Ibadah haji mengembalikan kenangan agung yang berlaku kira-kira 5,000 tahun yang lampau melibatkan pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan keluarganya dalam mentaati perintah Allah.
Dalam mencapai pengorbanan yang agung ini Nabi Ibrahim telah menghabiskan segenap usianya untuk berbakti kepada Allah, meletakkan batu asas supaya manusia kembali kepada agama Allah.
Selain menjadikan kota Mekah sebagai pusat gerakannya, Baginda kemudian berpindah dari satu daerah ke satu daerah, dari wilayah Iraq sampai ke Palestin, terus ke Mesir.
Ditinggalkan isterinya Hajar bersama puteranya Nabi Ismail di tanah tandus yang tidak berair itu sehingga terpancarlah air zamzam untuk memberi minum kepada mereka.
Apabila Baginda kembali ke Mekah, diperintahkan oleh Allah untuk menyembelih puteranya Nabi Ismail dan dilakukannya dengan penuh keikhlasan. Maka diganti oleh Allah SWT dengan haiwan iaitu kibas yang dijadikan korban sembelihan.
Kemudian Nabi Ibrahim bersama puteranya Nabi Ismail membina semula Baitullah yang menjadi kiblat bagi Muslimin sehingga sekarang. Pengorbanan besar Nabi Ibrahim dan keluarganya kepada Allah SWT dapat dilihat dalam kalimah talbiah yang berbunyi:
"Wahai Tuhan kami, kami datang semata-mata dengan ikrar setia
dan taat kepada perintahMu. Wahai Tuhan kami yang tiada sekutu bagiMu, kami
sahut seruanMu. Sesungguhnya segala puji nikmat dan kekuasaan, kesemuanya
adalah bagiMu, wahai Tuhan kami yang tiada sekutu bagiMu."
Lafaz talbiah yang diucapkan oleh Nabi Ibrahim AS dan keluarganya memberi pengertian yang besar dalam kehidupan umat Islam. Apa yang nyata talbiah ini adalah ikrar yang dilafazkan jemaah haji di seluruh tanah haram Mekah semata-mata untuk bertaqwa kepada Allah SWT, tanda kerinduan kepada Allah Yang Maha Esa dan bersiap sedia untuk berkorban kembali kepada Islam dengan melaksana segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.
Kekuatan ibadah haji terletak kepada penghayatan lafaz talbiah ini yang dizahirkan melalui amalan tawaf, Sai', wuquf, bermalam di Muzdalifah, melontar di Jamrah, bercukur dan ibadah yang lain.
Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya Ulumuddin menerangkan bahawa dengan mengerjakan ibadah haji seseorang Muslim menunjukkan kerinduannya yang mendalam kepada Allah. Ditinggalkan kampung halaman, anak isteri, keluarga serta sahabat handai dan berangkat mengharungi lautan yang luas, meredah angkasa, mengharungi daratan yang terbentang menuju ke tanah suci dan Baitullah semata-maat untuk mengabdikan diri dan kembali kepada ajaran Islam seperti mana ikrar yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim, Nabi Ismail dan Nabi Muhammad SAW ketika berada di tanah suci Mekah.
Firman Allah SWT dalam surah al-Mumtahanah ayat 4 yang bermaksud:
"Sesungguhnya adalah bagi kamu pada Nabi Ibrahim dan pengikut-pengikutnya
contoh ikutan yang baik."
Ibadah haji adalah rukun Islam yang kelima selepas mengucap dua kalimah syahadah, solat, berpuasa dan menunaikan zakat. Mereka yang melaksanakan ibadah haji ini hakikatnya menjadi simbol telah sempurna keimanan dan penghayatan melaksanakan perintah Allah.
Mereka melafazkan lafaz talbiah sebagai mengisytiharkan dan berikrar untuk kembali dan berkorban mempertahankan ajaran Islam sepenuhnya. Sebab itulah mereka yang menunaikan ibadah haji dan mempertahankan sifat-sifat mahmudah atau sifat yang terpuji yang membawa kebaikan kepada keluarga, jiran, masyarakat dan negara dianggap sebagai mendapat haji mabrur.
Sambutan Hari Raya Korban atau Aidil Adha adalah merujuk kepada pengorbanan kembali kepada Islam kerana Islam adalah agama Allah. Menerima Islam untuk diamalkan dan diperjuangkan samalah seperti menjemput kedatangan rahmat, keamanan dan keindahan. Menerima Islam sepenuhnya tidak akan merugikan, menyusahkan dan tidak menjatuhkan maruah seseorang.
Terdapat umat Islam mengalami perasaan ragu-ragu untuk menghayati ajaran Islam sepenuhnya. Keadaan ini menyebabkan mereka mengamalkan Islam secara terpisah-pisah atau secara serpihan. Ada yang mengamalkan solat, puasa, haji tetapi pada masa yang sama pula bergelumang dengan maksiat.
Lantaran kealpaan inilah kita lalai dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang hamba Allah SWT. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan seseorang itu lalai dari tanggungjawab yang sebenar antaranya ialah kerana mereka ini sukakan kehidupan dunia dan benci kepada kematian, sedangkan perlu diingat suatu hari nanti kita akan berhadapan dengan Allah dalam keadaan bersendirian.
Cinta kepada dunia datang dalam pelbagai bentuk anataranya seperti cintakan kemewahan, kesenangan, keamanan, kesihatan, kedudukan dan pangkat. Lantas dengan perkara ini kita menjadi lalai dan tidak mampu mengorbankan apa jua yang ada pada kita di jalan Allah SWT.
Kita beranggapan segala yang kita perolehi adalah hasil dari usaha kita sendiri tanpa menghubung kait dengan pemberian dari Allah SWT. Kita lebih mengutamakan kerja daripada melaksanakan perintah Allah, lalai untuk mengorbankan sedikit waktu untuk sujud dan patuh kepada perintah-Nya dan ada juga yang belum mampu untuk mengorbankan sedikit hasil pendapatan dan harta kerana dikhuatiri kekayaan dan harta itu akan berkurangan, justeru kita lebih suka memikirkan kepentingan diri daripada kepentingan umum.
Ibadah haji yang sedang dilaksanakan pada saat ini sebenarnya memupuk semangat berkorban sesama umat Islam, menjaga hubungan persaudaraan, bersatu hati, menghindari sikap mementingkan diri sendiri. Prinsip-prinsip inilah yang akan membentuk kekuatan yang perlu difahami dan dijunjung oleh setiap individu Muslim pada ketika ini.
Umat Islam yang longgar atau mengenepikan prinsip-prinsip pengorbanan ini membuka ruang kepada musuh-musuh Islam untuk menghancurkan Islam dan umatnya. Oleh itu pengorbanan antara satu sama lain adalah agenda umat yang paling dituntut.
Pengorbanan yang sebenarnya adalah pengorbanan yang berasaskan kepentingan Islam. Inilah pengorbanan yang mesti dilakukan oleh setiap kita, demi membela dan menyelamatkan Islam dan umatnya.
Kesemua ini menuntut pengorbanan jiwa raga dan harta benda dengan bertunjangkan kepada niat yang ikhlas dan ketakwaan kepada Allah SWT. Setiap pengorbanan tanpa keikhlasan dan ketakwaan kepada Allah SWT adalah sia-sia.
Firman Allah SWT dalam surah al-Hajj ayat 37 yang bermaksud:
"Daging dan darah binatang korban itu tidak akan sampai kepada
Allah, tetapi yang sampai kepada-Nya ialah ketaqwaan kamu. Demikianlah Ia
memudahkan binatang itu bagimu supaya kamu mengagungkan Allah atas
petunjuk-Nya kepadamu. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang yang
berusaha supaya baik amalnya."
Lafaz talbiah yang menyeru kita kembali dan berkorban untuk Islam telah menyedarkan kita, menginsafkan kita bahawa agama Islam menjadi asas kekuatan umat Islam di negara ini. Kelemahan kita mempertahankan Islam akan menjerat bangsa yang tiada identiti dan jati diri.
Beberapa perkara perlu diambil perhatian sebagai renungan kita bersama:
- Aidil Adha yang kita rayakan mengajar kita erti pengorbanan dan sesungguhnya pengorbanan itu adalah sesuatu yang sangat tinggi nilainya bagi seluruh umat Islam.
- Ibadat haji secara tidak langsung mendidik kita supaya bersikap positif serta dituntut di dalam Islam seperti sabar, tolong-menolong, bertolak ansur, merendah diri, bersyukur, redha, istiqamah, tawakkal dan sebagainya. Di samping itu, ia juga mendidik kita menjauhi nilai-nilai negatif seperti mementingkan diri sendiri, tidak sabar, tamak, bangga diri, hasad dengki dan seumpamanya.
- Pengorbanan kembali kepada Islam adalah yang berasaskan kepada keikhlasan dan ketakwaan kepada Allah SWT.
Hayatilah Firman Allah SWT dalam surah al-Kauthar ayat 1 - 3 yang bermaksud:
"Sesungguhnya kami telah mengurniakan kepadamu(wahai
Muhammad) kebaikan-kebaikan yang banyak(di dunia dan akhirat). Oleh itu
kerjakanlah sembahyang kerana tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban
(sebagai bersyukur). Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, dialah yang
terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diinginnya)."
sumber: e-khutbah JAKIM
No comments:
Post a Comment