Di dalamnya mengandungi peristiwa-peristiwa umat-umat terdahulu yang menyentuh pelbagai sudut kehidupan manusia seperti mengatur cara hidup berkeluarga, bermasyarakat, beribadah, urusan pentadbiran, ekonomi, pendidikan, pembangunan dan sebagainya.
Ia juga dipenuhi dengan mukjizat dan keagungan yang tiada tolok bandingnya dengan kitab-kitab yang lain. Kandungannya penuh ajaran dalam memandu kita menjadi ummah bertamadun meliputi segala aspek bidang pekerjaan sama ada bersifat duniawi atau ukhrawi.
Firman Allah SWT dalam surah Ibrahim ayat 1 yang bermaksud:
"Alif, Laam, Raa'. Ini ialah Kitab (Al-Quran) Kami turunkannya kepadamu (wahai Muhammad), supaya engkau mengeluarkan umat manusia seluruhnya dari gelap-gelita kufur kepada cahaya iman (dengan izin tuhan mereka) ke jalan Allah yang Maha Kuasa lagi Maha Terpuji."
Al-Quran diturunkan bukan sahaja untuk dijadikan simbol pengiktirafan Allah kepada Nabi Muhammad SAW dan umatnya semata-mata. Bahkan ia mempunyai maksud yang lebih penting iaitu setiap kandungannya membawa rahmat dan keberkatan untuk umat sejagat.
Justeru, Rasulullah SAW menggesa umatnya agar membaca, memahami dan mengamalkan isi al-Quran keseluruhannya serta mendalami dan meneroka segala isi kandung yang ada dalam al-Quran.
Mereka yang menjadikan al-Quran sebagai bacaan utama setiap masa akan diberi ganjaran pahala oleh Allah SWT. Setiap huruf yang dibaca akan dikira sebagai sepuluh pahala sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
"Sesiapa yang membaca satu huruf dari al-Quran, maka bagi-nya diberi sepuluh pahala dan ditambah sepuluh lagi kewajiban seumpamanya, tidak aku katakan(alif, lam, mim) itu satu huruf, akan tatapi alif satu huruf dan lam satu huruf dan mim satu huruf." - (Hadis Riwayat al-Tirmizi)
Sejarah membuktikan bahawa para sahabat RA seperti Uthman, Zaid bin Tsabit, Ibnu Mas'ud, Ubay bin Ka'ab dan lain-lain lagi, mereka ini sentiasa membaca al-Quran dan mengkhatamkannya setiap hari Jumaat.
Begitu juga amalan tradisi orang-orang tua kita dahulu juga sangat menitikberatkan pendidikan al-Quran kepada anak-anak. Anak-anak tidak dibenarkan keluar rumah selagi tidak membaca al-Quran dan mereka mengamalkan pembacaan al-Quran setiap malam selepas waktu Maghrib secara beramai-ramai.
Walaupun perkara ini tiada dalam syariat, tetapi membuktikan mereka sangat mengambil berat tentang pembacaan dan pendidikan al-Quran. Namun persoalan besar timbul pada hari ini berapa ramaikah umat Islam yang membaca al-Quran serta mengambil al-Quran sebagai asas panduan hidup dan menjadikan al-Quran sebagai asas pemikiran atau berfikir secara Qurani. Inilah persoalan yang perlu direnungi dan difikir bersama sebagai umat Islam.
Berfikir Qurani bermaksud bagaimana sumber-sumber al-Quran dijadikan pedoman berfikir tentang sesuatu kejadian dan kehidupan. Dengan berfikir menerusi jendela al-Quran menjadikan seseorang itu memiliki jiwa tadabbur iaitu jiwa mengkaji dan menyelidik.
Ayat-ayat Allah adalah sesuatu yang bersifat semasa dan sesuai dalam semua kehidupan. Kisah-kisah yang dirakamkan oleh al-Quran ribuan tahun lalu bukan hanya merakamkan apa yang pernah berlaku pada masa lalu tetapi berulang kembali pada masa kini dan boleh terjadi semula pada masa hadapan.
Umat Islam yang mencari pedoman untuk hidup, maju dan berubah tentu memerlukan pedoman tentang gelagat manusia pada masa yang lalu dan menjadi pedoman untuk kehidupan masa kini.
Al-Quran bukan sahaja menggesa umatnya supaya menggunakan kekuatan akal dalam melakukan penelitian dan penyelidikan terhadap alam dunia ini malah mengajak umatnya menginsafi berasaskan peristiwa-peristiwa yang terjadi dan merenung mengenai hakikat kejadian dan hubungan diri manusia.
Sebagai umat yang beriman maka sewajarnya al-Quran dijadikan asas pemikiran dan dijadikan panduan dan sumber rujukan yang utama dalam apa juga kegiatan hidup sama ada dari sudut akidah, syariat dan akhlak, khususnya dalam menangani pelbagai permasalahan, cabaran semasa untuk mencapai kehidupan dan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.
Persoalannya pada hari ini terdapat segelintir umat Islam yang lemah iman, goyah pegangan akidah dan akhlaknya menjadi kaku, bibir dan lidahnya menjadi kelu untuk menyebut ayat-ayat Allah SWT dan beku fikirannya untuk mendalami al-Quran.
Mereka lebih gemar menurut hawa nafsu dengan melakukan perkara-perkara yang melalaikan dan merosakkan imej dan martabat umat Islam itu sendiri. Rasulullah SAW pernah melahirkan kebimbangan bahawa umat Islam akan bertambah ramai tetapi berkeadaan seperti buih di lautan, kerana lemah dan tidak berdaya saing.
Seorang tokoh Islam iaitu Malik bin Nabi pernah berkata:
"Kemunduran yang dideritai oleh umat Islam hari ini bukan sebab Islam seperti yang di wawarkan itu, ini adalah satu hukuman dari Islam ke atas umatnya yang cuba meninggalkan Islam, bukan kerana mereka berpegang dengan Islam."
Justeru, marilah sama-sama kita menjadikan budaya Qurani sebagai gaya hidup. Selain itu kita mesti yakin bahawa al-Quran mampu menjadi ubat dan penawar kepada segala jenis penyakit sama ada rohani atau jasmani yang sedang melanda masyarakat masa kini.
Ubahlah gaya kehidupan dengan menjadikan al-Quran sebagai asas pemikiran dan rujukan kehidupan. Janganlah kita hanya merujuk kepada al-Quran pada masa-masa tertentu sahaja seperti ketika dalam kesusahan, ketika sakit, ketika menghadapi saat-saat kematian atau pada hari tertentu sahaja.
Ibu bapa perlulah memprogramkan penghayatan al-Quran dalam keluarga terutama kepada anak-anak dengan memperuntukkan masa seperti selepas setiap waktu solat untuk sama-sama membaca, mempelajari dan mentadabbur al-Quran.
Ibu bapa juga perlu mengambil usaha dengan menghantar anak-anak ke kelas pengajian al-Quran sama ada di surau dan masjid atau di kelas yang telah disediakan. Di samping itu mengulangkaji bacaan al-Quran juga boleh dilakukan dengan cara mendengar bacaan di radio, kaset dan di media-media elektronik dan sebagainya.
Marilah sama-sama kita menjadikan al-Quran sebagai panduan kehidupan dengan mendalami ilmu yang terkandung di dalamnya serta mengkaji dan mengambil segala iktibar daripada kisah-kisah sebagai pengajaran.
Ingatlah bahawa kisah-kisah terdahulu seperti kisah umat Nabi Lut, Nabi Musa, Nabi Isa dan lain-lain lagi sebenarnya banyak memberi kesan dan pedoman untuk kehidupan kita masa kini.
Sesungguhnya penghayatan dan pemikiran berasaskan al-Quran dengan lengkap dan sempurna akan mampu mengubah keadaan dan taraf hidup seseorang Muslim dan juga umat Islam keseluruhannya serta dapat meningkatkan iman dan ketakwaan kepada Allah SWT.
Penghayatan dan pemikiran berasaskan al-Quran juga akan mendorong kita bertindak berasaskan kepada pertimbangan yang waras, tidak gelojoh dan gopoh dalam melaksanakan sesuatu urusan, sebaliknya ia mengajar kita supaya sentiasa bersabar dan bertawakal kepada Allah SWT.
Marilah kita sama-sama mendidik anak-anak dengan didikan al-Quran, ajarlah mereka dengan ajaran al-Quran, mudah-mudahan dengan cara ini hidup yang bakal dilalui oleh mereka akan diterangi oleh cahaya kebenaran dan keinsafan.
Ingatlah bahawa Rasulullah SAW sentiasa mengutamakan umatnya yang mana hatinya terpaut dan terdidik dengan al-Quran.
Renungilah firman Allah SWT dalam surah al-Qamar ayat 17 yang bermaksud:
"Dan sesungguhnya! Kami telah mudahkan Al-Qur'an untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan?"
sumber: e-khutbah JAKIM
No comments:
Post a Comment