Pengikut dan Ex-smgrian

Friday, December 23, 2011

Tugu batu kapur 280 juta tahun

Oleh KUMARA SABAPATTY

ROCKHAVEN sudah berusia 280 juta tahun. Hanya ada empat tempat di dunia yang memiliki batu seperti ini dan salah satunya ialah di Tambun, Perak.

AKTIVITI perlombongan bijih timah di Kinta, Perak pada akhir abad ke-19 telah menjadikan lembah itu sebagai pengeluar utama bijih timah dunia. Ekoran itu muncul pekan-pekan seperti Ipoh, Tambun, Batu Gajah, Kampar, Gopeng, Papan, Pusing dan Siputeh.

Di Tambun misalnya masih terdapat sebuah tasik yang merupakan bekas lombong tetapi kini sedang dimajukan untuk projek kondominium mewah. Tasik itu terletak kira-kira lima kilometer dari susur keluar Tambun, Lebuh Raya Utara-Selatan. Apa yang menarik, tasik itu memiliki sebuah bukit batu kapur yang sangat unik.

Berusia 280 juta tahun, batu berdiri setinggi bangunan 14 tingkat itu dianggap satu keajaiban daerah perlombongan itu.

Keajaiban geologi itu merupakan salah satu daripada hanya empat bentuk batu seumpama itu yang terdapat di seluruh dunia iaitu di Guilin, China, Halong Bay, Vietnam dan Phuket, Thailand.

“Orang Perak patut berbangga kerana mereka memiliki geologi yang jarang ditemui,” kata pemegang Kursi Shell Universiti Teknologi Petronas, Profesor Dr. Bernard Pierson yang mengesahkan usia batu kapur itu.

PESERTA perlu meredah paya sejauh 100 meter untuk sampai ke Gua Datok.

Sungai

Batu itu menjadi perhatian ramai selepas sebuah projek kondominium mewah, The Haven Lakeside Residence dilancarkan tahun lepas.

Batu itu kemudian dinamakan Rockhaven menerusi satu pertandingan yang dianjurkan Superboom Projects Sdn. Bhd., pemaju projek berkenaan.

Timbalan Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Perak, Rusli Mohamed berkata, batu itu sebelum ini dikenali sebagai Bukit Datok atau dalam bahasa geologinya mogot hill atau karst hill kerana kewujudan tugu batu kapur berbentuk unik di tebing tasik itu.

“Sebenarnya batu berbentuk seperti itu sering terbentuk di dasar laut hasil pelarutan karbon. Batu kapur yang dihasilkan pula selalunya kelihatan berdiri tegak,” katanya.

Beliau menambah, kawasan di sekitar Rockhaven suatu masa dahulu dipercayai merupakan dasar sungai. Katanya lagi, walaupun sudah berusia jutaan tahun, bukit batu kapur itu akan kekal dalam bentuknya sekarang untuk jutaan tahun lagi.

“Ini kerana batu kapur sama ada bukit tugu itu atau gua-gua yang banyak terdapat di negeri Perak, melalui proses peralihan dan kadar perlarutan yang sangat perlahan.

“Keadaan ini akan menyebabkan bentuk uniknya terus kekal untuk jutaan tahun akan datang. Malah, siapa tahu Rockhaven akan bertambah unik dari segi bentuk dan kedudukannya,” katanya.

Menurut Rusli, pihaknya sedang mengkaji untuk menjadikan bekas lombong serta bukit dan gua batu kapur di negeri itu sebagai kawasan sejarah dan ekopelancongan.

“Terdapat potensi untuk menjadikan kawasan unik seperti ini sebagai tarikan pelancongan iaitu menerusi program pengubahsuaian landskap untuk aktiviti mendaki dan fotografi,” katanya.

Ujar Rusli, Rockhaven turut dikelilingi keindahan flora termasuk spesies tumbuhan yang pernah menjadi makanan dinosaur yang telah pupus.

LAMPU LED membantu pengunjung melihat suasana di dalam gua.

Peluang untuk mendekati Rockhaven baru-baru ini tidak disia-siakan kru Jurnal. Batu itu sememangnya memukau.

Projek The Haven pula bukan sahaja tidak mengusik batu itu bahkan turut menyediakan kemudahan seperti trek joging yang membolehkan penghuni menikmati keindahan geologi itu sambil beriadah.

Tidak jauh dari Rockhaven, pembukaan taman tema air Lost World of Tambun (LWOT) pada tahun 2004 telah mempopularkan lagi pelancongan batu kapur di Perak.

Selain mandi-manda dan berhibur dengan pelbagai mainan, LWOT menawarkan pengunjung pengalaman meneroka gua dan terowong batu kapur berusia 400 tahun.

Program berkonsepkan ekopelancongan itu terbahagi kepada tiga kategori iaitu pakej laluan batu kapur khas untuk kanak-kanak. Tempat yang menjadi pilihan ialah anak gua atau gua kecil sambungan daripada Gua Datok.

Lost World

Menurut Pengurus Besar LWOT, Calvin Ho, terdapat 32 spesies burung yang menghuni gua itu selain penghuni tetap gua di Malaysia - kelawar.

Ekspedisi ke Gua Datok pula dikhaskan bagi pengunjung dewasa memandangkan kedudukan gua itu terletak 100 meter di atas bukit.

Pakej terakhir, kata Calvin, ialah penerokaan ke 6th Mile Tunnel (Terowong Batu 6) iaitu sebuah terowong dalam gua batu kapur sepanjang 700 meter. Nama 6th Mile Tunnel diberikan kepada terowong ini kerana kedudukannya terletak di Kampung Batu 6, Tambun.

Peluang meneroka gua batu kapur itu tidak lama dahulu memang mengujakan. Mujurlah, jurupandu arah kami, Wira Ismail begitu mahir dengan laluan dan situasi di kawasan berbukit-bukau itu.

Sebelum memulakan perjalanan, kami dibekalkan alat kelengkapan seperti jaket keselamatan, topi kecemasan, tali dan lampu suluh.

TERATAI yang banyak menghuni bekas lombong di Perak.

Pada mulanya kami bergerak ke tasik bunga teratai yang terletak berhampiran LWOT sebelum mengharungi tasik berlumpur itu sejauh kira-kira 100 meter untuk sampai ke kawasan lembah yang dikelilingi bukit-bukau.

Di situlah pintu terowong gua itu terletak. Air tasik itu yang setinggi separas dagu dirasakan sungguh mencabar.

Suasana di dalam gua itu gelap. Dengan bantuan lampu LED yang dipasang di kepala, kami dapat menyaksikan keindahan gua itu.

Menurut Wira, jika bernasib baik kami boleh menemui kesan tapak kaki kambing hutan yang menghuni sekitar kawasan gua tersebut selain menyaksikan kehebatan stalagtit dan stalagmitnya.

“Stalaktit dan stalagmit di sini terbentuk akibat aliran air secara berterusan. Air semula jadi itu turut membentuk batu kristal berbentuk kon itu,” kata Wira.

Difahamkan, batu kristal itu mengambil masa selama kira-kira 100 juta tahun untuk membesar pada saiz seinci dan menjadi kon.

Dicuplik dari akhbar Kosmo! bertarikh 18 September 2011

No comments: