Pengikut dan Ex-smgrian

Monday, October 24, 2011

Hikmah di sebalik ibadah korban


Salah satu amal ibadah yang disunatkan pada Hari Raya Aidil Adha ialah melakukan korban. Waktu menyembelihnya ialah sesudah mengerjakan solat sunat Aidil Adha sehingga hari Tasyrik (13 Zulhijjah). Ianya boleh dilaksanakan dengan menyembelih seekor kambing untuk seorang atau seekor lembu untuk tujuh orang.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Kausar ayat 1-3 yang bermaksud:

"Sesungguhnya kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan di akhirat) oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata dan sembelihlah korban sebagai bersyukur) sesungguhnya orang yang bencikan engkau, dialah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diingininya)."

Berdasarkan kepada Firman Allah tersebut, jamhur ulama berpendapat bahawa hukumnya adalah sunat muakad iaitu sunat yang sangat dituntut. Tarafnya lebih tinggi daripada sunat biasa manakala nilai pahalanya pula lebih besar.

Dalam satu Hadis yang diriwayatkan dari Abi Hurairah katanya, Sabda Rasulullah SAW:

"Barangsiapa yang mempunyai kelapangan (mampu) untuk berkorban tetapi tidak dilakukannya, maka janganlah dia datang mendekati tempat kami bersembahyang ini." - (Hadis Riwayat Ahmad dan Ibni Majah).

Dari Hadis ini dapat dibuat kesimpulan, bahawa ibadah korban itu sangat pentig sehingga hukumnya seolah-olah hampir kepada wajib terutama kepada orang yang berkemampuan yang telah dilimpahkan dengan rezeki kepada mereka.

Jelaslah kepada kita, bahawa ibadah korban itu disunatkan oleh Rasulullah SAW sebagai satu latihan dan ujian bagi kaum Muslimin untuk memupuk semangat berkorban dengan cara mengeluarkan sebahagian kecil nikmat dan rezeki yang dilimpahkan oleh Allah untuk dirasai golongan fakir miskin sekaligus memanifestasikan syiar Islam itu sendiri.

Sebagai kesimpulan, antara hikmat dan nilai-nilai yang terkandung dalam ibadah korban antaranya ialah:
  1. Melatih dan membentuk mentaliti kaum Muslimin supaya sentiasa bersedia berkorban sebahagian rezeki dan nikmat kurniaan Allah demi kepentingan orang lain.
  2. Sebagai salah satu cara mendekatkan diri kepada Allah ( تَقَرُّبْ إِلى اللهَ ) sebagaimana yang sering kita ikrarkan dalam sembahyang lima waktu; "sesungguhnya solatku, hidupku, ibadahku dan matiku adalah untuk berbakti kepada Allah SWT.
  3. Menghidupkan sirah Nabi Ibrahim A.S. yang kemudian disunatkan oleh Rasulullah SAW menjadi syiar ibadah yang utama bagi kaum Muslimin.
  4. Peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim A.S. dan Nabi Ismail A.S. mengisyaratkan kepada kita bahawa jalinan hubungan kerjasama antara generasi terdahulu dengan golongan terkemudian, bakal melahirkan kejayaan dan kecemerlangan ummah.
  5. Dengan penyembelihan binatang korban itu, ia boleh dinikmati oleh orang yang berkorban itu sendiri, kaum keluarga jiran tetangga dan sahabat handai seluruhnya.

sumber: e-khutbah JAKIM

No comments: