Pengikut dan Ex-smgrian

Wednesday, December 21, 2011

Masjid Ihsaniah Iskandariah


Masjid Ihsaniah Iskandariah terletak di Kampung Kuala Dal, Padang Rengas, Kuala Kangsar, Perak. Masjid ini juga dikenali sebagai Masjid Lama Kuala Dal.

Masjid ini dibina pada tahun 1936 yang dibiayai oleh Almarhum Paduka Seri Sultan Iskandar Shah, Sultan Perak ke-30 dan dirasmikan oleh Baginda pada 11 Februari 1938. Masjid ini dibina untuk menunaikan nazar Baginda Sultan setelah putera Baginda sembuh daripada gering.

Masjid ini unik kerana dibina mengikut seni bina Melayu Negeri Perak. Ia dibina menggunakan anyaman buluh atau tepas. Buluh yang digunakan adalah dari jenis buluh minyak.

Reka bentuknya empat segi dan bumbungnya agak rata kerana tidak mempunyai kubah seperti kebanyakan masjid lain. Setinggi dua tingkat dan kelihatan seperti sangkar burung apabila dilihat dari jauh.

Masjid ini mempunyai 20 tingkap berdaun yang bermotifkan pucuk kacang, bulan sabit dan bintang manakala bumbungnya yang menggunakan atap zink berbentuk limas.

Menurut penduduk kampung berkenaan, semua struktur bangunan termasuk kelarai dibina dan diukir oleh tukang kayu tempatan seperti Panjang Noh, Ngah Gadoh, Wan Ibrahim dan Kulup Ngah.

Tingkat atas masjid tersebut boleh memuatkan seramai 200 orang jemaah pada satu-satu masa. Tingkat bawah pula dijadikan dewan untuk perjumpaan dan melakukan aktiviti kemasyarakatan serta persidangan pembesar negeri Perak.


Bagaimanapun masjid itu tidak digunakan pada tahun 1976 apabila masjid baru iaitu Masjid al-Wahidiah siap dibina. Sebahagian daripada struktur masjid itu juga rosak teruk apabila ia dihempap oleh dahan durian.

Jabatan Warisan Negara telah menjalankan kerja-kerja konservasi pada bulan Disember 2008 untuk memulihara masjid yang bersejarah dan unik itu. Bagaimanapun terdapat masalah untuk mencari tukang yang mahir bagi membuat anyaman dinding tepas masjid tersebut. Jabatan Warisan Negara juga menghadapi masalah kekurangan bahan seperti buluh minyak yang digunakan untuk membuat dinding kelarai.

Jabatan Warisan Negara kemudian mendapatkan khidmat beberapa tukang yang mahir dan sumber anyaman daripada negeri Perlis. Akhirnya kerja-kerja konservasi siap sepenuhnya pada bulan Julai 2009.

Masjid Ihsaniah Iskandariah dirasmikan kembali oleh Paduka Seri Sultan Perak ke-34, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yusuff Izzuddin Shah Ghafarullah pada 6 Mei 2011.

sumber: Kosmo!, Jabatan Warisan Negara

kredit imej: Kosmo!

No comments: