IBADAH HAJI ADALAH SIMBOL PENGORBANAN KEPADA AGAMA
Haji adalah rukun Islam yang kelima yang diwajibkan ke atas setiap Muslim yang mampu.
Keperluan berkorban tenaga, masa dan harta benda dalam menunaikan ibadah Haji merupakan suatu pengajaran kepada kita bahawa sebagai hamba Allah, kita sebenarnya dituntut berkorban demi agama Allah SWT.
Tanpa pengorbanan tenaga, fikiran dan harta benda, tidak mungkin syariat Allah SWT dapat ditegakkan. Renungilah pengorbanan para Rasul Alaihimussolatu wassalam, khususnya Nabi Ibrahim AS yang sanggup meninggalkan isteri dan anak-anaknya keseorangan di tanah Mekah semata-mata pengorbanannya kepada Allah SWT.
Demikian juga Nabi Muhammad SAW mengorbankan nyawa, keluarga, tanah air berhijrah ke Madinah kerana semata-mata menegakkan agama.
Banyak manakah masa, tenaga, fikiran dan harta benda kita dikorbankan untuk agama? Sejauh manakah masa, tenaga, fikiran dan harta benda kita dikorbankan untuk menegakkan agama dalam diri kita, keluarga, masyarakat dan negara?
Insaflah bahawa tanpa perjuangan dan pengorbanan dalam membangun agama Allah dalam diri, keluarga, masyarakat dan negara, maka agama akan hilang keagungannya dan ia akan dipermain-mainkan oleh musuh-musuh Islam. Justeru, Allah menuntut kita berjuang dan berkorban, seperti mana dalam Firman-Nya dalam surah at-Taubat ayat 111 yang bermaksud:
"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang yang beriman akan jiwa dan harta benda mereka dengan (balasan), bahawa mereka akan beroleh syurga."
IBADAH HAJI SIMBOL PERPADUAN
Berhimpunnya jemaah Haji dari seluruh dunia di kota Mekah dan Madinah adalah satu pengajaran bahawa umat Islam diwajibkan berkasih sayang, saling hormat-menghormati dan bekerjasama antara satu sama lain tanpa mengira bangsa, kedudukan dan pangkat.
Budaya kasih sayang dan saling bekerjasama inilah yang menjadi amalan di kalangan golongan Ansar dan Muhajirin yang menjadi faktor utama tertegaknya negara Islam Madinah.
Sejarah mencatatkan hebatnya tahap kasih sayang di kalangan Muhajirin dan Ansar hingga dinyatakan bahawa keluarga Ansar yang memiliki dua helai pakaian telah memberikan sehelai pakaian kepada saudara golongan Muhajirin. Mereka yang mempunyai dua buah rumah menghadiahkan sebuah kepada keluarga Muhajirin.
Mereka yang memiliki dua bidang tanah akan mewakafkan sebidang tanah kepada kaum Muhajirin bahkan ada orang Ansar yang mempunyai dua orang isteri berhasrat menceraikan seorang isteri untuk diberikan kepada saudaranya golongan Muhajirin. Demikianlah hebatnya perpaduan golongan Ansar dan Muhajirin yang diikat oleh iman dan taqwa kepada Allah SWT.
Namun kini roh persaudaraan sebegitu telah mula cair dan terhakis, malah apa yang lebih malang, kini sebahagian daripada ahli keluarga sendiri bercakaran.
Hubungan di kalangan umat Islam amat longgar, budaya tegur menegur semakin luntur, jiran bersebelahan rumah tidak mengenali antara satu sama lain, mereka yang duduk bersebelahan di dalam pengangkutan awam juga tidak bertegur sapa begitu juga mereka yang bertembung di perjalanan.
Hampir kesemua negara-negara Islam berpecah-belah. Umat Islam dilanda sindrom permusuhan dan hasad dengki. Ada segelintir yang sanggup menindas, mengkhianati, menzalimi malah sanggup berbunuh-bunuhan. Inilah sebenarnya hasil daripada pendekatan dasar perpaduan yang tidak didasari kepada iman dan taqwa.
Justeru itu, Allah SWT memerintahkan kita membina perpaduan dengan kaedah iman dan taqwa seperti mana Firman-Nya dalam surah Ali Imran ayat 103 yang bermaksud:
"Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai."
IBADAH HAJI SIMBOL PERSAMAAN TARAF
Kewajipan berpakaian ihram yang seragam di kalangan jemaah Haji tanpa mengira kedudukan dan pangkat, memberi pengajaran bahawa semua manusia di sisi Allah SWT adalah sama taraf.
Prinsip inilah yang menjadi faktor penting kejayaan Nabi SAW dalam menegakkan agama dan daulah. Sejarah mencatatkan bahawa Nabi SAW melayani masyarakat di zamannya secara sama rata, tiada beza membeza sekalipun dengan anak sendiri. Hal ini ditegaskan dalam sabda Baginda yang diriwayatkan oleh Ahmad dari Abdullah bin 'Amr:
"Sesungguhnya Allah telah menghancurkan umat terdahulu disebabkan sikap mereka, apabila seorang yang berdarjat mencuri tidak dihukum, tetapi jika orang miskin melakukannya barulah mereka melaksanakan hukuman hudud. Tidak! Demi Allah, jika Fatimah, anakku sendiri yang mencuri, nescaya aku sendiri yang memotong tangannya."
Mutakhir ini, budaya penyamaan taraf yang dipraktikkan oleh Nabi SAW tidak wujud lagi. Apa yang ada di dalam sesetengah masyarakat sama ada di peringkat keluarga, sektor pekerjaan, hak-hak sosio-politik dan ekonomi serta undang-undang adalah amalan yang menyimpang jauh daripada dasar persamaan taraf yang dipraktikkan oleh Nabi SAW sendiri.
Implikasinya wujud jurang perbezaan taraf di kalangan masyarakat yang menyebabkan berpecah belah. Justeru itu, Allah SWT memerintahkan supaya mengamalkan prinsip persamaan taraf.
Firman Allah SWT dalam surah an-Nisa' ayat 58 yang bermaksud:
"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala amanah kepada ahlinya, dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, supaya kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat."
sumber: e-khutbah JAKIM.
No comments:
Post a Comment