Pengikut dan Ex-smgrian

Wednesday, December 21, 2011

Mensyukuri nikmat keamanan


Keamanan adalah anugerah Allah SWT dan merupakan satu kenikmatan yang tinggi nilainya di dalam kehidupan manusia sama ada di peringkat individu, masyarakat atau bernegara demi kebaikan umat sejagat.

Dalam sejarah ketamadunan manusia sendiri telah menunjukkan betapa nikmat keamanan memberi kesan untuk kemakmuran dan kesejahteraan dunia.

Keamanan bererti kita bebas dari bahaya, bencana, malapetaka, kejahatan, kecelakaan dan lain-lain. Dengan keamanan kita dapat melakukan urusan kehidupan dunia tanpa merasa takut, gerun dan dengannya juga boleh membawa banyak kebaikan serta rezeki kepada manusia itu sendiri dan negara.

Firman Allah SWT dalam surah an-Nahl ayat 112 yang bermaksud:

"Dan Allah memberikan satu misalan; Sebuah negeri yang aman damai dan tenteram, yang didatangi rezekinya yang mewah dari tiap-tiap tempat, tetapi penduduknya kufurkan nikmat-nikmat Allah itu, maka Allah merasakannya kelaparan dan ketakutan disebabkan apa yang mereka telah lakukan."

Memelihara keamanan adalah suatu yang dituntut dalam kehidupan tanpa mengira anutan agama, bangsa atau keturunan. Nabi Ibrahim AS semasa meneroka pembukaan Mekah sebagai pusat ibadah dan tanah suci telah mendoakan agar Mekah dikurniakan Allah SWT dengan keamanan dan kemakmuran. Ini dijelaskan dalam firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 126 yang bermaksud:

"Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku! Jadikanlah (negeri Mekah) ini, negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari berbagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat di antara mereka". Allah berfirman:"(Permohonanmu itu diterima) tetapi sesiapa yang kufur dan ingkar maka Aku akan beri juga ia bersenang-senang menikmati rezeki itu bagi sementara (di dunia), kemudian Aku memaksanya (dengan mengheretnya) ke azab neraka, dan (itulah) seburuk-buruk tempat kembali."

Ayat ini menegaskan bahawa keamanan adalah asas utama dalam menegakkan agama Allah SWT dan mengimarahkan sesebuah negara. Perlu kita insafi betapa rugi dan malangnya negara-negara yang dilanda kekacauan, persengketaan dan perpecahan. Negara-negara berkenaan bukan sahaja ketinggalan dan mundur dalam aspek kemajuan dan pembangunan material serta spiritual, malah keselamatan hidup seharian pun sentiasa terancam.

Justeru itu, Islam menolak keras gerakan-gerakan yang menggunakan kekerasan untuk mengancam keamanan sesebuah negara seperti melakukan rusuhan, pemberontakan dan peperangan.

Soal ancaman ini perlu diambil perhatian oleh semua pihak kerana ia membabitkan masalah keselamatan rakyat. Sekiranya perkara ini tidak dipenuhi, maka akan jatuh sesebuah bangsa dan akan hancurlah sesebuah negara.

Anugerah keamanan dan keharmonian negara mestilah disyukuri dan dipertahankan dengan bersungguh-sungguh oleh seluruh warganegara. Dalam hal ini, Islam menuntut bahawa cintakan keamanan negara sebagai tanda orang yang beriman dan bersyukur.


Segala bentuk perjuangan mempertahankan keamanan dan keselamatan adalah sebahagian daripada ibadah dan tanda jihad kita di jalan Allah. Dalam konteks kesyukuran terhadap nikmat Allah SWT ini, secara realitinya kita dapat bandingkan dengan negara-negara lain di dunia yang sentiasa terdedah kepada pelbagai ancaman seperti bencana banjir, gempa bumi, kemarau, letupan gunung berapi, ribut taufan, peperangan, rusuhan, kelaparan serta kemiskinan.

Oleh yang demikian, kita sepatutnya memetik gugusan hikmah tersebut agar kita tidak lupa diri dan sentiasa mensyukuri nikmat keamanan dan kedamaian yang dilimpah dan dianugerahkan kepada negara kita ini dan seterusnya berusaha mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan mematuhi dan melaksanakan semua perintah-Nya serta meninggalkan segala larangan-Nya.

Firman Allah SWT dalam surah al-Anaam ayat 82 yang bermaksud:

"Orang yang beriman dan tidak mencampurkan iman mereka dengan kezaliman, bagi mereka itulah keamanan dan merekalah yang mendapat petunjuk."

Sejarah telah membuktikan runtuhnya tamadun umat-umat terdahulu seperti kaum Thamud, A'ad dan Firaun kerana kekufuran dan kezaliman yang telah dilakukan oleh mereka sendiri. Golongan ini tidak mensyukuri nikmat keamanan yang diberikan oleh Allah SWT manakala tegahan syarak pula tidak segan silu dilanggari.

Mereka membelakangi panduan para Nabi sehingga menyebabkan hancurnya negara mereka. Mereka menjadi sombong dan angkuh dengan apa yang telah dikurniakan oleh Allah SWT sedangkan apa yang mereka miliki itu hanyalah bersifat sementara sahaja.


Di Malaysia, dengan nikmat keamanan ini rakyat dapat hidup dengan aman damai, dapat melakukan proses pendidikan sepanjang hayat tanpa rasa takut untuk ke sekolah, kuliah atau masjid dan sebagainya.

Kita juga dapat melakukan ibadat kepada Allah SWT dengan sempurna sepanjang masa, hidup bermasyarakat dengan mengamalkan sistem muamalat dan munakahat secara teratur tanpa ada kekacauan dan penindasan antara kita.

Dengan keamanan juga kita mendapati peluang kerjaya yang begitu luas lagi halal sama ada dalam sektor kerajaan atau swasta. Lihatlah betapa ramai rakyat negara asing yang datang ke negara ini semata-mata untuk mencari pekerjaan dan mendapat pendapatan yang lumayan.

Kita juga bebas daripada wabak penyakit disebabkan sistem pengurusan kesihatan yang amat baik. Rakyat negara kita juga bebas bergerak ke mana saja sama ada siang atau malam tanpa merasa takut atau gerun untuk melaksanakan pelbagai urusan kehidupan.

Bagi memastikan keamanan ini terpelihara sepanjang masa maka rakyat di negara ini khususnya umat Islam dituntut mengamalkan cara hidup bertoleransi antara kita dengan mengambil kira kepentingan semua kaum sama ada dari segi agama, budaya, politik, ideologi dan lain-lain.

Namun dalam pada itu, umat Islam juga diingatkan agar tidak terpengaruh dengan aliran-aliran pemikiran baharu yang boleh memecah-belahkan umat Islam dan memesongkan aqidah mereka seperti pluralisma agama atau wahdatul adyan yang menyamakan antara agama di dunia ini.

Walaupun negara kita mengamalkan kebebasan beragama dan membenarkan agama-agama lain diamalkan, namun persoalan aqidah tidak boleh dikompromi antara kaum di negara ini. Ingatlah bahawa agama Islam adalah agama persekutuan dan hendaklah kita mematuhi dan mengiktiraf hak masing-masing sebagai mana yang termaktub dalam perlembagaan dan undang-undang negara.

Ingatlah bahawa mensyukuri nikmat keamanan merupakan sebahagian daripada tuntutan Islam. Renungilah firman Allah SWT dalam surah an-Naml ayat 89 yang bermaksud:

"Sesiapa yang datang dengan kebajikan maka ia akan beroleh yang lebih baik daripadanya, dan mereka akan beroleh keamanan pada hari kiamat."

sumber-e-khutbah JAKIM

No comments: