Ajaran Islam telah menetapkan bahawa aktiviti amar makruf (menyuruh melakukan kebaikan) dan nahi munkar (mencegah melakukan kejahatan) adalah suatu tuntutan atau agenda tertinggi dalam Islam.
Berdasarkan keperluan yang amat penting inilah maka Allah SWT mengutuskan Rasul-rasulNya di atas muka bumi ini. Andaikata aktiviti amar makruf dan nahi munkar ini dilengah-lengahkan atau tidak dipedulikan, maka akan menyaksikan budaya jahiliyah bermaharajalela, persekitaran kediaman dan tempat kerja tidak selamat serta masyarakat semakin rosak.
Kadangkala terdapat di kalangan kita tidak mengambil kisah, tidak mengambil berat dan tidak mengambil peduli perbuatan jenayah atau gejala sosial yang berlaku di persekitaran kita. Malah kita pernah mendengar laporan media bagaimana kanak-kanak kecil dibelasah hingga mati di tepi padang bola sepak tanpa mendapat pertolongan dan bantuan daripada mereka yang berada di situ.
Mengapa terdapat di kalangan kita tidak mempedulikan dan melengah-lengahkan untuk melaksanakan amar makruf nahi munkar itu? Adakah kerana nilai hidup yang berpegang kuat dengan pepatah Melayu "jangan jaga tepi kain orang" atau mangsa bukan ahli keluarga kita, menyebabkan kita tidak mempedulikan, tidak mengambil tahu apa yang berlaku di sekeliling kita sehingga ada pembuangan bayi, kanak-kanak didera, pembantu rumah dizalimi, warga emas diabaikan atau jiran dirompak pun kita tidak mempedulikannya.
Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah ayat 2 yang bermaksud:
"Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya)."
Pada prinsipnya, pepatah Melayu "jangan jaga tepi kain orang" bercanggah dengan tatacara hidup Islam yang sebenar kerana umat Islam itu bersaudara, saling bantu- membantu, faham-memahami antara satu sama lain.
Rasulullah SAW telah memberi peringatan keras kepada umatnya dengan sabdanya:
"Tidak beriman seseorang itu sehinggalah ia mengasihi saudaranya seperti mana ia mengasihi dirinya." - (Hadis Riwayat Muslim)
Berdasarkan peringatan Rasulullah ini maka marilah melaksanakan amar makruf nahi munkar dalam masyarakat dan kehidupan berjiran kerana akan meningkatkan prestasi keimanan dan ketaqwaan kita.
Amalan menjaga tepi kain orang sebenarnya mampu meningkatkan persaudaraan dan semangat kejiranan. Amalan ini memberi peluang mengenali lebih dekat siapa jiran tetangga, masalah hidup jiran dan dapat mengenalpasti mereka yang mencurigakan yang berada di sekitar kita.
Dalam keadaan beginilah maka amalan menjaga tepi kain orang diterima pakai. Bagaimanapun amalan menjaga tepi kain orang yang bertujuan memfitnah adalah bercanggah dengan prinsip amar makruf dan nahi munkar.
Justeru, janganlah kita terlalu cepat marah apabila anak-anak kita ditegur atau dimarahi orang lain kerana teguran itu mungkin untuk membimbing dan mendidiknya. Kita mungkin tidak melihat atau nampak apa yang telah dilakukan oleh anak-anak kita. Jadi tidak salah jika orang lain melihat atau menegur misalnya anak kita yang bermain di tepi longkang atau parit besar, merayau-rayau di tepi jalan, menagih dadah, mencuri dan sebagainya. Kita sewajarnya bersyukur jika terdapat jiran yang prihatin dan mengambil peduli menegur anak-anak kita kerana memberi manfaat besar kepadanya.
Budaya atau amalan nasihat-menasihati, tegur-menegur adalah unsur penting dalam amalan menjaga tepi kain orang kerana ia membawa kebaikan. Firman Allah SWT dalam surah al-Dzaariyat ayat 55 yang bermaksud:
"Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang yang beriman."
Usaha kita membina semangat hidup bermasyarakat tidak akan terlaksana sekiranya kita sendiri belum menjadi insan prihatin terlebih dahulu. Ambillah iktibar bagaimana prihatinnya seekor kucing dan ular seperti yang diceritakan oleh Imam Malik bin Dinar r.a. Menurut beliau, ketika hendak makan, tiba-tiba seekor kucing menyambar sepotong daging dari pinggannya. Lalu beliau mengekori ke mana ia dibawa. Rupa-rupanya kucing itu telah mencampakkan daging tersebut ke dalam lubang berbatu yang dihuni oleh seekor ular buta yang kelaparan. Renungilah, betapa prihatinnya haiwan ini walaupun berlainan jenis.
Allah SWT sengaja mempamerkan naluri sayang binatang ini untuk menjadi pengajaran buat manusia. Walaupun ada antaranya bersifat ganas, tetapi keprihatinannya sangat tinggi.
Marilah kita sama-sama menjadi masyarakat yang prihatin dengan merasa bertanggungjawab di atas suasana yang berlaku ini dengan mengawasi pergerakan anak-anak kita dan apa yang berlaku di sekitar kita.
Marilah sama-sama menggerakkan aktiviti dakwah dengan memperbaiki fenomena yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini. Dengan izin Allah SWT kita akan mampu menjadi umat yang terbaik.
Oleh kerana itu maka sewajarnyalah kita memohon perlindungan Allah SWT agar pekerjaan amar makruf dan nahi munkar ini tidak terlepas daripada tanggungjawab umat Islam.
Sebagai rumusan terhadap entri kali ini, maka beberapa perkara penting yang perlu kita ambil berat iaitu:
- Setiap orang wajib menjalankan aktiviti amar makruf dan nahi munkar kerana mewarisi amalan Rasul, para nabi dan orang soleh.
- Kita digolongkan sebagai manusia yang tidak beriman jika bersikap tidak mempedulikan dan prihatin terhadap jiran tetangga yang jauh dan dekat.
- Amalan menjaga tepi kain orang adalah sebahagian aktiviti amar makruf dan nahi munkar serta berupaya menyelamatkan nyawa dan akhlak manusia.
- Setiap kebaikan mendapat ganjaran pahala di sisi Allah SWT.
Allah berfirman dalam surah Ali-Imran ayat 104 yang bermaksud:
"Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru kepada kebajikan, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah. Dan mereka yang demikian ialah orang yang Berjaya."
sumber: e-khutbah JAKIM
No comments:
Post a Comment