Pengikut dan Ex-smgrian
Thursday, September 15, 2011
Perpaduan Menjamin Kemakmuran Negara
Syukur ke hadrat Allah SWT kerana masyarakat dan rakyat jelata dapat hidup dengan sejahtera dan harmoni di negara ini.
Salah satu aspek terpenting yang menyumbang keadaan ini adalah wujudnya perpaduan di kalangan rakyat berbilang kaum dan agama.
Perpaduan merupakan satu kunci kejayaan. Dengan perpaduan kita dapat bersatu tenaga dan fikiran untuk melaksanakan sesuatu demi kebajikan bersama.
Tenaga seseorang individu dengan sendirinya tidak mampu mengatasi berbagai tugas hidup. Sebaliknya tenaga ramai yang disatupadukan mampu menghasilkan kejayaan yang luar biasa.
Kerana itu apabila terdapat umat yang bersatu padu, maka kejayaan yang cemerlang akan dicapai. Sebalinya apabila perpecahan berlaku di kalangan umat, maka buruklah akibatnya.
Firman Allah SWT dalam surah al-Hasyr ayat 14 yang bermaksud:
"Mereka tidak akan memerangi kamu dalam keadaan bersatu-padu, melainkan dikampung-kampung yang berbenteng kukuh, atau dari sebalik tembok. Permusuhan di antara mereka amatlah keras; engkau menyangka mereka bersatu-padu, sedang hati mereka berpecah belah. Yang demikian itu, kerana mereka adalah kaum yang tidak memahami."
Perpecahan dan permusuhan di kalangan rakyat akan membawa kesengsaraan hidup, kemusnahan harta benda, kemunduran ekonomi dan merosakkan sistem pengurusan negara, keluarga dan masyarakat.
Para jemaah dan umat Islam sekalian dapat menyaksikan sendiri di televisyen, akhbar dan majalah tentang kesan rusuhan antara kaum dan puak yang berlaku.
Malah apa yang paling malang sekali ialah perpecahan dan perbalahan ini terjadi di kalangan sesama Muslim seperti mana yang berlaku di beberapa buah negara Islam.
Insaflah kita bahawa untuk membangunkan semula hubungan antara kaum yang berpecah belah dan membangunkan ekonomi atau negara mungkin akan memakan masa berpuluh-puluh tahun pula.
Masalah perpecahan yang berlaku adalah berpunca daripada sikap taksub kepada kepimpinan, perkauman dan agama tertentu.
Di dalam surah ar-Ruum ayat 41, Allah SWT menjelaskan bahawa segala kerosakan yang berlaku di atas muka bumi ini adalah akibat daripada tindakan manusia.
Firmannya yang bermaksud:
"Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan buruk mereka, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)."
Perpaduan dan keharmonian kaum di negara ini dikagumi banyak pihak. Persoalan besar timbul ialah apakah perpaduan itu datang secara semula jadi atau dengan kerja kuat barisan pemimpin di negara ini?
Apa yang pasti dan menjadi satu hakikat, perpaduan yang kita nikmati hari ini tidak datang bergolek. Ia adalah hasil daripada kebijaksanaan pasukan kepimpinan negara masa kini yang bersikap sederhana dalam memperjuangkan hak dan kepentingan kaum masing-masing.
Bersikap sederhana adalah selari dengan ajaran Islam yang mengajak kita berbicara dan berunding dengan cara yang baik melalui prinsip-prinsip yang berasaskan kepada semangat persaudaraan Islam dan bertimbang rasa dengan pihak lain.
Janganlah pula kita terhasut dengan pemikiran yang jahat dan dari godaan syaitan yang menyesatkan.
Firman Allah SWT dalam surah Ibrahim ayat 22 yang bermaksud:
"Dan berkatalah Syaitan setelah selesai perkara itu: Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kamu dengan janji yang benar, dan aku telah menjanjikan kamu lalu aku mungkiri janjiku itu kepada kamu; dan tiadalah bagiku sebarang alasan dan kuasa mempengaruhi kamu melainkan bahawa aku mengajak kamu lalu kamu menurut ajakanku itu; maka janganlah kamu salahkan daku tetapi salahkan diri kamu sendiri. Aku tidak dapat menyelamatkan kamu dan kamu juga tidak dapat menyelamatkan daku. Sesungguhnya dari dahulu lagi aku telah kufurkan dengan apa yang kamu sekutukan daku dengan-Nya. Sesungguhnya orang yang zalim beroleh azab yang tidak terperi sakitnya."
Perpecahan dan perbalahan yang berlaku sesama sendiri menyebabkan maruah kita tergadai dan menjadi hina. Kelemahan ini akan digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab dan membenci kedamaian sebagai proksi bagi pertelagahan antara pemimpin dan rakyat serta rakyat sesama rakyat di negara ini.
Situasi ini juga memberi peluang kepada musuh-musuh negara untuk menjatuhkan serta menghancurkan pembangunan negara dan rakyat. Sekiranya ini terjadi, rakyat di negara ini akan menghadapi zaman kegelapan daripada apa yang pernah kita alami sebelum ini.
Insaflah, perpaduan membolehkan Malaysia mengecapi kemajuan dan kestabilan ekonomi serta politik hingga ke hari ini. Hakikatnya, negara kita yang aman dan tenteram selalu menjadi pilihan negara luar untuk dijadikan 'model'. Banyak negara luar yang menunjukkan minat untuk mengetahui rahsia kejayaan kepimpinan Malaysia mengekalkan keharmonian kaum hingga mereka mahu menggunakan formula yang dipraktikkan oleh Malaysia.
Marilah kita sama-sama mengekalkan kesinambungan nikmat perpaduan dalam usaha membangunkan bangsa, agama dan negara yang disegani di mata dunia.
Firman Allah SWT di dalam surah Yunus ayat 19 yang bermaksud:
"Dan tidaklah manusia pada mulanya melainkan umat yang satu, kemudian mereka berselisih. Dan kalaulah tidak kerana ketetapan yang telah terdahulu dari Tuhanmu, tentulah telah diputuskan hukuman di antara mereka mengenai apa yang mereka perselisihkan itu."
sumber: e-khutbah JAKIM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment