Perubahan suasana politik global masa kini dan tekanan serta penghinaan yang dihadapi oleh sebahagian umat manusia menuntut kita menguasai kekuatan pertahanan, ketenteraan, kepolisan dan keupayaan mempertahankan diri.
Negara kita perlu diperlengkapkan dengan rancangan serta program jangka panjang untuk menyemai rasa hak dan tanggungjawab di kalangan rakyat, semangat cintakan negara, rasa kebersamaan di atas setiap apa yang berlaku demi membela kemuliaan maruah diri, bangsa dan negara di atas prinsip berat sama dipikul ringan sama dijinjing.
Percayalah bahawa tugas mempertahankan agama dan negara amatlah besar ganjarannya di sisi Allah SWT sebagaimana firman Allah SWT dalam surah an-Nisa ayat 95 yang bermaksud:
"Tidaklah sama keadaan orang yang duduk (tidak turut berperang) dari kalangan orang yang beriman selain daripada orang yang keuzuran dengan orang yang berjihad (berjuang) di jalan Allah dengan harta dan jiwanya. Allah melebihkan orang yang berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka atas orang yang tinggal duduk dengan kelebihan satu darjat. Dan tiap-tiap satu Allah menjanjikan dengan balasan yang baik (Syurga), dan dilebihkan Allah akan orang yang berjuang atas orang-orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang dan tidak ada sesuatu uzur) dengan pahala yang amat besar."
Kekuatan menjaga negara bukan hanya terletak kepada ramainya anggota keselamatan atau kecanggihan peralatan semata-mata. Yang lebih penting daripada itu ialah sifat keimanan, keikhlasan, jati diri, semangat juang, kekuatan mental, jiwa dan rohani.
Jika sifat ini dimiliki, insya Allah akan melahirkan anggota keselamatan yang berkualiti dan berdisplin serta bertanggungjawab. Pahatan sejarah Islam membuktikan, kekuatan tentera Islam adalah berpunca dari kekuatan iman dan ikhlas berjuang kerana Allah SWT serta ketaatan kepada kepimpinan.
Dengan itu, mereka mampu bertahan dalam apa juga keadaan, tidak mudah mengaku kalah walau ditawarkan pelbagai habuan sebagai balasan mempertaruhkan tanah air kepada kuasa luar.
Justeru, sifat taat dan patuh dapat membentuk seseorang itu bertanggungjawab dan rela berkorban. Hal ini amat penting kerana tanpanya ia boleh merosakkan imej anggota keselamatan dan melemahkan sistem pertahanan negara.
Peristiwa keingkaran tentera pemanah Islam semasa peperangan Uhud menjadi satu iktibar buat umat Islam dalam mempertahankan negara. Akibat melanggar perintah Rasulullah SAW agar bertahan di lereng Bukit Uhud telah menyebabkan pertahanan tentera Islam kucar-kacir sehingga mengorbankan banyak jiwa.
Suasana keamanan yag kita nikmati pada hari ini sebahagian besar datangnya daripada usaha perjuangan dan pengorbanan pasukan keselamatan terutamanya polis. Mereka menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab dan amanah.
Dalam usaha meningkatkan keberkesanan perkhidmatan pasukan polis kepada rakyat beberapa langkah utama diambil antaranya memperkukuhkan penerapan nilai-nilai Islam dan akhlak mulia dalam pasukan polis supaya sifat-sifat murni ini dapat menguatkan keimanan dan integriti semasa memberi perkhidmatan kepada rakyat jelata. Malah unit agama dalam pasukan Polis di Raja Malaysia (PDRM) sedang diperhebatkan.
Selain daripada itu, PDRM amat berharap rakyat jelata dan masyarakat sekeliling hendaklah turut sama bertanggungjawab dan bekerjasama dalam memerangi kejadian jenayah.
Terdapat kecenderungan di kalangan rakyat terutamanya masyarakat di bandar-bandar lepas tangan dan menyerah bulat-bulat kepada pihak polis untuk menangani gejala jenayah.
Keadaan ini amat merugikan kita sendiri dan menguntungkan penjenayah. Justeru, menjadi tanggungjawab kita untuk bersama-sama menjaga, menyelamat dan menghapuskan jenayah sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
"Barangsiapa di antara kamu melihat berlakunya kemungkaran, maka hendaklah diubah dengan tangannya (kuasanya) dan sekiranya ia tidak mampu, maka hendaklah dengan lidahnya, dan sekiranya dia tidak mampu maka hendaklah diubah dengan hatinya (benci dengan hati), dan yang demikian itu adalah selemah-lemah iman." - (Hadis Riwayat Muslim)
Masyarakat yang bersatu padu, saling tegur-menegur mampu menjamin keamanan dan keharmonian terutama daripada ancaman gejala sosial. Dengan cara muafakat, sama ada melalui rukun tetangga, unit kawalan kampung atau melalui kempen-kempen kesedaran.
Dalam masa yang sama kita dapat memainkan peranan melaporkan kepada pihak berwajib setiap kali menyedari berlakunya perkara-perkara yang ganjil dan mencurigakan dalam masyarakat. Kerana itu, membina ikatan yang kuat dan kejasama sesama kita adalah syarat utama bagi menjamin keamanan dan keharmonian masyarakat.
Kita tidak lagi hidup di dalam gua seperti zaman purba, kita kini hidup bermasyarakat, berkomuniti, berhubung antara satu sama lain, saling bergantungan ibarat pepatah "cubit paha kanan paha kiri terasa."
Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 2 yang bermaksud:
"Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya)."
Berdasarkan kepada perkembangan semasa di era globalisasi dan ICT perlu kita sedari bahawa akhir-akhir ini pelbagai jenayah berlaku dalam negara kita. Pelbagai kes yang membabitkan kegiatan seperti dadah, permasalahan sosial remaja dan seumpamanya masih berlaku.
Kini negara kita berhadapan pula dengan beberapa isu yang menyentuh persoalan agama yang boleh membangkitkan serta mencetuskan ketegangan dan kecelaruan terhadap perpaduan serta menjejaskan keharmonian hidup.
Pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab cuba untuk mengganggu-gugat keamanan negara dengan mengemukakan tuntutan-tuntutan yang melampau dan di luar batas susila. Apa yang mendukacitakan ianya turut mendapat sokongan dan dokongan oleh mereka yang mengaku beragama Islam tetapi mempunyai agenda yang tersembunyi.
Janganlah kita cuba bermain dengan api perpecahan dan menimbulkan rasa kebencian antara kita sehingga sanggup membelakangi undang-undang dan peraturan yang telah dipersetujui sejak negara kita mencapai kemerdekaan. Ingatlah, nikmat kemerdekaan ini akan hilang lenyap jika kita tidak sama-sama menjaganya.
Marilah kita bersama-sama berusaha mempertingkatkan keimanan dan memperbanyakkan tawakal kepada Allah SWT serta berkhidmat dengan penuh amanah mengikut ajaran Islam. Insya Allah, agama, bangsa dan negara akan terpelihara serta mendapat perlindungan Allah SWT.
Marilah sama-sama kita memupuk semangat setiakawan, mengelakkan perkara yag boleh menimbulkan sesuatu yang bersifat perpecahan dan sentiasa bersedia menyelesaikan sebarang masalah dengan bijaksana dan penuh rasa mahabbah.
Percayalah, kekuatan PDRM dan rakyat merupakan pemangkin kepada benteng keselamatan negara. Tanpa sokongan padu semua pihak, kesejahteraan dan kemakmuran negara tidak akan tercapai.
Renungilah firman Allah SWT dalam surah al-Anfaal ayat 45 yang bermaksud:
"Wahai orang yang beriman! Apabila kamu bertemu dengan satu pasukan maka teguhkanlah hatimu, dan ingatilah Allah banyak-banyak, supaya kamu berjaya."
sumber: e-khutbah JAKIM
No comments:
Post a Comment