Pengikut dan Ex-smgrian

Thursday, December 22, 2011

Akauntabiliti terhadap amanah


Manusia adalah hamba Allah SWT yang diamanahkan menjadi khalifah di muka bumi ini. Tugas khalifah begitu amat luas yang meliputi segala aspek dalam menyempurnakan kehidupan umat manusia dan seluruh alam.

Justeru kita diwajibkan bertanggungjawab terhadap amanah tersebut. Bagi membolehkan melaksanakan tugas yang begitu berat, maka Allah SWT memberi satu pedoman kepada kita dengan menurunkan al-Quran dan Rasul-Nya agar dijadikan rujukan dan panduan untuk kita mentadbir alam ini.

Justeru, maka kita sebagai khalifah diwajibkan mentaati segala peraturan dan panduan yang telah ditetapkan itu demi kesejahteraan semua manusia dan seluruh alam.

Firman Allah SWT dalam surah al-Anfal ayat 27 yang bermaksud:

"Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya)."

Ketahuilah bahawa manusia yang benar-benar beramanah ialah Nabi Muhammad SAW yang telah menunaikan seluruh kewajipannya sebagai penegak agama, penyelamat ummah, pembela dhuafa' (fakir miskin), pendidik masyarakat.

Baginda juga sebagai ketua keluarga, sebagai ketua negara dan sebagai pemimpin seluruh alam. Selaras dengan itu, Rasulullah SAW memperingatkan kita agar memelihara dan bertanggungjawab ke atas setiap amanah yang dipikul setiap manusia sebagaimana sabdanya:

"Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya mengenai kepimpinannya. Imam (Ketua Negara) adalah pemimpin dan akan ditanya mengenai kepimpinannya, Suami (bapa) adalah pemimpin dan akan ditanya mengenai kepimpinannya, Wanita pemimpin di rumah suaminya dan akan ditanya mengenai kepimpinannya, Orang gaji adalah pemimpin kepada harta benda yang diamanahkan kepadanya dan dia akan ditanya mengenai kepimpinannya. Tiap-tiap kamu adalah pemimpin dan kamu akan ditanya mengenai kepimpinan kamu." - (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Anugerah amanah ini bukan sekadar suatu penghormatan dan penghargaan ke atas kebijaksanaan dan kemampuan manusia berbanding dengan makhluk Allah yang lain, tetapi ia merupakan satu tanggungjawab yang mesti dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

Justeru itu, demi memastikan amanah yang diberikan dapat dilaksanakan dengan baik, kita haruslah bersikap jujur terhadap amanah ini dan melakukan dengan bersungguh-sungguh untuk tujuan mencapai kebenaran serta dengan dasar yang jelas dan benar.

Islam adalah agama yang sangat menitikberatkan soal hak, amanah dan tanggungjawab. Penegasan tentang hak dan amanah ini telah dijelaskan oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadisnya yang bermaksud:

"Sesungguhnya darah-darahmu, harta-hartamu dan maruahmu adalah haram atasmu semua seperti kesucian harimu ini, di negerimu ini dan dalam bulanmu ini. Dan engkau semua akan menemui Tuhanmu lalu Dia akan menanyakan kepadamu semua perihal amalan-amalan kamu. Ingatlah!, maka janganlah kamu semua kembali menjadi orang-orang kafir selepasku, sebahagiannya menetak leher sebahagian yang lain (berbunuhan tanpa dasar kebenaran)." - (Muttafaqun 'Alaih).

Persoalan hak dan amanah sebenarnya berkait dengan hak-hak Allah SWT yang wajib ditunaikan, hak-hak manusia yang perlu dilaksanakan termasuklah kepada diri sendiri, anak-anak, keluarga, jiran tetangga dan masyarakat keseluruhan.

Ingatlah bahawa beriman kepada Allah SWT dengan mentaati segala perintah-Nya adalah suatu amanah, menyeru kepada kebaikan adalah amanah, mendidik anak-anak juga adalah amanah. Menunaikan solat, puasa, zakat dan sebagainya merupakan sebahagian dari amanah. Dengan kata lain semua persoalan hidup ini adalah amanah.

Rasulullah SAW telah berpesan di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim dari Mu'az bin Jabal RA katanya:

"Saya mengekori Nabi SAW yang sedang menunggang seekor keldai. Tiba-tiba Baginda bertanya kepada saya:”Wahai Mu’az, adakah engkau tahu hak Allah ke atas hamba-Nya?”. Saya menjawab:”Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui”. Baginda bersabda:”Hak Allah ke atas hamba-Nya ialah mereka wajib mengabdikan diri mereka kepada-Nya dan tidak mensyirikan sesuatu apapun dengan-Nya."

Ibnu Mas'ud pernah berkata:

"Ingatlah bahawa solat itu adalah amanah, wuduk itu juga adalah amanah, mandi wajib adalah amanah, timbang menimbang adalah amanah dan yang paling berat sekali ialah wadi’ah iaitu barang simpanan orang yang dipercayakan kepadamu untuk menyimpannya."

Tahap akauntabiliti terhadap perlaksanaan amanah di kalangan sesetengah anggota masyarakat pada hari ini amat membimbangkan. Banyak tanggungjawab yang diabaikan sama ada berkaitan dengan hubungan dengan Allah SWT atau sesama manusia.

Kita dapat melihat ramai di kalangan kita yang mengabaikan solat, memandang remeh kewajipan berzakat, kikir untuk mengeluarkan sedikit harta untuk bersedekah.

Ramai juga di kalangan kita yang mengabaikan tanggungjawab terhadap rumah tangga, anak-anak diabaikan. Betapa banyak kes anak-anak yang lari dari rumah dilaporkan. Gejala sosial semakin menjadi, kecurian berlaku di mana sahaja sehingga ada di kalangan mereka yang sanggup mengambil harta benda dan tabung jemaah di masjid.

Akauntabiliti pengurusan agensi kerajaan dalam sektor awam dan swasta pada masa ini juga pada tahap membimbangkan. Seringkali dilaporkan berlaku kejadian pecah amanah, penyelewengan kuasa, rasuah, membazir masa dan sebagainya yang merugikan negara.

Satu perkara lagi yang membimbangkan ialah tentang elemen keselamatan perlindungan rahsia negara. Ramai dikalangan penjawat awam pada hari ini mengabaikan dengan tidak mengambil berat tentang hal ini sehingga berlaku kebocoran maklumat rahsia negara.

Perlu difahami, rahsia negara merupakan sebahagian aset negara dan ianya mesti dilindungi secara menyeluruh daripada pelbagai ancaman. Apa jua bentuk tindakan untuk membocorkan rahsia negara, ianya merupakan jenayah yang akhirnya meruntuhkan dan menghancurkan negara.

Justeru, sebagai Muslim, marilah sama-sama kita menghayati prinsip integriti, akauntabiliti, sentiasa beramanah, jujur, telus dengan penuh rasa tanggungjawab disamping menyerlahkan sifat-sifat mahmudah yang lain seperti rajin, tekun, berdisiplin dan mengutamakan kualiti dan kesempurnaan dalam setiap tugasan.

Allah SWT akan mengadili semua tugas yang diamanahkan walau sekecil manapun tugas tersebut. Ingatlah, jika sekali kita mengkhianati amanah yang dinerikan nescaya seribu kali kita sukar untuk mendapatkan kepercayaan orang lain.

Jika sekiranya kita terlibat dalam penyelewengan dan penipuan, maka rezeki yang kita perolehi adalah haram, makanan dan minuman adalah haram, pakaian yang dipakai juga haram kerana datang dari sumber yang haram.

Oleh itu, marilah sama-sama kita mengamalkan sikap jujur dan bertanggungjawab serta ikhlas dalam melaksanakan segala amanah yang diberikan ini. Renungilah firman Allah SWT dalam surah an-Nisaa ayat 58 yang bermaksud:

"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala amanah kepada ahlinya, dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, supaya kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat."

sumber: e-khutbah JAKIM

No comments: