Pengikut dan Ex-smgrian

Thursday, December 29, 2011

Air, khazanah Allah yang tidak ternilai

Manusia diciptakan Allah SWT untuk menghuni alam semesta yang sekaligus bertindak sebagai khalifah bagi mentadbir dan memelihara kelangsungan alam yang terbentang luas ini.

Kerana itulah, manusia dibekalkan oleh Allah SWT dengan kelebihan akal fikiran agar manusia dapat mengurus dan mentadbir alam ini serta mengambil manfaat sebaik mungkin.

Sebagai renungan kita semua, penciptaan alam semesta yang terbentang luas ini juga adalah sebahagian daripada tanda-tanda kebesaran dan kekuasaan Allah SWT dan untuk mendekatkan diri seseorang hamba kepada pencipta-Nya.

Firman Allah SWT dalam surah Yunus ayat 101 yang bermaksud:

"Katakanlah (wahai Muhammad): Perhatikanlah dan fikirkanlah apa yang ada di langit dan di bumi (dari segala kejadian yang menakjubkan, yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaan-Nya). Dalam pada itu, segala tanda dan bukti (yang menunjukkan kekuasaan Allah) dan segala Rasul (yang menyampaikan perintah-perintah Allah dan memberi amaran), tidak akan memberi faedah kepada orang-orang yang tidak menaruh kepercayaan kepadanya."


Agama Islam juga melarang umatnya dari melakukan sebarang bentuk kerosakan di atas muka bumi. Ini termasuk kerosakan jiwa, harta benda dan alam sekitar. Bahkan umat Islam wajib mencontohi akhlak junjungan besar Nabi Muhammad SAW dalam memastikan hubungan dengan alam terus terpelihara.

Berdasarkan sifat rahmat yang dibawa oleh Baginda SAW adalah untuk sekalian alam, maka apa sahaja kehidupan di atas alam ini wajib diberikan hak kehidupannya mengikut sunatullah. Manusia yang bijak mengguna akal fikiran kana bertambah muia martabat sekiranya dapat memanfaatkan khazanah alam dengan baik.

Antara khazanah alam yang tidak ternilai harganya ialah air. Air menjadi unsur penting yang diperlukan oleh manusia dan seluruh kehidupan ciptaan Allah SWT. Tanpa air, bumi akan tandus gersang serta tidak ada sesuatu pun yang boleh hidup. Kepentingan air ini menjadi lebih nyata di mana dalam al-Quran telah termaktub bahawa tiap-tiap makhluk yang hidup bergantung kepada air.

Firman Allah SWT dalam surah al-Anbiya' ayat 30 yang bermaksud:

"Dan tidakkah orang kafir itu memikirkan dan mempercayai bahawa sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum lalu Kami pisahkan antara keduanya? Dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup. Maka mengapa mereka tidak mahu beriman?"

Pada zaman pra-Islam telaga zam-zam merupakan satu-satunya sumber air bersih dari bawah tanah di kota Mekah. Umat Islam sangat mengambil berat tentang air zam-zam ini untuk kehidupan sebagai minuman, berwuduk dan perubatan. Kerana itulah dikatakan datuk kepada Nabi Muhammad SAW iaitu Abdul Muttalib telah menjaga, mengurus serta mengawal keselamatan sumber air di kota Mekah pada zaman itu. Menurut Abu Tharr al-Ghifari semasa beliau mula-mula sampai di Mekah, beliau hidup dengan meminum air zam-zam selama sebulan.

Sejarah Islam sewaktu Hijrah menyatakan bahawa hanya terdapat dua telaga air di Madinah. Telaga tersebut dikuasai oleh orang Yahudi yang mengenakan syarat tertentu kepada sesiapa yang ingin menggunakannya.

Dengan itu, Nabi Muhammad SAW telah menawarkan kepada sesiapa di kalangan kaum Muslimin yang ingin membeli salah satu telaga tersebut untuk diwakafkan kepada umat Islam.

Saidina Uthman Affan RA menyahut seruan tersebut dengan membeli telaga yang kemudiannya diwakafkan kepada umat Islam dan penduduk seluruhnya. Terbukti peristiwa tersebut adalah antara peristiwa yang telah meningkatkan persaudaraan sesama umat Islam dan menguatkan dakwah syiar Islam kerana melihatkan pengorbanan umat Islam dalam meluaskan syiar Islam.

Dengan air kita dapat melakukan ibadat kepada Allah SWT. Kita dapat membersihkan anggota-anggota badan yang sentiasa terdedah kepada pencemaran kerana tidak ditutupi pakaian dan juga boleh menghilangkan jangkitan kuman.

Adalah lebih wajar bagi kita untuk membersihkan anggota badan sebelum bertemu dengan Allah SWT ketika bersolat. Air mempunyai peranan yang sangat berkesan bukan sahaja bagi menghindari kekotoran fizikal malah juga kekotoran rohani.

Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyyah Rahimahullah menyatakan bahawa:

"Sunnah Rasulullah SAW datang dengan membawa ajaran untuk menghindari kekotoran yang ada pada tubuh badan manusia, sebagaimana dia juga datang dengan membawa ajaran bagi menghindari kekotoran rohani."

Sabda Rasulullah SAW:

"Ketika salah seorang daripada kamu bangun dari tidur maka hendaklah menghirup air ke hidung dan mengeluarkannya kembali sebanyak tiga kali. Sesungguhnya syaitan bermalam di batang hidungnya." - (Hadis Riwayat al-Bukhari).


Sebagai umat Islam di negara ini seharusnya kita bersyukur dengan sumber air iaitu rahmat hujan yang telah dikurniakan kepada kita. Mengikut laporan Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia, negara kita dianggarkan mengalami purata hujan tahunan sebanyak 3000 mm dan purata kualiti hujan tahunan sebanyak 990 bilion meter padu.

Dengan ini negara kita dikategorikan sebagai negara yang kaya dengan sumber air bagi memenuhi kehendak dan permintaan rakyat untuk aktiviti kehidupan harian. Kita juga tidak berhadapan dengan risiko cuaca yang teruk seperti kemarau yang berpanjangan sebagaimana di Afrika ataupun ribut taufan yang boleh mengorbankan nyawa.

Walau bagaimanapun, akibat daripada proses globalisasi yang membawa kepada kemajuan negara telah menyebabkan masalah pencemaran alam sekitar yang kian berleluasa, sehingga merosakkan sistem yang membekalkan sumber air mentah kepada rakyat.

Kesan daripada tabiat negatif manusia serta kemajuan sains dan teknologi yang kurang terkawal, telah menyumbang kepada perubahan ekosistem yang menyebabkan pelbagai bencana yang tidak dijangka berlaku seperti meningkatnya paras air laut, banjir besar, gempa bumi dan perubahan cuaca tidak menentu.

Kebanyakan kawasan tadahan air pada masa ini seperti gunung-ganang, hutan rimba, sungai-sungai, telaga telah dicemari. Meskipun sumber air tidak pupus, tetapi apa yang membimbangkan ialah air yang dapat digunakan oleh manusia dengan selamat adalah semakin berkurangan.

Pencemaran yang dilakukan oleh sikap sendiri secara tidak langsung telah mengundang perubahan iklim kepada negara kita. Justeru, adalah tidak mustahil segala nikmat ini akan ditarik oleh Allah SWT dengan pelbagai cara jika manusia tidak menghargainya kerana jumlah air hujan yang banyak tidak menjamin sumber air mencukupi sepanjang masa.

Firman Allah SWT dalam surah al-Mukminun ayat 18 yang bermaksud:

"Dan Kami turunkan hujan dari langit dengan sukatan tertentu, serta Kami tempatkan akannya di bumi; dan sesungguhnya Kami berkuasa melenyapkannya."


Marilah kita bersama-sama menjaga khazanah alam ini dengan sebaik mungkin. Ingatlah bahawa kecukupan sumber air akan memberi kemakmuran dan kesenangan hidup kepada seluruh umat manusia.

Air mempengaruhi fungsi hidup yang merangkumi kegiatan ekonomi seperti pertanian, penternakan, perikanan, pelancongan, kegunaan domestik dan perindustrian berjalan baik.

Jika semua manusia kembali kepada matlamat kehidupan yang sebenar maka bumi yang kita diami ini akan kembali aman dan tenang serta tiada lagi kegelisahan, ketakutan dan kebimbangan.

Marilah sama-sama kita mengurus sumber air dengan rasa bertanggungjawab, beramanah, jujur bagi mengelak berlakunya kesan buruk terhadap kehidupan, ekonomi dan sosial negara.

Ingatlah, anugerah Allah SWT ini akan menjadi rahmat kepada kita dan dalam masa yang sama juga boleh menjadi bala bencana serta azab yang tersiksa. Dengan itu seharusnya umat Islam mengambil manfaat dan menambahkan ketakwaan ata kebesaran kejadian Allah ini.

Renungilah firman Allah SWT dalam surah ar-Rum ayat 41 yang bermaksud:

"Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan buruk mereka, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)."

sumber: e-khutbah JAKIM

No comments: