Pengikut dan Ex-smgrian

Tuesday, October 25, 2011

Kelebihan bulan Zulhijjah


Bulan Zulhijjah ialah bulan yang mulia lagi berkat dan mempunyai banyak kelebihan terutamanya pada sepuluh hari pertamanya.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Fajr ayat 1-3 yang bermaksud:

"Demi waktu fajar Dan malam yang sepuluh (yang mempunyai kelebihan di sisi Allah Dan bilangan yang genap serta yang ganjil)."

Ibnu Kathir berpendapat bahawa malam yang sepuluh itu ialah sepuluh malam yang pertama di bulan Zulhijjah manakala yang ganjil tersebut ialah hari Arafah.

Sabda Rasulullah SAW:

"Tidak ada hari yang lebih banyak dibebaskan oleh Allah SWT akan hambaNya daripada neraka lebih dari hari Arafah." - (Hadis Riwayat Muslim)

Dan Sabda Rasulullah SAW lagi ketika mentafsirkan ayat ke 3 dari surah al-Buruj:

"Yang menyaksikan ialah hari Arafah dan yang disaksikan ialah hari kiamat." - (Hadis riwayat Ahmad dan Baihaqi)

Banyak Hadis yang menceritakan tentang kelebihan bulan Zulhijjah ini antaranya daripada Imam Ahmad R.A. meriwayatkan dari Ibnu Umar RA bahawa Baginda SAW bersabda:

"Tiada suatu haripun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari sepuluh Zulhijjah ini, oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah)"

Ibnu Hibban menyatakan di dalam kitab Sahihnya bahawa Rasulullah SAW bersabda:

"Seutama-utama hari adalah hari ‘Arafah."

Untuk mencapai kelebihan pada bulan ini maka umat Islam dianjurkan pelbagai amalan anataranya:
  1. Menunaikan ibadah haji dan umrah yang merupakan sebaik-baik amalan
  2. Berpuasa pada hari-hari tersebut atau sekadar kemampuan terutamanya pada hari Arafah iaitu 9 Zulhijjah.  Sabda Rasulullah SAW "Puasa pada hari arafah ini aku mengira Allah SWT akan mengampunkan dosa setahun yang lepas dan setahun yang akan datang." - (Hadis Riwayat Muslim)
  3. Memperbanyakkan takbir dan berzikir.  Imam al-Bukhari RA meriwayatkan bahawa Ibnu Umar dan Abu Hurairah RA selalu keluar ke pasar bertakbir dan diikuti oleh orang ramai dengan lafaz "Allahu Akbar, Allahu Akbar, La Ilaha Illa Allah, wa Allahu Akbar, Allahu Akbar, wa LillahI Hamdu."
  4. Bertaubat dengan meninggalkan segala maksiat dan dosa, semoga dengan amalan baik dapat mencapai keampunan dan rahmat Allah.  Ini kerana maksiat adalah punca kepada jauh dan terhindarnya seorang hamba dari rahmat Allah manakala ketaatan pula adalah punca dekat dan kasihnya Allah kepadanya.
  5. Memperbanyakkan amalan soleh terutama amalan-amalan sunat tambahan seperti solat sunat, bersedekah, berjihad, membaca al-Quran, menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan seumpamanya kerana kesemuanya akan digandakan pada hari-hari tersebut.
  6. Disyariatkan bertakbir pada beberapa hari yang mulia itu pada waktu siang atau malam terutama selepas menunaikan fardu solat lima waktu yang dikerjakan secara berjemaah.  Bagi mereka yang tidak menunaikan ibadah haji, disunatkan bertakbir bermula dari waktu Subuh Hari Raya Aidil Adha dan berakhir sehingga waktu Asar pada hari 13 Zuhijjah.
  7. Disyariatkan amalan korban iaitu menyembelih haiwan ternakan pada Hari Raya Aidil Adha dan hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah).  Ia merupakan sunnah amalan Nabi Allah Ibrahim AS setelah Allah SWT mengujinya dengan perintah menyembelih anaknya Nabi Ismail AS tetapi ditebus ujian itu dengan digantikan seekor haiwan untuk disembelih.

Amalan paling agung pada bulan yang mulia ini ialah menunaikan ibadah Haji yang merupakan Rukun Islam yang kelima. Perjalanan rohani ini merupakan suatu kewajipan yang mesti ditunaikan bagi mereka yang memenuhi syarat-syarat yang ditentukan oleh syarak sebagaimana Firman Allah SWT di dalam surah Ali Imran ayat 97 yang bermaksud:

"Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya; diantaranya ialah) Makam Nabi Ibrahim. Dan sesiapa yang masuk ke dalamnya, aman tenteramlah dia. Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk."

Mereka yang menunaikan fardhu haji adalah merupakan tetamu Allah SWT. Mereka sanggup berkorban harta, tenaga dan masa demi menunaikan perintah Allah.

Berdasarkan kesungguhan dan pengorbanan tinggi jemaah haji dalam membuat persiapan melaksanakan ibadah tersebut, maka diharapkan ibadat haji yang dilaksanakan itu mendapat ganjaran haji yang mabrur. Haji mabrur adalah haji yang diterima dan dikurniakan ganjaran syurga oleh Allah SWT, ia merupakan kedudukan yang paling tinggi dan istimewa, malah ingin dikecapi oleh sesiapa sahaja yang menunaikan ibadah haji tersebut.

Syeikh Mustafa az-Zarqa' dalam buku Fatwa Hukum Haji dan Kelebihannya ketika ditanya makna haji yang mabrur menyatakan, antara ciri-ciri haji yang diterima ialah:

"Hendaklah bagi mereka yang menunaikan haji tidak melampau-lampau di dalam mengerjakan kewajipan haji, tidak mengabaikan adab-adab haji dan sunnah-sunnahnya, memperbanyakkan taat, ibadat, sedekah, menjadi teladan (kepada orang lain) dengan memiliki budi pekerti yang baik, memberi makan sekadar kemampuannya, berkata-kata dengan lembut, dapat mengawal setiap cabaran yang ditempuh, bersikap berlapang dada dan pemaaf, kembalinya dari haji dengan memandang tinggi kehidupan akhirat dan berniat untuk kekal (seperti keadaan tersebut) dan istiqomah."

Banyak juga persoalan ditimbulkan bahawa mereka yang memperolehi haji mabrur itu dikatakan akan mengalami peristiwa yang pelik antaranya tersesat di dalam perjalanan, hilang harta benda, mendapat mimpi dan sebagainya. Sebenarnya ini adalah pandangan dan tanda-tanda yang tidak betul kerana ibadat haji seseorang itu diterima atau ditolak oleh Allah SWT dapat dilihat setelah beliau kembali dari menunaikan ibadat haji.

Menurut al-Khawwas dalam kitab Bughyatul Mustarsyidin bahawa:

Setelah mereka kembali dari mengerjakan ibadat haji, mereka berakhlak dengan akhlak Rasulullah SAW, mereka tidak akan mencebur diri di dalam dosa dan tidak memandang dirinya lebih tinggi daripada seorang hamba-hamba Allah SWT, tidak pula merebut-rebut untuk mendapat sesuatu daripada perkara dunia. Manakala tanda ibadat hajinya tidak di terima ialah bahawa mereka kembali semula kepada keadaanya sebelum mengerjakan haji.

Marilah sama-sama kita mengambil peluang keemasan pada bulan yang mulia ini dengan melakukan ibadat kepada Allah SWT. Ia satu keadaan di mana kita berpeluang untuk menebus dosa di atas segala kesalahan-kesalahan lalu. Ini kerana manusia tidak akan sepi daripada melakukan dosa. Pada bulan yang mulia ini juga perlu dipelihara sebaik mungkin untuk mendekati diri kepada Allah SWT.

Jemaah haji bukan sekadar membawa perubahan kepada diri tetapi juga mampu membawa perubahan kepada keluarga dan masyarakat. Bagi mereka yang tidak berpeluang untuk menunaikan ibadat haji, bolehlah melakukan puasa sunat hari Arafah iaitu pada 9 Zulhijjah yang mempunyai fadilat yang amat besar serta melaksanakan ibadat korban pada Hari Raya Aidil Adha dan hari-hari Tasyriq.

Renungilah Firman Allah SWT dalam surah an-Nur ayat 37 yang bermaksud:

"(Ibadat itu dikerjakan oleh) orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah; dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka takutkan hari (Kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan."

sumber: e-khutbah JAKIM

No comments: