyat jelata memberikan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Baginda sebagai pemerintah negara. Lebih-lebih lagi kita sebagai umat Islam telah diajar supaya taat dan patuh kepada pemerintah sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah an-Nisa' ayat 59 yang bermaksud:

"Wahai orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan Rasul dan kepada Ulil-Amri dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisih dalam sesuatu perkara, maka kembalikanlah ia kepada Allah dan Rasul-Nya jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya."

DAULAT TUANKU!!

sumber: e-khutbah JAKIM

No comments: