Pengikut dan Ex-smgrian
Wednesday, September 28, 2011
Pengorbanan membentuk keluarga bahagia
Sesungguhnya Allah SWT mensyariatkan sesuatu perkara itu ada hikmah di sebaliknya. Begitulah juga dengan perkahwinan, di mana ia mempunyai hikmah yang tersendiri.
Perkahwinan adalah satu tuntutan syariat sebagai usaha kesinambungan melahirkan penyambung generasi untuk mentadbir muka bumi sesuai dengan penciptaan manusia sebagai khalifah.
Perkahwinan pertama di dunia telah berlaku di antara Nabi Adam a.s. bersama Hawa melalui cara yang dibenarkan oleh Allah SWT. Perkahwinan pasangan pertama ini menunjukkan bahawa tuntutan syariat hubungan lelaki dan perempuan hendaklah melalui ikatan yang sah iaitu 'aqad (ijab dan qabul).
Firman Allah SWT di dalam surah an-Nisa' ayat 1 yang bermaksud:
"Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya Hawa), dan juga yang membiakkan dari kedua-nya-zuriat keturunan-lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut-Nya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu".
Ketika mengulas tentang sunnah dan tuntutan perkahwinan ini, Rasulullah SAW juga bersabda melalui hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah:
"Dari Aisyah r.a. berkata: Rasulullah S.A.W. telah bersabda; "Perkahwinan itu adalah sunahku, sesiapa yang tidak mengikut sunahku, maka dia bukanlah dari golongan umatku. Berkahwinlah (dengan wanita-wanita) Sesungguhnya aku akan berbangga dengan jumlah kamu yang ramai. Barangsiapa yang mampu (zahir dan batin), maka berkahwinlah. Sekiranya tidak mampu, maka hendaklah dia berpuasa. Sesungguhnya dengan berpuasa itulah menjadi perisai".
Walaupun Islam menetapkan perkahwinan itu satu tuntutan untuk membentuk nasab dan generasi yang sah tetapi terdapat segelintir umat Islam melepaskan dan memuaskan nafsu seks secara haram.
Allah SWT amat mengutuk keras perbuatan zina kerana ia membelakangi syariat yang telah ditetapkan olehNya. Kenapa hendak memuaskan nafsu syahwat dengan mengadakan hubungan seks bebas, seks rambang, hubungan sesama jenis (homoseksual dan lesbian) dan sebagainya sedangkan Allah SWT telah menghalalkan hubungan antara lelaki dan wanita melalui ikatan perkahwinan.
Penglibatan segelintir umat Islam mengikut jejak kegilaan Barat yang memilih cara hidup yang 'hedonistik' iaitu mementingkan keseronokan dan tidak terikat dengan tanggungjawab menyebabkan amalan seks bebas, seks rambang makin berleluasa dan menimbulkan pelbagai gejala keruntuhan akhlak.
Apa yang pasti, gejala ini wujud dan menular kepada masyarakat kerana sikap mereka yang menolak konsep institusi perkahwinan.
Oleh itu, Allah SWT telah mensyariatkan perkahwinan ini sebagai cara untuk menjaga kehormatan, memelihara diri daripada melakukan perkara keji dan maksiat. Sesungguhnya larangan keras berkenaan dengan zina ini telah terbukti berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Isra' ayat 32 yang bermaksud:
"Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)."
Apakah akan terjadi sekiranya budaya memuaskan nafsu seks kepada sesiapa sahaja yang disukai tanpa melalui ikatan perkahwinan? Maka akan ramailah di kalangan anak-anak yang lahir tidak sah tarafnya iaitu anak luar nikah, yang tidak diketahui keturunannya, pembuangan bayi yang berleluasa, merebaknya penyakit HIV/AIDS, keruntuhan akhlak, manusia berperangai seperti binatang dan sebagainya.
Terdapat di kalangan kita terutamanya generasi muda beranggapan bahawa perkahwinan akan menghalang kebebasan hidup, menyempitkan pintu rezeki, terpaksa menanggung nafkah zahir kepada isteri dan anak-anak.
Berdasarkan pemerhatian, terdapat tanda-tanda segelintir umat Islam lebih suka memilih untuk hidup membujang atau melambat-lambatkan perkahwinan tanpa sebab. Walhal dengan perkahwinan inilah kita boleh mendapat nikmat yang besar seperti ketenangan, kasih sayang, kerjasama dan rasa bertanggungjawab, di samping meluaskan pintu serta dipermudahkan urusan pencarian rezeki.
Ketika mengulas kelebihan perkahwinan ini, Rasulullah SAW bersabda di dalam sebuah hadis sahih:
"Dari Aisyah r.a. Rasulullah S.A.W telah bersabda: "Berkahwinlah kamu, kerana perempuan itu juga boleh menolong kamu mencari harta atau boleh menolong kamu menjimatkan harta". - (Hadis Riwayat Al-Imam Al-Bazzar)
Ingatlah! Perkahwinan boleh melahirkan keberkatan dalam kehidupan, bukan sahaja pada diri dan pasangan malah mewujudkan suasana harmoni kepada masyarakat dan negara. Bagaimanapun, bagi pasangan yang berkahwin bukan mudah untuk membentuk keluarga bahagia. Banyak halangan dan cabaran yang akan dilalui.
Firman Allah SWT di dalam surah at-Tahrim ayat 6 yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan."
Berdasarkan ayat ini pemimpin rumah tangga, suami isteri atau ibu bapa bertanggungjawab menentukan dan mengambil berat supaya dasar rumah tangga tidak bercanggah dengan syariat Islam.
Terdapat suami isteri dan ibu bapa tidak mempunyai hala tuju yang jelas ke arah mana untuk membentuk dasar rumah tangga. Kelemahan suami isteri dan ibu bapa menyebabkan anak-anak dan generasi tenggelam dalam budaya berdosa.
Dalam usaha menentukan dasar rumah tangga selari dengan syariat Islam janganlah kita terikut dan cuba meniru budaya dan arus pemikiran Barat. Mereka mengamalkan kebebasan bergaul antara lelaki dan wanita, seks bebas, seks rambang, hubungan sesama jenis dan sebagainya serta menganggap perkara-perkara terebut adalah normal tanpa memikirkan segala risiko yang akan berlaku.
Dalam usaha untuk membentuk dasar rumah tangga yang selari dengan syariat, maka suami isteri dan ibu bapa perlu berkorban untuk keharmonian keluarga dan rumah tangga serta generasi yang berakhlak mulia.
Firman Allah SWT di dalam surah ar-Rum ayat 21 yang bermaksud:
"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmatnya, bahawa ia menciptakan untuk kamu wahai kaum lelaki, isteri-isteri dari jenis kamu sendiri. Supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu suami isteri perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan yang menimbulkan kesedaran bagi orang-orang yang berfikir".
Sumber: e-khutbah JAKIM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment